Rabu, 28 Ogos 2013

JIKA ...


Jika bukit menjadi gunung
Gunung menyuburi rimba
Jika sakit mendorong menung
Menung merangsang dewasa
Lorong hidup banyak cabarnya.

Jika rakit menjadi kapal
Kapal meningkat bahtera
Jika bangkit melawan gagal
Gagal membibit hemah
Landas hidup banyak tuahnya.

Sasterawan Negara A.Samad Said

ISU PENDIDIKAN : Perkasa guru, kualiti pendidikan


Oleh :  Luqman Arif Abdul Karim


Tumpu dua aspek penting pastikan PPPM capai matlamat penubuhan

Kuala Lumpur :  Keberkesanan transformasi kualiti pendidikan negara bergantung kepada keunggulan profesyen perguruan dan kualiti pendidikan.

Justeru, iltizam mencapai matlamat berkenaan diterjemahkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang  inti patinya turut diperkukuhkan menerusi penganjuran siri dialog membabitkan pelbagai peringkat masyarakat.

Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri yang juga seorang panel dialog PPPM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata pemerkasaan tugas guru adalah antara aspek penting yang diketengahkan dalam pelan itu.

Laporan akhir PPPM dijangka dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 September ini.

Capai enam sasaran

Pada 11 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan Laporan Awal PPPM.

Sebanyak enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan dalam Gelombang 1 PPPM (2013-2015) berjaya dicapai dalam tempoh 100 hari pelaksanaannya.

Sulaiman berkata, pemerkasaan guru kena pada masanya memandangkan tugas mereka kini adalah pelbagai selain daripada mengajar.

Katanya, ia termasuk memastikan pelajar mempunyai sahsiah dan disiplin tinggi.

Beliau berkata, isu itu antara perkara utama yang diketengahkan dalam siri dialog PPPM di tiga negeri kendaliannya.

“Memang perlu ada dasar bersesuaian untuk mengatasi isu ini supaya fokus guru ketika mengendalikan pengajaran tidak terjejas.

Jamin keberkesanan PPPM

“Justeru, setiap dasar dalam PPPM akan merangkumi pelbagai aspek dan rantaian mekanisme bagi menjamin keberkesanannya secara menyeluruh.

“Saya berpendapat, semua pihak dan agensi kerajaan perlu menggembleng tenaga dalam merealisasikan visi yang tersirat di sebalik PPPM ini,” katanya.

Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa.

Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dalam tempoh 15 tahun yang akan datang. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima pada peringkat antarabangsa.

“Dalam sesi Dialog Nasional, kualiti pengajaran dianggap wahana paling berkesan untuk mentransformasikan pendidikan rendah dan menengah dan selanjutnya meningkatkan keberhasilan murid. Menerusi pelan ini kita dapat lihat kementerian beriltizam untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dengan memperkukuh amalan terbaik sedia ada,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Hayati merdeka menerusi Perlembagaan


Oleh : Shamrahayu A Aziz
 
Perlembagaan Persekutuan yang kita ada sekarang mula beroperasi selepas kita mencapai kemerdekaan. Seperti tulisan saya pada minggu lalu, Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan.

Dalam mengisi Perlembagaan ketika kemerdekaan itu, kita maklum bahawa dalam Perlembagaan itu terkandung prinsip hasil inspirasi pimpinan politik dan paling utama ialah inspirasi Raja-Raja Melayu ketika itu. Di samping itu, ada juga cadangan kepakaran daripada Ahli Suruhanjaya Perlembagaan atau juga dikenali Suruhanjaya Reid.

Inspirasi pimpinan politik dan juga Raja-Raja Melayu itu jelas sekali dilihat dalam pelbagai perkara dalam pengisian Perlembagaan, iaitu dalam perkara membabitkan unsur warisan. Paling jelas ialah mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, keistimewaan Melayu yang mencakupi beberapa perkara, iaitu tanah rizab Melayu serta kuota permit perniagaan, biasiswa dan dalam perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kedudukan institusi Raja yang diperjelas kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi beraja.

