Ahad, 10 Mac 2013

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Pertahankan kedaulatan negara


Oleh : ABDUL RAHIM NOOR

INSIDEN yang kita hadapi sekarang iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata terdiri hampir 200 orang Islam dari selatan Filipina dan mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah tersendiri yang relevan dan berkait rapat dengan penubuhan Malaysia serta pembentukan negara Filipina moden.

Sebelum Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963, Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara British merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara British yang begitu hampir dengan selatan Filipina menjadikan sempadannya, seperti dikatakan banyak pihak, bolos atau mudah ditembusi.

Pada ketika itu, seolah-olah tiada sempadan yang kukuh memisahkan kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu yang menjadi sempadan. Keadaan geografi yang sedemikian memudahkan penduduk dari selatan Filipina memasuki Borneo Utara British sehingga menyebabkan masyarakat yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan etnik ketiga terbesar di negeri itu selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah, majoriti umat Islam di Sabah hari ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang fakta sejarah.

Era Filipina sebagai sebuah republik yang bebas dan merdeka bermula pada 1946. Sebelum itu, negara berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Sepanyol (1565-1821) dan Amerika Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina pernah diperintah oleh seorang sultan.

Mungkin sistem kesultanan yang diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina sebelum kepulauan itu dijajah Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja. Namun, hanya Kesultanan Sulu yang masih lagi wujud dan kawasannya meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke atas Sabah dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah naungan kesultanan itu.

Hasrat menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British dan Sarawak disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, ketika berucap dalam satu majlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura pada 1961. Indonesia dan Filipina menunjukkan reaksi yang agak cepat dan keras terhadap idea tersebut. Indonesia yang pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden Sukarno menuduh penubuhan Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.

Pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina pula tidak bersetuju kerana pada pandangannya, pemerintah Filipina yang mewakili Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo Utara British. Bantahan itu diasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878.

Berdasarkan perjanjian itu, Borneo Utara British adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu. Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah dihubungi waris-waris Kesultanan Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan tuntutan mereka terhadap Borneo Utara British secara terbuka serta menjadikan tuntutan itu sebahagian daripada dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara Malaysia.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 disahut dengan konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan tiga penjuru antara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di beberapa lokasi termasuk di Bangkok dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan kedua-dua negara itu.

Pungutan suara yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada masa itu mengesahkan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak mahu merdeka daripada pemerintahan kolonial British menerusi penyertaan dalam Malaysia. Macapagal terpaksa menerima keputusan pungutan suara itu tetapi sehingga sekarang, kerajaan Filipina masih belum menarik balik tuntutannya terhadap Sabah. Ketegangan antara Filipina dan Malaysia nampaknya seperti sudah reda tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi Indonesia, dasar konfrontasi tamat dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada 1965.

Apabila Ferdinand Marcos menjadi Presiden Filipina mulai 1965 hingga 1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan semula. Pendekatan Marcos yang bersifat autokratik itu tidak sama dengan Macapagal yang lebih mengutamakan diplomasi. Marcos kelihatan menggalakkan waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan sikap Marcos ini menimbulkan masalah dalam hubungan antara dua negara. Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan tuntutan ke atas Sabah selari dan sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina.

Semasa pentadbiran Marcos, tuntutan waris Kesultanan Sulu turut membabitkan tentera Filipina dalam projek-projek tertentu. Salah satu projek yang mereka laksanakan ialah Operasi Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam mirip dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu. Tentera Filipina telah melatih sekumpulan pemuda etnik Tausug dan Sama di selatan Filipina yang beragama Islam bagi membentuk satu pasukan komando yang objektifnya adalah untuk menimbulkan suasana kacau-bilau dan tidak stabil di Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak suka dengan Malaysia, justeru membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak betul.

Namun, sebaik sahaja mendarat di Sabah, pasukan itu sedar mereka telah diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan di Sabah yang ditadbir oleh orang Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Mustapha Harun. Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik ke Filipina. Malangnya, mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina bagi mengelakkan insiden ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60 pemuda malang itu dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug menamakannya Pembunuhan Jabidah.

Jadi, bagi saya, pencerobohan terbaharu oleh kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu ini semacam ulangan terhadap insiden Operasi Merdeka yang berlaku pada 1967. Walaupun dalam bentuk dan skala yang berlainan, Operasi Merdeka mempunyai latar belakang yang sama dengan insiden di Lahad Datu sekarang.

Saya hairan mengapa sehingga kini, kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan terhadap Sabah sedangkan ada beberapa sebab yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama, pungutan suara oleh PBB telah mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk bergabung di dalam Malaysia. Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak mengiktiraf kewujudan wilayah Kesultanan Sulu.

Setelah Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mangkat pada 1986, kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda sebagai Sultan Sulu yang baharu. Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga waris terdekat iaitu Sultan Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila; Sultan Ismail Kiram di Jolo dan Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang telah menghidupkan semua Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik Mahakutta Mohamad Kiram sebagai Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran Marcos mengambil tindakan itu bagi merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.

