Khamis, 14 Mac 2013

ISU KESIHATAN : Lebih 30% Rakyat Malaysia Hidap Darah Tinggi


KUALA LUMPUR : Kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit darah tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ini dikesan melalui kajian rintis mengenai pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam pada tahun lepas.

"Kandungan purata pengambilan garam oleh rakyat Malaysia ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram sehari.

"Dalam kajian yang sama, didapati sos kicap soya merupakan makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi dan kaum lelaki merupakan golongan yang mengambil lebih banyak garam berbanding wanita," katanya dalam perutusan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2013.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang.

"Selain itu, hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan.

"Gunakan perisa asli seperti  rempah ratus, daun sup atau limau untuk menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa yang lain," katanya.

Liow juga menyeru orang ramai supaya mengambil dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari, amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan dan pupuk minda sihat melalui penanganan stres, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.

Katanya pengambilan garam secara berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan berkait rapat dengan kejadian penyakit darah tinggi.

"Pengurangan pengambilan garam boleh mengurangkan tekanan darah dan kejadian strok serta penyakit jantung," katanya. Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia ke-6 yang akan berlangsung pada 11 hingga 17 Mac, ditujukan khusus kepada industri makanan, katering, pengusaha atau pengendali makanan (chef) dan tukang masak di restoran dengan tema " Less Salt Please" (Kurangkan Garam).

Kata Liow, pihak kementerian sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk Malaysia.

"Antaranya sebanyak 16 item makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi iaitu daripada kategori biskut, kicap, mi segera, makanan ringan dan daging beku telah diturunkan kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40 peratus daripada tahap asal sejak tahun 2011 hingga 2012," katanya. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dasar Mengehadkan Jumlah Mata Pelajaran SPM Diperjelas


KUALA LUMPUR : Kementerian Pelajaran menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan sejak 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.

"Dua mata pelajaran tambahan itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan dalam peperiksaan SPM, selain mata pelajaran teras," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Calon hendaklah mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Menurut kenyataan itu, calon boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.

"Dan kelonggaran diberi kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual," kata Abdul Ghafar.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan bertajuk 'SPM 10-Subject Limit Stays' yang disiarkan 10 Mac lalu.-BERNAMA

ISU KESIHATAN : Padah makanan laut



Oleh : Fatin Hafizah Mohd Shahar

Penggemar makanan laut, lazimnya sanggup berbelanja lebih dan mencarinya di serata tempat untuk menikmati kelazatan hidangan laut disukai. Bagi mereka, kesegaran setiap gigitannya memberikan keenakan tersendiri dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Makanan laut yang digemari ramai selain ikan, udang, kupang dan kerang memang sedap untuk dijadikan pelbagai menu. Malah, permintaan tinggi makanan laut bukan sahaja dalam kalangan pengusaha restoran di perairan pantai tetapi turut menjadi tumpuan kepada pengusaha di kota.

Bukan semua orang sewenang-wenangnya menikmati makanan laut, ada yang alergi dan tidak kurang kena berpantang mengambilnya khususnya  penghidap penyakit tertentu seperti gout dan darah tinggi.

Namun, semua orang juga perlu berhati-hati kerana makanan laut ada kalanya mudah tercemar dengan mikro organisma, bahan kimia atau kandungan logam berat sehingga boleh membawa maut.

Contohnya, tiga maut selepas makan kerang dan lokan yang dibeli di Pasar Malam Inanam, Sabah, pada bulan lalu. Kes itu disebabkan fenomena laut merah yang melanda negeri itu yang menjadi punca pencemaran kepada hidupan laut itu.

Pada 1 Januari lalu pula, enam individu mengalami simptom keracunan seperti kebas di leher, muntah, pening dan sesak nafas selepas memakan kerang yang dikutip di perairan Sepanggar, Sabah.

Punca keracunan

Mengulas berkaitan hal itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Saliza Mohd Elias, berkata keracunan makanan laut boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertama, ejen jangkitan termasuk virus, bakteria dan parasit.

Punca kedua berlaku kerana ejen toksin (racun) yang  terhasil secara semula jadi dalam makanan laut seperti ciguatera dan scombroid atau berlaku akibat pencemar kimia daripada bahan buangan industri seperti logam berat, dioksin dan pestisid.

Antara punca keracunan makanan ialah bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin dan bahan kimia atau akibat proses penyediaan makanan kotor, makanan tidak dimasak dengan sempurna atau terdedah kepada persekitaran.

Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam selepas makan makanan tercemar. Kesan bahaya akibat keracunan makanan boleh membawa maut. Selain ada juga membabitkan keracunan sistem saraf, jelasnya.