Perlu diberi penghayatan

Ada juga penulis yang menamakan perkara ini sebagai unsur tradisi. Walaupun ada perbezaan dalam istilah ini, apa yang penting untuk difahami ialah kebanyakan prinsip penting terkandung dalam Perlembagaan itu adalah berasal dari tanah air ini. Seperti yang sentiasa saya sebut dalam tulisan sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya adalah dokumen yang mempunyai pengisian yang begitu padu dengan kehendak dan keinginan warganya.

Oleh itu, dalam mengisi kemerdekaan ini setiap prinsip warisan atau tradisi ini perlu diberikan penghayatan sepenuhnya. Walaupun kita menyedari mengenai perubahan yang sudah dan perlu berlaku dalam perkembangan keadaan negara, ia adalah prinsip warisan ini. Tujuannya supaya kita tidak menyimpang daripada tujuan asal Perlembagaan.

Dalam membahaskan perkara tradisi ini, ramai juga yang berasakan kita tidak perlu lagi berpusing menggunakan gear undur untuk mengisi kemerdekaan. Ada yang berhujah bahawa mungkin perkara terbabit baik pada masa itu, iaitu pada masa ia diperkenalkan, tetapi ia harus berubah apabila masa dan keadaan berubah. Banyak yang sudah dibahaskan mengenai isu ini.

Kebijaksanaan pimpinan

Walau apa pun, saya mahu menegaskan di sini bahawa, dalam apa juga perubahan keadaan kita, mengekalkan pusaka lama seumpama nilai tradisi ini adalah satu keperluan dan sebarang perubahan hendaklah apa yang sebenar-benar boleh membawa kepada kebaikan. Nilai pusaka inilah yang menjadikan sesebuah bangsa itu dapat mengekalkan jati diri mereka serta mempunyai landasan kegemilangan yang nyata dan teratur. Nilai tradisi ini juga yang berupaya memangkin pembangunan.

Kebijaksanaan pimpinan juga memainkan peranan paling penting dalam mengekalkan nilai tradisi ini. Oleh itu, dalam apa juga pembangunan dan polisi sudah tentu nilai tradisi ini hendaklah dijadikan kayu pengukur dan pengimbang.

Perkara ini kita boleh lihat dalam proses membuat Perlembagaan merdeka dulu. Daripada dokumen sejarah saya dapati banyak perkara yang sudah disebut oleh kepemimpinan mengenai perkara yang dijangka berlaku. Oleh itu, nilai tradisi itu dijaga oleh peruntukan berkaitan pindaan Perlembagaan.

Tonggak Perlembagaan

Boleh dikatakan semua nilai tradisi tidak boleh dipinda menerusi proses demokrasi atau undian di Parlimen. Nilai ini hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Bahkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 hanya boleh dipinda dengan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, jelas di sini, bahawa semua perkara tradisi itu adalah tonggak kepada Perlembagaan. Maka, amalan dalam bentuk polisi hendaklah sentiasa dipadankan dengan kedudukannya dalam Perlembagaan.

Pemahaman kita kepada nilai tradisi dalam bulan kemerdekaan ini boleh dijadikan cara untuk kita mencernakan kefahaman terhadap hubungan antara Perlembagaan dan kemerdekaan. Selain itu, ia juga bagi menjelaskan lagi kecintaan kita kepada tanah air tumpah darah ini dan seterusnya dapat mendatangkan kesan positif terhadap kecintaan kepada negara dan bangsa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Hormati simbol kebesaran negara


Oleh : DR. MOHD MAHZAN AWANG

NEGARA merdeka memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi simbolik. Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara.

Maka, mengibarkan bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara adalah satu tingkah laku mulia. Sebaliknya pula, menterbalikkan dan mengoyak bendera adalah satu bentuk penghinaan bukan saja kepada sesebuah negara tetapi juga kepada seluruh rakyat sesebuah negara.

Begitu juga dalam soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan Negaraku. Berdiri  tegak ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti.

Justeru, tidak hairan apabila ramai rakyat Malaysia tidak menzahirkan rasa hormat kepada lagu Negaraku sebagaimana yang dikehendaki. Umum mengetahui bahawa penghormatan kepada lagu kebangsaan negara di Thailand dan Indonesia telah menjadi sebahagian budaya mereka.