Memajakkan

Seperkara lagi, merujuk kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878, Kesultanan Sulu bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat tersebut dengan bayaran cession money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia semacam bayaran ufti. Jika dilihat pada istilah cession yang digunakan, ia bermaksud ‘penyerahan’. Kerajaan Malaysia semacam masih mengiktiraf perjanjian ini kerana masih membayar ufti. Yang aneh bagi saya, perjanjian itu seperti telah digantikan dengan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai kuasa yang menjajah Filipina atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid pada 1885. Menurut perjanjian yang dibuat bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol bersetuju melepaskan segala tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara British.

Kemudian, setelah Amerika Syarikat menggantikan Sepanyol sebagai penjajah di Filipina, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara kuasa kolonial itu dan Kesultanan Sulu pada Mac 1915. Di bawah perjanjian ini, tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara British dianggap tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani perjanjian tersebut dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat.

Melihat kepada sebab-sebab yang dinyatakan tadi, saya tidak faham mengapa kerajaan Filipina tidak mahu menarik balik tuntutan terhadap Sabah. Walaupun kita kini saling bekerjasama di dalam semangat perpaduan ASEAN, tuntutan itu masih lagi wujud sejak era Macapagal sehingga era Presiden Filipina ketika ini, Benigno Aquino.

Saya fikir kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu kini dalam keadaan terdesak kerana konsep wilayah autonomi Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan kesultanan itu. Soal kewujudan Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan tersebut sedangkan beberapa pulau di selatan Filipina termasuk Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi adalah wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu semacam menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan Filipina seperti yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos.

Selain itu, pada pandangan mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak melayan tuntutan waris Kesultanan Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada mereka. Waris Kesultanan Sulu menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang menyalakan seribu harapan atau impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka membuat tuntutan kini atas sebab ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin hendakkan bayaran pampasan itu dibuat mengikut penilaian semasa.

Kesimpulannya dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan negara yang banyak bersempadan dengan negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan negara-negara lain termasuk Filipina sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas mengawasi sempadan maritim sesebuah negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim mudah dicerobohi, terutamanya jika mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil seperti menyamar sebagai nelayan. Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk mengesan penyusupan. Pakar strategi China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang berjudul Seni Peperangan banyak menyebut tentang perlunya perisikan untuk memenangi peperangan.

Apa yang penting, tentera, polis dan pihak berkuasa maritim perlu mempunyai rangkaian perisikan yang lebar dan berkesan bagi mencegah pencerobohan sempadan maritim kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Lahad Datu - satu pengalaman


Oleh : Mior Kamarul Shahid
 
Sejak berita Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diceroboh pengganas diketuai Jamalul Kiram III yang mendakwa daripada keturunan Sultan Sulu tercetus 12 Februari lalu, ia mencemaskan banyak pihak. Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara aman dan makmur, tiba-tiba menjadi tarikan dan perhatian seluruh dunia. Tiba-tiba saja berita mengenai pencerobohan daripada kumpulan yang didakwa mewarisi keturunan Sulu itu menjadi berita utama akhbar dan stesen televisyen terkemuka antarabangsa. Laman web, blog dan segala bentuk media sosial begitu aktif menyiarkan pelbagai maklumat yang sesetengahnya tidak bersumber dan tidak beretika.

Bagi penduduk Lahad Datu dan seluruh rakyat negara ini, mereka tidak memerlukan tumpuan dunia hanya disebabkan bumi negara ini diceroboh. Ia bukanlah publisiti yang diharapkan kerana ia boleh menimbulkan persepsi tidak baik ke atas negara. Peristiwa itu menyusahkan hidup penduduk Lahad Datu, malah menghantui pemikiran setiap rakyat yang cintakan keamanan. Paling ditakuti peristiwa itu mengancam nyawa sesiapa saja di Lahad Datu, malah di tempat lain juga. Mengambil contoh sikap militan pengganas di serata dunia, mereka sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita mereka. Dengan meletakkan mereka sebagai kategori pengganas, bermakna kumpulan ini juga tidak ada bezanya. Mereka berpotensi boleh bertindak secara militan kerana sememangnya dilatih secara militan. Melihat kepada senjata yang dirampas dan tindakan nekad mereka ke atas pasukan keselamatan yang mereka lakukan, adalah jelas kumpulan ini adalah pengganas yang berbahaya.

Ambil tindakan ketenteraan

Pada peringkat awal juga, mereka yang tidak jelas dengan tindakan pasukan keselamatan menganggap pihak berkuasa terlalu berlembut dengan pengganas berkenaan. Hakikatnya, rundingan yang dijalankan meminta mereka meninggalkan Lahad Datu, adalah semata-mata percubaan untuk mengelakkan berlaku pertumpahan darah. Hanya setelah menyedari rundingan tidak meninggalkan reaksi positif, tindakan menggempur terpaksa diambil. Sudah tentulah, setelah tempoh yang diberikan supaya mereka berundur beberapa kali disambung, namun mereka masih berkeras, tindakan ketenteraan adalah jalan penyelesaian terakhir.