Gejala keracunan

Dr Saliza berkata, kanak-kanak, warga tua dan individu berdaya tahan diri rendah berisiko tinggi mengalami keracunan makanan dan tandanya bergantung kepada jenis dan kuantiti racun diambil.

Katanya, antara gejala keracunan sering berlaku adalah gastroenteritis iaitu seperti loya, mual, muntah, cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, keadaan pengeluaran najis luar biasa, cair dan kerap turut menyebabkan tubuh kehilangan cecair dan elektrolit.

Masalah keradangan sistem gastro-usus yang selalu dikaitkan dengan darah dan nanah pada najis atau secara saintifiknya disebut dysentery juga berkemungkinan berlaku pada individu mengalami keracunan.

Jangkitan sistem gastro-usus boleh menghasilkan kesan yang pelbagai bermula cirit-birit tidak berbahaya dan pulih dengan sendirinya atau kepada masalah berlarutan dan parah hingga menyebabkan kematian.

Secara am, gejala keracunan makanan ini termasuklah perut memulas atau berpeluh tanpa sebab, demam, rasa sejuk walaupun cuaca panas dan sakit kepala, katanya.

Kaedah rawatan

Mengenai rawatan keracunan, Dr Saliza menjelaskan pesakit mengalami keracunan makanan boleh menjalani beberapa kaedah rawatan bergantung kepada kategori penyakit dihadapi mereka.

Antara ubatan diedarkan adalah ubat menghentikan muntah atau rawatan IV untuk menggantikan bendalir dalam badan yang banyak dikeluarkan sepanjang proses keracunan.

Bagi mengurangkan tanda keracunan ciguatera pula mannitol atau gula formula kimia bertindak sebagai ejen diuretik osmosis untuk membantu menguatkan kandungan minyak dalam buah pinggang.

Pesakit perlu menjalani rawatan sehingga tanda keracunan makanan laut menunjukkan berkurang dan peningkatan pada tahap kesihatan, katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya melihat secara terperinci makanan laut dibeli di pasar untuk mengelak sebarang keracunan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Di laut mudah berlaku pencemaran disebabkan tumpahan minyak dan fenomena laut merah seperti yang berlaku di Sabah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 13 Mac 2013

ISU BAHASA : Seni estetika tinggi sentuhan karya agung


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Apakah dua faktor ekstrinsik yang mendorong minat kita terhadap sastera besar atau sastera agung dunia? Pertama, faktor emosi terhadap sesebuah karya yang dapat dikaitkan dengan keagamaan atau kerohanian. Bagi sesetengah orang Islam, dorongan itu mendekatkan mereka kepada sastera sufi, umpamanya Mathnawi oleh Rumi, Qasidat-ul-Burda karya al-Busiri, dan Persidangan Burung ciptaan Farid a-Din Attar.

Kedua, faktor bahasa asing pertama yang kita kuasai. Bagi orang Melayu yang menguasai bahasa Arab, mereka boleh mengikuti sastera sufi yang disebut di atas langsung daripada bahasa asalnya. Bagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab, mereka membaca karya terjemahan dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada kita pula menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan kita lebih didedahkan kepada sastera Inggeris.

Kita sebenarnya mempunyai warisan karya agung kita sendiri. Dua daripadanya ialah Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu). Dalam masyarakat kita sendiri, karya-karya ini sudah beredar begitu lama, sejak karya itu dihasilkan.

Pada mulanya karya itu disalin dalam bentuk manuskrip tulisan tangan dalam tulisan Jawi. Apabila mesin cetak diperkenalkan ke negara kita pada awal abad ke-19, karya-karya terbabit dicetak dan dapat diterbitkan dengan banyak. Selain versi tulisan Jawi, karya-karya itu juga ada dalam versi tulisan rumi, iaitu huruf yang boleh dikatakan datang bersama-sama penjajahan Barat.

Dua gandingan

Huruf rumi dan penjajahan Barat, khususnya Inggeris adalah dua gandingan yang mencorakkan pemahaman sebahagian daripada kita terhadap sastera yang dianggap baik. Karya-karya sastera Inggeris diperkenalkan kepada pelajar negara ini sejak 1940-an atau lebih awal dari tarikh itu, sama ada di sekolah misionari, sekolah Inggeris, dan malah sekolah Melayu (melalui terjemahan).

Demikianlah kita dihidangkan dengan The Cantebury Tales oleh Chaucer, drama-drama Shakespeare, Gullivers Travels oleh Swift, novel-novel karya Defoe, Richardson, Jane Austin, DH Lawrence dan sebagainya. Perkenalan terhadap sastera Inggeris saja sudah melupakan kita akan hakikat wujudnya karya besar di sekeliling England seperti di Perancis, Jerman dan lain-lain lagi.