Untuk menjadikan cara penghormatan sebagai sebahagian budaya bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara tiba-tiba. Ia memerlukan satu mekanisme perubahan yang berasaskan kajian empirikal.

Bukan bendera dan lagu kebangsaan sahaja yang menjadi simbol kepada kebesaran negara, tatapi konsep 'simbol kebesaran negara' adalah suatu yang meluas. Memahami konsep ini sebenarnya memerlukan satu penelitian sejarah, pemahaman dan penghayatan yang berseni.

Amnya, simbol kebesaran negara dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu simbol kebesaran negara yang konkrit dan simbol yang abstrak.

Barangkali lebih mudah untuk menghormati simbol kebesaran konkrit kerana ia dapat dilihat dan disentuh. Simbol-simbol yang tergolong dalam kategori ini termasuklah Jalur Gemilang, bendera negeri, bendera Wilayah Persekutuan, bendera kerajaan tempatan, Jata Negara, lagu kebangsaan Negaraku, dan lagu-lagu rasmi negeri.

Oleh sebab ia berbentuk konkrit, maka kita dapat melihat secara jelas tentang bagaimana masyarakat menghormati simbol kebesaran negara ini.

Kita dapat melihat bagaimana rakyat di Malaysia menyambut perayaan hari kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik, aktiviti sambutan kemerdekaan di institusi pengajian tinggi serta hiasan-hiasan kemerdekaan di bangunan kerajaan. Tahniah, kepada yang telah menzahirkannya.

Tanpa menidakkan kepentingan dalam menzahirkan rasa cinta dan hormat kepada kedaulatan negara merdeka, terdapat satu fenomena yang mungkin lebih utama untuk diteliti iaitu sejauh mana simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak atau simbolik dihormati rakyat Malaysia.

Parlimen Malaysia dan Sistem Raja Berperlembagaan umpamanya adalah salah satu simbol kebesaran negara yang abstrak kerana ia bukan merujuk kepada bangunan Parlimen tetapi ia adalah satu tunjang dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Sistem ini telah menjadi tiang dalam pengurusan dan pelestarian kemerdekaan negara. Soalnya, bagaimanakah dan sejauh manakah rakyat Malaysia berlainan sosio-demografi menzahirkan rasa hormat kepada Parlimen Malaysia dan Raja Berperlembagaan?

Barangkali masih ada yang keliru tentang cara bertindak dalam ruang lingkup negara demokrasi yang seringkali dikaitkan dengan kebebasan bersuara. Memang negara demokrasi meraikan perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian suara tetapi antara hak bersuara dan tanggungjawab untuk keharmonian negara adalah dua aspek yang saling berkait rapat dalam sistem demokrasi.

Justeru, bertindak secara demokratik dalam menyalurkan kritikan dan teguran secara matang menerusi saluran sah seperti badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan juga badan profesional adalah bukti aksi sosial dalam menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja Berperlembagaan negara ini.

Barangkali, inilah cara rakyat Malaysia menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja Berperlembagaan sebagai simbol kebesaran negara. Memandangkan penghormatan kepada simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak ini tidak dapat dinilai secara konkrit tetapi memerlukan satu deskripsi, satu garis panduan ekspektasi kerajaan Malaysia terhadap tingkah laku rakyat Malaysia dalam menzahirkan penghormatan kepada simbol kebesaran negara amat wajar diadakan.

Dengan cara ini, rakyat dapat mengetahui harapan kerajaan kepada tingkah laku rakyat. Di samping itu, memberi penghargaan kepada sikap dan tingkah laku rakyat yang menghormati simbol kebesaran negara adalah motivasi kepada semua. Juga, merancakkan lagi modal sosial menerusi pendidikan komuniti adalah satu perancangan yang perlu difikirkan secara serius.

Hakikatnya, menzahirkan rasa hormat kepada negara bukanlah semata-mata perbuatan fizikal tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita bertindak dan berperilaku dalam konteks falsafah demokrasi di Malaysia.