Sejak hari pencerobohan itu, penduduk Lahad Datu tidak berani keluar rumah sewenang-wenangnya. Ibu bapa resah jika anak pulang lewat, begitu juga anak asyik menunggu di depan pintu kepulangan ayah mereka. Berikutan berita angin yang begitu cepat merebak selepas hari pertama peristiwa pencerobohan itu berlaku, orang ramai berpusu-pusu membeli barang keperluan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian lebih buruk berlaku. Penduduk bukan saja bimbang keluar rumah tetapi anak-anak mereka juga tidak dapat ke sekolah sewaktu kebimbangan memuncak. Pejabat terpaksa ditutup, manakala peniaga juga tidak berani berniaga tanpa jaminan keselamatan. Ibu bapa bimbang menghantar anak-anak ke sekolah walaupun jaminan dibuat keadaan adalah terkawal. Ketika itu berita angin yang cenderung kepada maklumat yang menakutkan, tersebar dengan meluas. Biasanya, dalam keadaan masyarakat mencari maklumat yang tepat, berita angin paling cepat tersebar.

Kebimbangan keluarga

Hari ini beribu-ribu anggota polis berada di sekitar Lahad Datu. Ini bermakna beribu keluarga mereka di seluruh negara juga bimbang keselamatan mereka tidak kiralah sama sama ada anggota keselamatan itu suami, anak, bapa, abang atau adik yang berada di kawasan konflik itu. Jika anggota keselamatan tidak boleh tidur kerana berkawal, keluarga mereka juga sukar melelapkan mata kerana bimbang keselamatan mereka. Dengan melihat mayat anggota keselamatan yang terbunuh setelah rundingan buntu tempoh hari, kebimbangan keluarga mereka meningkat.

Kesan psikologi ini amat berat ditanggung. Kerajaan berharap isu pencerobohan itu diselesaikan segera kerana tidak mahu menyusahkan rakyat begitu lama. Sudah tentulah untuk membersihkan kawasan itu memerlukan anggota keselamatan sama ada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ramai bilangannya. Jika ada pihak menggembar-gemburkan bilangan pasukan keselamatan lebih ramai daripada musuh, ia adalah semata-mata kerana kerajaan mahu menamatkan konflik itu dengan segera, walau apa juga kosnya. Untuk tujuan itu, kerajaan membentuk kawasan keselamatan khas membabitkan enam daerah di Sabah kawasan dari Kudat ke Tawau merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan kawasan pantai sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah. Lima batalion tambahan angkatan tentera dan polis akan ditempatkan di lokasi strategik. Semua ini dilakukan kerana bimbang peristiwa di Lahad Datu ini berlarutan yang akhirnya menimbulkan masalah kepada rakyat.

Sesungguhnya, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu adalah pengalaman amat berguna kepada kerajaan dan rakyat bagi mengatasi apa juga kelemahan. Ia juga membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia tidak bertolak ansur dengan kegiatan pengganas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 9 Mac 2013

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Insiden mengaibkan!



Oleh : TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Peristiwa pencerobohan berdarah di Lahad Datu dan Semporna, suka duka, sudah dipolitikkan! Peristiwa itu akan menjadi  isu  sensitif dalam kempen PRU13. Selain daripada tuduh-menuduh, pengundi akan tertanya-tanya dan kita harus memahaminya: Pertama, kenapa kejadian ini berlaku? Apakah  punca kegagalan agensi perisik kita?

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mahu kerajaan membuat kajian terperinci tentang insiden yang memalukan atau lebih tepat, bagaimana boleh berlaku (termasuk kelemahan institusi dan agensi negara) sehingga berlaku insiden yang mengaibkan ini?

Kedua, kenapa keterlaluan panjang masa diambil untuk membuat keputusan menyerang apa yang sekarang disifatkan sebagai pengganas dari Sulu Filipina? Sebelum itu adakah mereka ‘askar’ pihak yang mendakwa dirinya 'Sultan Sulu' maka kita mesti berhemat sedikit dan berkompromi kehormatan nusa?

Ketiga, kenapa pengeboman hanya dilakukan setelah pengganas itu melarikan diri seperti kata Speaking. “after they have extended their safe area and dispersed themselves or slipped away?" Kegagalan mencapai matlamat pengeboman membawa impak, implikasi yang tidak diniatkan.

Keempat dan yang  lebih utama lagi adakah kita mempunyai cukup anggota tentera dan polis untuk menjaga keselamatan dan memelihara kedaulatan, kehormatan ibu pertiwi dan bangsa di Sabah? Apa pun syabas kepada Perdana Menteri Najib; Dr Mahathir Mohamad kerana menggesanya 'serang' dan membuat kenyataan 'serah diri tanpa syarat atau mati'.