Kendala menguasai bahasa asing selain Inggeris mengakibatkan kita agak terlewat mengikuti karya-karya besar dari negara lain kerana kita harus mencari versi terjemahan Inggerisnya. Lebih lewat lagi apabila kita harus menunggu pula versi bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris daripada bahasa asalnya! Inilah situasi yang menyebabkan karya pengarang Perancis dan Jerman tiba lewat kepada kita.

Di Perancis umpamanya, karya besar muncul daripada penulis seperti Rabelais (Gargantua dan Pantagruel), Victor Hugo (Les Miserables), dan Flaubert (Madame Bovary). Di Jerman karya-karya sastera yang menarik antara lain sudah dihasilkan oleh Thomas Mann, Hermen Hesse, Franz Kafka, Gunter Grass serta Goethe dengan drama besarnya, Faust.

Tunggu 240 tahun

Apabila baru-baru ini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan Faust dalam bahasa Melayu, kita sebenarnya menunggu karya agung ini selama kira-kira 240 tahun sejak kali pertama diterbitkan di Jerman. Ini bukan saja akibat perhatian kita yang selama ini lebih berfokus kepada sastera Inggeris, tetapi juga masalah menemukan penterjemah yang cukup berwibawa, yang mendalami nuansa bahasa Jerman dan bahasa Melayu dengan baik.

Selain menunggu kira-kira 240 tahun, kita juga sebenarnya menunggu seorang Latiff Mohidin untuk dapat menterjemahkan Faust ke dalam bahasa Melayu. Latiff terdidik selama empat tahun di Academy of Fine Arts, Berlin. Beliau menguasai bahasa Jerman dengan baik. Beliau juga seorang penyair Melayu berbakat besar yang menghasilkan beberapa kumpulan puisi seperti Sungai Mekong, Kembara Malam, Wayang Pak Dalang, Pesisir Waktu dan sebagainya.

Seorang penyair biasanya melalui proses penyaringan idea, pemilihan diksi yang teliti, menyelami dunia bayangan bagi mencari mutiara metafora, dan menekuni bentuk, warna serta rentak bahasa, agar puisinya indah dan hidup di atas kertas. Apabila seorang penyair seperti Latiff sudah menempuh proses terbabit, ditambah pula dengan penguasaan bahasa Jerman, tidaklah menghairankan jika Faust hadir di hadapan kita dalam bahasa Melayu yang indah, bersahaja serta merangsang emosi dan intelektual kita.

Merangsang karya besar

Baik pengarang muda mahupun pengarang mapan, mereka harus menekuni dan membiasakan diri membaca serta menghayati karya agung dunia. Ini boleh merangsang mereka untuk melahirkan karya besar.

Anggota masyarakat juga wajar membaca karya besar dan agung. Melalui pembacaan dan penghayatannya, kita menikmati seni estetika tinggi dan dalam masa sama memperkaya pengalaman kemanusiaan dan menambah kebijakan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 12 Mac 2013

ISU SOSIAL : Saranan tangani konflik remaja dengan ibu bapa


Oleh : Farah Ashikin Mohamed Ridzwan

KADANGKALA berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dengan anak remaja mereka.

Daripada  pandangan ibu bapa, mereka melihat adanya perubahan remaja daripada seorang anak yang mendengar kata kepada seorang yang memberontak.

Sering kali juga, perubahan sikap anak remaja itu berpunca daripada ibu bapa yang meletakkan peraturan lebih ketat dengan tujuan 'mengawal' remaja tersebut sehingga ada peraturan itu menyebabkan remaja berasa tertekan dan terkongkong, lantas tercetuslah konflik.

Sementara itu, menurut Elizabeth Bergner Hurlock dalam bukunya Adolescent Development, keinginan remaja menjadi individu yang berdikari dan bebas merupakan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan remaja.

Mereka juga inginkan 'kuasa' untuk menjalani kehidupan ikut cara mereka sendiri.

Namun, remaja tidak sedar bahawa mereka masih memerlukan pertolongan dan bimbingan ibu bapa.

Remaja juga sering memihak kepada rakan mereka berbanding ibu bapa kerana berasakan bahawa rakan mereka memahami perasaan dan keinginan mereka.

Pada peringkat ini, sikap, penampilan dan pertuturan mereka banyak dipengaruhi rakan.

Ada beberapa saranan  untuk menangani konflik dua pihak ini.

Memandangkan perubahan sikap remaja banyak dipengaruhi persekitaran dan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan mereka, ibu bapa bukan sekadar harus memahami apa yang mereka lalui malah harus menjadi contoh baik kepada mereka.

Pertama, ibu bapa boleh menunjukkan sifat penyayang dengan memberikan kasih sayang.