Penulis ialah pensyarah Pendidikan Komuniti di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 27 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Menghayati erti kemerdekaan dengan jiwa kenegaraan


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW.

MERDEKA ! Laungan keramat yang kita dengar apabila setiap kali tibanya 31 Ogos. Namun kalau sekadar melaungkan merdeka beberapa kali adakah cukup membuktikan kita memahami erti kemerdekaan sebenar? Jika hanya meletakkan bendera Malaysia di kereta, di rumah dan di mana-mana sahaja menjelang 31 Ogos, adakah situasi ini cukup membuktikan kita bersemangat patriotik?

Isu menterbalikkan bendera Malaysia, bendera dijadikan sebagai pakaian, merosakkan lirik lagu Negaraku, tidak menghormati lagu Negaraku semasa dinyanyikan, di mana sebenarnya jati diri anak-anak Malaysia?

Anak-anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan kerana dilahirkan dalam era baharu dengan semuanya serba canggih dengan teknologi terkini. Dengan erti kata lain, tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan seperti yang pernah dialami datuk dan nenek moyang kita yang jauh di sanubari mereka mencintai Malaysia sepenuh jiwa dan raga.

Seorang warga Indonesia yang ditemui memberitahu, di negaranya semasa menyambut Hari Kemerdekaan adalah berbeza di Malaysia. Semua yang hadir hanya diberi makan ubi kayu dengan merasai suasana sambutan yang diadakan seolah-olah mereka berada di zaman penjajahan kerana pemimpin mahu mereka menjiwai suasana itu sendiri. Inilah yang kurangnya pada anak-anak Malaysia sebab lahir sahaja semua kemewahan telah berada di depan mata.

Remaja kini dikatakan kurang mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dan yang telah banyak menabur bakti kepada negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja yang sepatutnya menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai idola.

Seorang graduan yang dilahirkan perlu cintakan negara begitu juga rakyatnya dan saya bersetuju supaya subjek Kenegaraan Malaysia menjadi subjek wajib dan diketengahkan untuk mendedahkan kepada anak-anak kita erti kemerdekaan dan menghargai negara. Seronok belajar sejarah kerana sejarahlah membawa kita mengenal kehidupan.

Keprihatinan ini ditunjukkan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang bertitah meminta supaya kerajaan segera memperkenalkan subjek Kenegaraan bertujuan mendidik anak bangsa mengenai Perlembagaan dan melahirkan warganegara Malaysia yang memahami aspek perpaduan dan permuafakatan.

Dalam titah baginda dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan baru-baru ini, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kanak-kanak perlu diasuh melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol negara seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

'' Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam,'' titah baginda penuh amanat menyuntik semangat jiwa patriotisme yang tinggi.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotisme. Aktiviti-aktiviti yang bersemangat patriotisme yang harus diterapkan sepenuhnya dalam kalangan pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.

Media masa, sama ada media cetak, elektronik atau media baharu semuanya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehidupan manusia sangat besar sehinggakan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen dan komputer.

Sehubungan itu, media masa wajar dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme. Filem-filem bercorak patriotisme perlu diberi keutamaan seperti filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya, Paloh dan Embun.

Kita menanti perkembangan terkini pembikinan filem bertajuk Kanang Anak Langkau sebagai mengenang jasa mendiang Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera lain. Filem Tanda Putera pula mewujudkan pelbagai spekulasi. Rasanya, penonton-penonton filem di Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai mesej ikhlas dari filem berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan mereka yang menonton wayang tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos 2013 akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di pawagam dan mungkin diteruskan hingga Hari Malaysia 16 September jika diluluskan nanti.

Penghayatan dalam lagu, puisi, sajak dan syair berkaitan dengan patriotisme bagi menyemai semangat cintakan negara perlu ada dalam diri anak muda. Ada segelintir remaja yang tidak memahami puisi, ketawa dan berjenaka semasa sesi mendeklamasikan sajak. Dan sedihnya, melihat situasi apabila pelajar-pelajar yang menyanyikan lagu Negaraku dengan lirik yang salah dan tidak berdiri tegak. Ibu bapa harus menjadi tunjang utama keluarga dan mengambil peranan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja khususnya cabaran ibu bapa yang masih muda.