Mengikut Wikipedia, Malaysia hanya ada 35 batalion infantri terdiri daripada 25 batalion Askar Melayu Diraja, 10 batalion Ranjers. Benarkah ini? Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Razak, telah merencanakan pembesaran dan pemodenan kedua-dua rejimen itu dan lain-lain bahagian Angkatan Tentera Malaysia berdasarkan pengalaman pahit semasa darurat 13 Mei itu.

Kalau ingatan saya tidak silap (dan saya rasa saya tidak alpa)  antara pembesaran itu adalah 27 – 30 batalion Askar Melayu Diraja dan Ranjers antara 10 – 15 batalion dari jumlah askar serta bilangan batalion yang agak kecil waktu itu. Besok Tun Razak andainya dia hidup akan menyambut seperti tradisi keluarga hari kelahirannya yang ke-91 tahun (11 Mac 1922 – 11 Mac 2013). Apa sudah jadi kepada pelan Tun Razak 37 tahun selepas pemergiannya secara mengejut?

Sedih dan memalukan kerajaan terpaksa tergesa-gesa menghantar segera 5 batalion tentera dan PDRM tambahan dari Kelantan – Pengkalan Chepa/Kok Lanas – selain bantuan tambahan anggota pasukan keselamatan dari Sarawak dan tempat lain.

Ini baru satu pencerobohan oleh ‘Rag Army’ atau ‘Dad’s Army’ di satu lokasi sahaja! Adakah kita mempunyai kemampuan andainya pencerobohan berlaku serentak di beberapa lokasi di seluruh negara?

Madah seorang bakal calon BN, seorang pemuda Umno: “Kita banyak stadium. Tak salah. Satu bumbungnya runtuh dua kali! Tetapi jumlah askar kita tidak banyak bertambah walaupun negara terus makmur. Saya dengar orang Melayu pun kurang minat lagi menjadi askar. Kenapa?. “Apa tidaknya, gaji dan elaun rendah, kemudahan tidak menarik! Ada yang duduk di kawasan setinggan pun”. Dia menambah madahnya tanpa dihasut pun.

Menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan negara, bangsa, agama dan bahasa asyik mencari peluang ‘photo opportunities’ memakai uniform! Saya tidak lagi geli hati melihat Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein dan Zahid Hamidi Menteri Pertahanan tanpa uniform di Lahad Datu. Itu satu kewajaran, satu tradisi civilian berkuasa di atas Angkatan Tentera maka pakaian preman sudahlah!

Ada politikus menuduh si Kitol di belakang insiden ini, satu andaian yang wajib disiasat dengan rapi. Tanpa si Kitol saya percaya Operasi Susulan Daulat lebih berjaya daripada 53 orang terbunuh setakat ini! Maknanya budak pun tahu kumpulan pengganas itu mendapat pertolongan dan perlindungan daripada si Kitol atau dalam loghat moden sympathisers di Sabah, terutamanya di Lahad Datu dan Semporna.

Sudah pun 79 orang ditahan. Majoriti rakyat Sabah keturunan Sulu dan Filipina, saya yakin, taat setia kepada negara angkat mereka tidak berbelah bagi. Sebagai ingatan masa depan janganlah terlalu murah, mudah sangat memberi pas kerja, pas duduk dan kerakyatan kepada sesiapa pun. Kekurangan dan kelemahan pertahanan dan agensi perisik kita jelas.

Dari segi itu bagus juga insiden ini berlaku dengan harapan mereka yang bertanggungjawab tentang keselamatan dan maruah negara akan lebih peka, insaf lagi prihatin kepada keperluan negara dan institusi Angkatan Bersenjata Malaysia. Masakan kita – tak usah malulah – tidak bolehkah belajar daripada Singapura, Israel hatta Korea Selatan atau Korea Utara pun?

PRU13 di Sabah tidak akan ditunda kerana peristiwa ini. Dalam keghairahan mahu memenangi hati dan minda pengundi bermacam cerita, ikrar sudah dan terus dibuat tidak kira sama ada bisa dilaksanakan atau tidak. Asal sahaja sedap didengar, menarik dan memikat cukuplah.

Pengundi terus dibom dengan janji dan pengakuan 24/7:  kepada pengundi Melayu/Islam ‘ketuanan Islam’, Cina ‘keadilan, ketelusan, hak asasi manusia dan Malaysian Malaysia’; India ‘lebih bantuan, lebih naungan’. Kepada peribumi bukan Islam ‘ketuanan peribumi dan kehidupan serta stail kontemporari’ di wilayah mereka majoriti, di pedalaman Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.

Lazimnya seorang pemimpin politik memulai pentadbirannya dengan jujur, amanah, telus dan adil. Selepas diempukkan kuasa, syair, pujian-pujian dan ‘selawat’ serta mantera dia menjadi ‘crafty’ tegas Speaking – iaitu licik, panjang akal dengan tipu muslihat kerana dia dapati tidak bisa terus ikhlas dan cekap saja!