Kasih sayang yang ikhlas akan membuatkan mereka rasa terpelihara dan disayangi lantas lebih mudah mengongsi masalah dan perasaan mereka.

Kedua, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak remaja agar dapat mengenali punca perubahan diri mereka.

Pengetahuan ini akan memudahkan ibu bapa mencari jalan terbaik untuk mendekati anak mereka sekali gus membentuk perhubungan yang harmoni.

Ketiga, sifat hormat-menghormati perlu disemai dalam diri remaja. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh dengan bersifat lemah lembut ketika berbual bersama mereka.

Ucapan seperti 'syukur alhamdulillah' dan 'terima kasih' serta puji-pujian boleh menimbulkan perasaan hormat antara ahli keluarga.

Keempat, ibu bapa harus bersifat realistik. Harapan ibu bapa haruslah selaras dengan kemampuan remaja. Oleh kerana remaja secara semula jadi ingin bebas dan berdikari, ibu bapa perlu menyemai sifat daya tahan agar mereka lebih teguh menghadapi permasalahan di sekolah.

Kelima, ibu bapa harus bersikap jujur kepada anak remaja dan harus bersedia meminta maaf jika telah melakukan kesalahan.

Tanpa sifat integriti, akan hilang rasa hormat remaja terhadap ibu bapa.

Keenam, secara semula jadi, remaja bersifat sensitif dan ingin dihargai. Oleh itu, ibu bapa harus memaparkan sifat tanggungjawab dalam menunjukkan kepedulian terhadap anak-anak meskipun sibuk bekerja.

Oleh itu, ibu bapa perlu terus berusaha menjadi contoh terbaik untuk anak remaja kerana pengajaran yang terbaik adalah dengan menjadi contoh.

Di samping itu, ibu bapa perlu terus memikirkan jalan yang terbaik untuk mengeratkan perhubungan bersama remaja.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Bayang-bayang Bukan Diriku


Kukira
bayang-bayang
meskipun bukan realiti diri
tetap milikku.

Rupa-rupanya
bayang-bayang
bisa terpisah
dari diri
membawa haluannya sendiri.

Apabila mentari mula istirahat
senja menggiliri saatnya
dan bulan menyimpan sinarnya
maka lenyap sudah bayang-bayang
aku kembali memperhatikan diri
itulah realiti.

Kembara Bahasa
12 Mac 2013

ISU SOSIAL : Individu Kaya Malaysia Dijangka Meningkat Kepada 1,294 Orang Dalam Tempoh 10 Tahun


KUALA LUMPUR : Bilangan individu kaya Malaysia dengan aset bersih bernilai US$30 juta atau lebih setiap seorang dijangka meningkat 51 peratus kepada 1,294 orang dalam tempoh 10 tahun akan datang daripada 828 orang ketika ini.

Masih ada ruang bagi penciptaan kekayaan meskipun persekitaran ekonomi global yang suram beberapa tahun lepas, demikian menurut laporan daripada Knight Frank LLP, pakar runding hartanah global bebas utama.

Ketua Penyelidikan Knight Frank Asia Pasifik, Nicholas Holt berkata pertumbuhan dan tumpuan kekayaan kini beralih ke bahagian timur, dengan Asia dijangka menyaksikan kelahiran lebih ramai individu kaya dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding mana-mana rantau lain.

"Data daripada laporan kekayaan menunjukkan bahawa pertumbuhan keluaran dalam negara kasar di kebanyakan negara membangun Asia akan mewujudkan peluang keusahawanan yang akan memudahkan penciptaan kekayaan," kata Holt kepada pemberita di majlis pelancaran laporan The Wealth Report 2013 di sini, Selasa.

Berdasarkan kepada kaji selidik itu, portfolio pelaburan paling popular dalam kalangan pelanggan Malaysia pada 2012 ialah hartanah, diikuti tunai dan ekuiti, katanya.

Mengenai permintaan bagi hartanah kediaman utama, Holt berkata dalam majoriti lokasi di seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, keseluruhan permintaan bagi hartanah sedemikian membantu melonjakkan lagi harga ke paras lebih tinggi, dalam kes tertentu hingga menyebabkan kerajaan-kerajaan merasakan perlu untuk mengekang permintaan.

"Sekatan kerajaan ini di pasaran-pasaran yang bersaing dengan Malaysia mungkin menjadi pemangkin bagi pelabur untuk melihat Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu (terutamanya Iskandar Malaysia) sebagai destinasi pelaburan alternatif menarik pada 2013," katanya.

Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan peningkatan perbelanjaan pelanggan bagi barangan mewah dan aktiviti dermawan di Malaysia pada 2012, menunjukkan tiga pelaburan kesukaan paling utama ialah perabot antik, kereta klasik dan karya seni, kata Holt. BERNAMA