Sajikan cerita-cerita rakyat yang berunsurkan sejarah untuk anak-anak mengenali warisan dan budaya. Semasa bercuti, bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah yang menarik di Malaysia. Bukankah - "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"? Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Salam 1Hati.


Penulis  ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Intertekstualiti dalam novel sejarah

Novel Tak Seindah Impian
Oleh : RAHMAN SHAARI

BEBERAPA tahun akhir-akhir ini muncul gesaan agar sejarah Malaysia ditulis semula.  Mengikut pandangan pihak yang membuat gesaan demikian,  sejumlah pejuang kemerdekaan tidak mendapat layanan yang wajar dalam buku-buku teks sejarah.

Penulisan semula buku sejarah yang autentik pasti akan memakan masa. Seseorang tokoh mungkin diletakkan berlebih-lebihan, iaitu tidak berpadanan dengan sumbangan yang diberikannya. Profesor Dr Syed  Naquib al-Attas mengatakan, sejarah bukanlah semua yang berlaku, tetapi peristiwa-peristiwa pilihan. Dalam penulisan sejarah orang perseorangan, iaitu biografi, jika kesemua hal ditulis, berkemungkinan kesannya buruk. 

Ini disebutkan oleh Dr A Halim Ali dalam majlis bicara buku di Perpustakaan Awam Temerloh pada 24 Ogos 2013.

Dalam kalangan penulis kreatif juga timbul kesedaran akan perlunya aliran baru dalam tafsiran sejarah. Beberapa orang penulis kreatif berusaha keras mencipta puisi, cerpen, skrip drama dan novel yang berasaskan sejarah.  Kecenderungan baru ini amat menarik.

Dalam bicara ini, saya nyatakan makna sastera sejarah. Pada masa silam terdapat karya-karya yang digolongkan sebagai historiografi tradisional Melayu, dengan contoh-contoh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Sejarah Melayu dan banyak lagi. Fakta bercampur dengan fiksyen.

Sementara kita menunggu penulisan semula sejarah, sastera sejarah eloklah difikirkan. Dalam bidang puisi, apabila tokoh sejarah disebut, kandungannya tidak terperinci. Misalnya, apabila disebut nama Tok Janggut, Mat Kilau, Maharaja Lela, Dato Bahaman dan lain-lain, sebutan itu  sekadar menyatakan semangat pahlawan. Tiada pelukisan yang jelas untuk menyatakan sumbangan tokoh-tokoh itu. Hashim Yaacob, misalnya, menganggap pembaca sudah pun mengetahui sumbangan pahlawan-pahlawan tersebut apabila beliau menulis:

Bangkit Tok Janggut dengan kegagahan/Bangkit Mat Kilau dengan kecekalan/Bangkit Maharajalela dengan kehandalan/Bangkit Bahaman dengan keyakinan/Bangkit segala wira, bangkit/Bangkit bangsaku memaknakan pertuanan.  (Sajak 'Kitalah Tuan').

Nama-nama tokoh dalam konteks di atas ialah alusi untuk membangkitkan semangat rakyat masa kini, di samping mendorong rakyat mengenang sejarah para pejuang kemerdekaan.

Dalam novel yang menceritakan peristiwa sejarah, terdapat banyak pelukisan tindakan watak-watak yang disampaikan melalui babakan. Menurut Dr Othman Puteh, tindakan watak-watak sedemikian dilukiskan secara silang baur. Dr Halim Ali dalam bicara di Temerloh itu menyebutkan bahawa dalam kajian intertekstualitinya, penulis novel sejarah menggunakan sumber-sumber sejarah dengan ketara, dan sumber-sumber itu dimasukkan ke dalam novel dengan mengubah nama, tempat dan sebagainya. Hadirin agak terkeliru. Ini terbukti apabila salah seorang daripada mereka bertanya:

Adakah pelaksanaan intertekstualiti dalam pengkaryaan merupakan plagiarisme?