Takut apabila dia keluar masa hujan, banjir dia berbuat demikian tiada payung; tanpa baju hujan, boots,  topi dan sweaters (baju panas!) Berkatalah pujangga bangsa: parti politik, pada akhirnya, mati kerana berbohong seperti seorang “telanjang” dan pemimpin yang crook dan hipokrit mati tanpa dikenang dan dikutuk oleh sejarah dan ada masanya dibenci semasa hidup lagi.

Walaupun demokrasi mempunyai banyak sempadan kononnya demokrasi adalah sistem kerajaan yang terbaik.  Betulkah? Kesimpulan saya kalau demokrasi dan pilihan raya begitu baik kenapa hanya dilaksanakan di peringkat negeri dan Parlimen sahaja dan tidak di peringkat perbandaran dan majlis daerah?

Umno/BN mesti cuba - apa harga pun - menebus kekalahannya di Kelantan (terlalu biasa kalah hilang bisa, perasaan malu pun kurang sedikit), di Selangor (amat aib kalah tetapi rakyat mengerti sebabnya), keguguran di Kedah seperti di Selangor amat bera; di Pulau Mutiara memutihkan mata, kecundang dan tumpas di Perak satu kejanggalan dan kesiluan.

Namun pada pendapat ramai, sebelum peristiwa Lahad Datu, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan akan terus kekal dalam tangan DAP, PKR dan Pas. Peristiwa berdarah di Lahad Datu menguntungkan kerajaan juga merugikannya – mempamerkan kelemahannya dan juga ketidak decisivenessnya yakni lambat sangat membuat keputusan dan kekurangan batalion infantri, dan tidak ada batalion yang mobile!

Tidak memanfaatkan Pakatan Rakyat kerana mereka dituduh ada kaitan dengan peristiwa ini. Benar atau palsu amat sukar membersihkan diri.  Putrajaya dan Kota Kinabalu wajib lebih berwaspada lagi. PRU13 akan tersenarai dalam sejarah sebagai pilihan raya terkompetitif, termahal, terbebas, tercanggih dan perang siber yang meluas.

Juga tertekan dan terbohong. Pokoknya berkempen tanpa sempadan. Semua halal asalkan cerita, maksud dapat disampaikan ke seluruh alam. Kebenaran, tipu belit, bohong dusta tidak diambil kira dalam mencari kemenangan.

Semua cara dan kelakuan diizinkan kerana tegas Speaking, “the stakes are high” – hidup matinya kerjaya politik Anwar Ibrahim, sama ada Najib Tun Razak Perdana Menteri Umno/BN terakhir atau terus bersemayam di Seri Perdana.

Kedua - dua protagonis "kabir" dengan aset peperangan. Orang lama dalam Umno tidak miskin dengan pengetahuan, strategi, stail, taktik kedua-dua protagonis yang bertungkus-lumus berebut "gua mas" di Putrajaya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GLOBAL : Cabaran jamin kestabilan geopolitik ASEAN


Oleh : Muhamad Razak Idris
 
Peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh sekumpulan warga Filipina mengundang banyak pengertian dan tafsiran. Satu daripadanya ialah betapa persoalan kestabilan geopolitik rantau ASEAN masih belum reda dan berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman. Pencerobohan itu adalah satu daripada beberapa bentuk ancaman baru yang muncul dalam konteks perkembangan rantau ini di era semasa.

Sebelum peristiwa pencerobohan itu berlaku, kepemimpinan ASEAN menangani beberapa isu keselamatan dan kestabilan rantau yang wujud sekian lama dan yang muncul pada masa kini. Konflik di Selatan Thailand dan Mindanao di Selatan Filipina serta isu etnik Rohingya di Myanmar adalah antara isu sejarah masa lalu yang berlarutan dan sedang ditangani.

Manakala, isu mutakhir pula berkaitan dengan perkembangan sosiopolitik dunia seperti kewujudan kumpulan ekstrem serta isu pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.

Semangat persaudaraan makin tipis

Menurut sumber berita, motif pencerobohan Lahad Datu dikatakan berhubung kait dengan cita-cita menuntut hak ke atas Sabah. Sekiranya andaian itu benar, ia bererti kepemimpinan ASEAN harus berdepan dengan satu lagi isu tuntutan sejarah lalu yang dilakukan menerusi keganasan. Dari perspektif rakyat Malaysia, perbuatan ganas itu adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Hubungan keturunan dan keagamaan antara keturunan Sulu dan Melayu di negara ini seharusnya menjadi satu sandaran kukuh yang boleh mengelakkan kedua-dua pihak terjebak dalam konflik berdarah. Namun, harapan sedemikian nampaknya sia-sia. Dorongan dan kepentingan tertentu di dunia ini tidak mampu mempertahankan ikatan persaudaraan agama dan bangsa yang terjalin sekian lama.

Dalam situasi sekarang, ruang dialog bagi mencari penyelesaian bersandarkan semangat persaudaraan menjadi tipis. Ia perlu ditangani kepemimpinan ASEAN berasaskan peraturan dan perundangan antarabangsa yang sudah disepakati sekian lama.

Kita mengalu-alukan kebijaksanaan yang ditunjukkan kepemimpinan Filipina dalam mendepani krisis itu. Ia menunjukkan kepemimpinan Filipina memahami realiti geopolitik semasa di rantau hari ini dan tidak terikut-ikut dengan fikiran pendek sekumpulan kecil warganya cuba mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

Keperluan menutup kelemahan

Realiti pergolakan baru ini memberi petunjuk bahawa isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN tidak boleh dipandang mudah. Banyak lagi isu berkaitan ini dijangka muncul pada masa depan yang memerlukan kebijaksanaan tinggi semua pihak. Untuk itu, prinsip dan semangat kerjasama ASEAN harus dipertegaskan semula dan dihayati oleh segenap komuniti.

Hal ini mustahak diberi perhatian kerana ketidakstabilan keselamatan menjadi hambatan besar kepada kesejahteraan hidup Komuniti ASEAN keseluruhannya. Ia boleh menggugat pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan di rantau ini serta menghalang proses kerjasama politik dan sosial yang lebih intim dan akrab pada masa depan.

Kepentingan menangani isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN juga berkaitan dengan keperluan untuk kita menutup kelemahan yang boleh dijadikan peluang eksploitasi oleh pihak yang bercita-cita melihat rantau ini bergolak.

Bagi pihak ini, rantau ASEAN yang bergolak memberi peluang kepada mereka mengambil kesempatan terhadap sumber ekonominya. Dalam konteks sosioekonomi di sebelah utara Borneo ini, kekayaan sumber semula jadinya sentiasa menjadi tarikan dan perhatian pihak yang berkepentingan.

Dari segi percaturan politik dan ekonomi dunia pula, ketidakstabilan keselamatan ASEAN akan merencatkan agenda pembangunan rantau ini sebagai komuniti perdagangan baru yang menyerlah. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan memenuhi tujuan tersirat sesetengah pihak yang sentiasa cemburu dan iri hati terhadap perkembangan positif di rantau ini.

Ikatan serumpun Komuniti ASEAN

Kita menyeru masyarakat Muslim di Selatan Filipina supaya lebih bijaksana dan berhemah dalam mendepani apa juga isu berkaitan keselamatan rantau ASEAN. Ini penting supaya mereka tidak terjebak dalam percaturan pihak berkepentingan yang ingin melihat rantau ini bergolak. Sikap bijaksana dan berhemah akan mengelak mereka daripada diperalatkan pihak berkenaan.

Dalam era moden kini, persaudaraan agama dan ikatan serumpun Komuniti ASEAN adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan oleh semua pihak. Penyelesaian dalam apa juga isu dan persoalan masa lalu dan kini seharusnya diusahakan menerusi perundingan dan permuafakatan berasaskan prinsip perundangan yang sudah disepakati masyarakat antarabangsa.

Malaysia dalam konteks ini berhak mempertahan kedaulatannya. Justeru, kita menyeru demi memelihara kestabilan dan keselamatan rantau ASEAN yang kukuh pada masa depan, penceroboh di Lahad Datu perlu meletakkan senjata dan menyerah diri secara sukarela tanpa syarat kepada pihak berkuasa Malaysia.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sekolah aspirasi bangsa Malaysia patut diwujud


Oleh :  Dr Amir Hasan Dawi
 
Bangsa Malaysia ialah konsep yang menggambarkan perpaduan dalam negara kita yang mempunyai ciri  kepelbagaian  etnik. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik memerlukan unsur persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Pembentukan perpaduan adalah usaha berpanjangan sejak mencapai kemerdekaan. Pendidikan mempunyai peranan penting dalam usaha berkenaan.

Sekolah menjadi institusi asas pembinaan perpaduan dari peringkat awal. Di sekolah, kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dapat bertemu dan bergaul. Persoalan kini adalah sama ada sekolah telah benar-benar dapat menyediakan ruang dan persekitaran untuk berlakunya interaksi antara etnik.

Kepelbagaian aliran

Sistem persekolahan Malaysia berbeza dengan negara lain kerana kewujudan sekolah pelbagai aliran. Banyak pihak mengaitkan sekolah pelbagai aliran pada peringkat rendah sebagai punca berlarutannya masalah perpaduan. Kepelbagaian aliran sekolah dianggap menjadi penghalang berlakunya proses interaksi antara etnik.

Memang tidak dapat dinafikan polarisasi dari segi pemilihan sekolah oleh etnik berbeza begitu ketara. Ibu bapa semakin cenderung menghantar anak ke sekolah beraliran bahasa ibunda. Data Kementerian Pelajaran menunjukkan setiap tahun bilangan mereka yang memilih sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil semakin meningkat. Pelbagai sebab diutarakan mengenai pemilihan sekolah berkenaan. Namun kajian menunjukkan sebab utama adalah kepentingan budaya dan bahasa ibunda yang ingin dikekalkan.