Rahman Haji Yusof
Sebenarnya, intertekstualiti adalah keperluan dalam penulisan novel sejarah. Sebagai contoh, karya yang berjudul Tak Seindah Impian karya Rahman Haji Yusof berkisah tentang kehidupan para pejuang  kemerdekaan. Latar masa dalam novel tersebut ialah ketika Jepun telah meninggalkan Tanah Melayu, dan Inggeris kembali berkuasa.

Saya berpendapat, penulisan novel yang berlatarkan zaman tersebut memerlukan kajian.  Novel sejarah memerlukan fakta sejarah, walaupun terdapat peratusan tertentu, misalnya 20% rekaan (fiksyen).

Dalam novel sejarah, apabila nama-nama watak itu boleh menimbulkan kontroversi, perubahan dilakukan oleh pengarang.

Pengarang mungkin bimbang kalau-kalau fakta tentang Shamsiah Fakeh tidak tepat, maka dibina satu nama baru, misalnya Suria Pakih.  Dengan nama baru demikian, kisah bayi yang masih dipertanyakan dalam kalangan masyarakat kita hingga kini, dapat dijawab secara kreatif. Buku karya Azzah AR, iaitu  Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan misalnya,  memuatkan kata-kata Shamsiah Fakeh sendiri tentang bayi tersebut.  Manakala Rahman Haji Yusof membina silang baur, bahawa wanita yang melahirkan bayi  itu  ialah Khatijah, bukan Suria Pakih.

Saya berpandangan, novel, cerpen, puisi dan skrip drama yang berasaskan sejarah perlu dihasilkan untuk maksud mendorong rakyat menghayati sejarah. Pelaksanaan silang baur, malah anakronisme (bersalahan masa) tidaklah menjadi masalah, kerana itu akan dijelaskan oleh pembicara sejarah.Ketidakselarian tersebut disebabkan oleh masuknya kreativiti dan silang baur ke dalam novel sejarah.

Asas sastera sejarah memanglah sejarah, manakala bahagian fiksyen ialah dekorasinya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 26 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Memupuk semangat kemerdekaan dalam jiwa setiap warga Malaysia


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

MALAYSIAKU Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku merupakan tema kemerdekaan tahun 2013 dan yang ke-56 buat tanah air ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Sungai Petani, Kedah; dua minggu sebelum kemuncaknya. Ia akan diikuti dengan program Ambang Merdeka di Pusat Maritim, Putrajaya serta perbarisan dan perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti.

Apa makna kemerdekaan bagi warga Malaysia? Adakah masih mempunyai pertautan dengan semangat kemerdekaan secara konsisten atau ia sekadar menjadi salah satu hari sambutan yang membolehkan masyarakat beriadah dan bersantai dengannya?

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan - "Siapa kita tanpa Malaysia? Dan bersediakah kita untuk berkorban demi negara tercinta ini? Jika ada yang menyatakan tema merdeka tahun ini agak old school, saya memang mengakuinya kerana kita mahu mengembalikan semula perasaan cinta ini dalam kalangan rakyat supaya bersedia mempertahankan tanah air ini dalam apa jua situasi".

Sejarah pembentukan negara-bangsa ini perlu digarap nilainya oleh setiap warga Malaysia yang bangga menjadi rakyatnya. Kita tidak boleh bersifat selektif di dalam soal kenegaraan. Kita tidak boleh berkompromi dalam nilai-nilai asas yang membolehkan kita menjadi warganya; keterangkuman yang penting dalam proses membina bangsa Malaysia.

Asasnya adalah seorang warga yang setia kepada negara akan bersama dalam pasang surut yang dilalui; perwatakan berterima kasih ke atas pencapaian dan berazam meningkatkan kedudukan negara dalam keadaan yang tidak menentu atau zaman kemerosotannya. Susah senang dilalui bersama atas semangat pengisian kemerdekaan yang memaparkan proses pembinaan negara-bangsa yang jauh maju, kompetitif, pertumbuhan dan bersaing di peringkat global berbanding dengan beberapa buah negara serantau yang masih bergelut memahami erti kemerdekaan.