Fenomena memilih sekolah mengikut etnik tidak boleh dihalang. Perlu diakui bahawa kewujudan SJK adalah sebahagian daripada keperluan etnik yang terbabit. Dari segi sejarah, sekolah aliran ibunda telahpun wujud sebelum merdeka. Kini Akta Pendidikan secara jelas menyatakan SJK tidak boleh ditutup kecuali kumpulan etnik berkenaan sendiri yang mahu berbuat demikian. Dalam senario semasa, agak mustahil menutup SJK memandangkan permintaan terhadapnya bukan semata-mata daripada komuniti Cina dan India, tetapi juga Melayu.

Kritikan terhadap kewujudan SJK hanya akan menimbulkan polemik berpanjangan. Etnik berkenaan tentu akan terus mempertahankannya. Namun kita juga harus menyedari kesan pengelompokan di sekolah apabila dalam jangka panjang ia boleh menjejaskan perpaduan. Sikap prejudis dan prasangka akan tertanam dalam diri sekiranya pelajar tidak berpeluang mengenali etnik lain secara lebih rapat.

Jalan penyelesaian perlu dicari untuk mengatasi fenomena pengelompokan. Memandangkan sekolah rendah tidak dapat menyediakan ruang interaksi antara etnik dengan memuaskan, sekolah menengah adalah alternatifnya. Majoriti murid masih melanjutkan persekolahan peringkat menengah di sekolah kebangsaan. Walaupun terdapat permintaan terhadap sekolah pelbagai aliran dan persendirian pada peringkat menengah, bilangannya masih terkawal.

Isunya kebelakangan ini terdapat desakan yang mahukan penambahan bilangan sekolah menengah pelbagai aliran dan persendirian. Maka dikhuatiri matlamat perpaduan bangsa Malaysia tidak tercapai sekiranya pemilihan sekolah mengikut aliran berleluasa hingga ke peringkat menengah.

Sehingga kini diperhatikan kebanyakan sekolah begitu menumpukan kecemerlangan akademik melebihi aspirasi pembentukan bangsa Malaysia. Misalnya Sekolah Bestari, Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Bitara dan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk kecemerlangan akademik. Belum ada sekolah yang benar-benar memberi fokus kepada interaksi etnik di samping kecemerlangan akademik.

Masukkan unsur etnisiti

Kajian menunjukkan terdapat ciri-ciri bersama sekolah menengah yang dikehendaki dalam memenuhi hasrat kumpulan etnik. Sekolah yang dikehendaki dalam konteks kepelbagaian adalah sekolah yang juga memasukkan unsur etnisiti ke dalam persekitarannya. Selain daripada kecemerlangan akademik, sekolah perlu mempunyai antaranya komposisi etnik berbeza, keterampilan bahasa ibunda, pengiktirafan budaya dan pentadbiran yang memahami. Oleh itu, perlu diwujudkan sekolah menengah sebagai model di mana ia mempunyai elemen kepelbagaian yang memberi ruang kepada kecemerlangan dan interaksi antara etnik.

Fokus sekolah menengah dimaksudkan adalah memupuk perpaduan yang dalam jangka panjang memberi kesan kepada pembentukan bangsa Malaysia. Sekolah Bangsa Malaysia memberi peluang kepada pelajar berinteraksi serta memahami etnik lain dan diberi ruang untuk meneruskan elemen budaya serta bahasa masing-masing. Sekolah menengah bercirikan bangsa Malaysia diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan semua etnik bersama-sama mempunyai semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia.

Penulis ialah Prof Madya Sosiologi dan Pendidikan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 8 Mac 2013

ISU SOSIAL : Bahana khabar angin


PENCEROBOHAN yang berlaku di Lahad Datu, Sabah adalah sesuatu yang sangat asing dalam konteks masyarakat kita.

Pertumpahan darah yang berlaku membimbangkan kita semua. Walaupun kita sering menonton peristiwa seperti itu di kaca televisyen, tetapi kejadian-kejadian seperti itu biasanya berlaku di negara lain.

Apabila berlakunya krisis seperti ini, biasanya yang sering berlaku ialah tersebarnya khabar angin yang mungkin dimulakan oleh sesetengah pihak bagi tujuan suka-suka atau sememangnya disebarkan dengan tujuan tertentu.

Sebab itulah dalam keadaan seperti ini, semua pihak yang terlibat, khususnya orang awam, harus berhati-hati kerana biasanya khabar angin cenderung memberikan implikasi buruk.

Walaupun khabar angin lazimnya akan diabaikan setelah mengetahui bahawa ia adalah berita palsu, bagaimanapun kajian-kajian psikologi menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk mempercayainya sebagai benar apabila ia diulang berkali-kali atau disebarkan oleh ramai orang.

Ini adalah kerana manusia akan cuba menterbalikkan persepsi maklumat tadi kepada kenyataan yang asal.

Misalnya, sekiranya dikatakan bahawa produk A adalah baik, walaupun orang ramai mengetahui bahawa ia adalah produk yang tidak baik, tetapi lama-kelamaan orang akan menganggapnya sebagai betul juga.

Suasana sukar

Bagaimanapun, dalam konteks masyarakat, khabar angin biasanya mencetuskan suasana yang sukar dijangkakan. Maklumat asal akan berubah beberapa kali sehinggalah ia sampai kepada penerima yang terakhir. Ini menjadikan khabar angin yang asalnya kecil telah berubah menjadi kian besar dan sukar untuk dikawal.

Pada tahun 1943, telah berlaku satu pergaduhan kecil di Detroit, Amerika Syarikat yang melibatkan remaja kulit putih dan hitam.

Walaupun pergaduhan itu asalnya kecil sahaja, tetapi berakhir dengan kekacauan yang mengakibatkan 34 orang mati, termasuk enam anggota polis, 75 polis cedera dan 1,800 orang telah ditahan.

Ia merebak apabila dua remaja kulit hitam menyebarkan berita bahawa kumpulan kulit putih telah mencampakkan seorang wanita kulit hitam dan anak kecilnya ke dalam sebuah sungai di tempat yang dinamakan Belle Isle Bridge.

Di kawasan kulit putih pula, berita mula tersebar bahawa sekumpulan kulit hitam telah merogol dan membunuh seorang wanita berkulit putih di tempat yang sama juga.

Sebenarnya inilah yang sentiasa berlaku apabila khabar angin mula merebak. Biasanya, khabar angin boleh berlaku dalam dua proses, pemindahan dan pengemaskinian.

Pemindahan berlaku apabila terdapat dua pihak berinteraksi dan pihak yang memberikan maklumat tadi mampu meyakinkan penerima dengan maklumatnya.

Penerima tadi pula akan menyebarkan kepada orang lain dan biasanya dengan pertambahan maklumat baharu bagi tujuan meyakinkan orang yang mendengarnya.

Tersebar pantas

Pada masa lalu, khabar angin hanya tersebar dari mulut ke mulut. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai medium teknologi hari ini, khabar angin akan tersebar dengan lebih cepat.

Dalam keadaan konflik dan ketidaktentuan, khabar angin akan lebih mudah dipercayai apabila ia ditandai pula oleh petunjuk-petunjuk lain, walaupun tidak ada kaitan dengan khabar angin tadi.

Misalnya, apabila tersebarnya khabar angin kemungkinan berlakunya rusuhan, ia akan dianggap sebagai benar apabila orang ramai mula melihat perpindahan keluar orang ramai dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ia diperkuatkan pula dengan kejadian-kejadian tidak diingini lain, yang mungkin tidak ada kaitannya dengan berita asal yang disebarkan sekali gus menjadikan khabar angin yang disebarkan tadi seolah-olah maklumat yang sangat pasti.

Dalam keadaan orang ramai berasa bimbang dan tertekan, banyak daripada maklumat palsu ini akan lebih mudah dipercayai.

Sebab itu masyarakat perlu berhati-hati. Dalam konteks penyebaran khabar angin melalui internet dan media sosial misalnya, ia akan lebih cepat merebak kerana pembaca tidak berupaya untuk mengenal pasti siapa yang memulakannya.

Ia pula akan disebarkan daripada satu laman ke laman yang lain seolah-olah ia berita yang benar-benar berlaku.

Secara psikologikal, pembaca akhirnya cenderung untuk membuat penafsiran sendiri ke atas maklumat-maklumat yang mereka terima, tanpa meneliti ketulenannya kerana mereka tidak berupaya untuk menilai adakah penyebar maklumat tadi ialah seseorang yang ada kredibiliti atau tidak.

Perkara yang berlaku di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain mungkin adalah sesuatu yang tidak kita harapkan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai apa sahaja yang kita baca dan dengar.

Mungkin, ada maklumat yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk memerangkap masyarakat untuk bertingkah laku dengan cara yang tidak sewajarnya.

Bersabar dan sentiasa bersedia dengan makluman yang disampaikan oleh pihak berkuasa adalah satu cara yang mungkin dapat membantu kita semua dalam menghadapi krisis seperti ini.

Semoga, kita semua dapat menikmati hari indah seperti sebelumnya. Buat anggota keselamatan yang menjaga kestabilan dan keharmonian negara, kami rakyat Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/ 

ISU SOSIAL : Had toleransi selagi tidak jejas akidah


Oleh : Lokman Ismail

Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam.

Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong- menolong dalam kebaikan, meninggalkan kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan dosa.

Tolak fahaman pluralisme

Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’.

Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42)

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai.

Bangun sikap toleransi

Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan.

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain.

Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.

Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat.

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/