Semangat nasionalisme dan patriotisme mendasari semangat kemerdekaan sebenarnya. Walau ramai mempersoalkan jati diri generasi Y hari ini, kita harus akui perbezaan suasana masa dan tempat menyebabkan wujud tafsiran berbeza ke atas penerimaan konsep sambutan hari kemerdekaan. Jika generasi merdeka melalui pengalaman penjajahan tetapi generasi baru menikmati hasil peninggalan warisan berzaman generasi lalu. Jika generasi lalu memaparkan secara fizikal semangat perjuangan kemerdekaan, generasi Y memilih untuk melakukannya dalam acuan berbeza tanpa secara fizikal menunjukkan semangat jati diri mereka. Bagi mereka, yang penting adalah kesinambungan penghayatannya melalui pengisian yang memberikan hasil akhir kepada tanah air dalam imbuhan yang berlainan. Namun, ada segelintir yang nakal dengan semangat memperlekehkan perjuangan asal pejuang kemerdekaan tanah air.

Ada pula menyoal apa gunanya merdeka jika negara masih mundur, dibelenggu kemiskinan, dihimpit dengan kos sara hidup tinggi; ditenggelami oleh persekitaran yang kurang sihat dan tidak kondusif untuk menikmati kehidupan yang berkualiti. Apa guna juga jika nilai-nilai mulia tidak dipertahankan tetapi bertembung sesama warganya atas kepentingan peribadi.

Sebagai sebuah negara yang rencam, nilai penerimaan, hormat dan memahami penting dalam pengisian kemerdekaan agar ia terus menjadi benteng yang kukuh untuk meneruskan tradisi pencapaian yang jauh lebih baik dari apa yang sudah dinikmati selama ini. Titik keseimbangan antara sesama warga adalah bagaimana boleh sapa menyapa, ziarah, bekerjasama dan tmenegur jika ada silap dan salah bukannya bermusuhan sehingga membawa kepada ketegangan hubungan. Walau berbeza agama, etnik, geografi, gender atau fahaman politik, ia tidak boleh mempengaruhi pertahanan menyeluruh yang perlu ada dalam jiwa dan sanubari setiap individu demi kedaulatan negara ini. Jiwa Malaysia berkiblatkan 'satu negara, satu matlamat' akan pertahankan apa yang sudah dibina selama 56 tahun, satu tempoh masa yang masih pendek dalam proses membina bangsa yang tahu pengertian sebenar kemerdekaan.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk turut serta dalam meraikan kemerdekaan. Kesemua warga baik keluarga, media, rakan sebaya, sekolah, universiti, pemimpin, agensi berwajib dan badan bukan kerajaan serta pelbagai kumpulan sasar boleh memberikan maksud kepada pengertian kemerdekaan.

Saya masih ingat bagaimana guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjong Malim, Cikgu Borhan Shamsuddin (kini Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak) mengarahkan saya, Azri Mukhlas, Chin Peng, Norhayati, Noni, Mamat dan lain-lain melakonkan pantomin kemerdekaan untuk menyampaikan kepada pelajar lain makna kemerdekaan. Barangkali aktiviti seperti ini masih boleh diteruskan bersama aktiviti lain yang disesuaikan dengan persekitaran yang berubah-ubah.

Ada juga individu yang menunjukkan mereka gah dengan mengkritik dan menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kepada negara luar. Apakah ini dapat menjamin kedaulatan negara terpelihara. Malahan, dalam negara sekalipun, ada juga menyoal kedudukan Yang di-Pertuan Agong sehingga mempersenda kedudukan institusi tersebut melalui beberapa pendekatan khususnya media sosial. Apakah ini nilai yang mahu dipupuk dan disemai dalam kalangan warga negara ini?

Hakikatnya, pengisian kemerdekaan ini bergantung kepada keharmonian, keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air. Demografi dan geografi Malaysia adalah unik. Ia menjadi akar yang menyuburkan rongga-rongga ikatan antara sesama warganya. Walau wujud ketidakseimbangan sosial baik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta inter dan intra kaum; kemuafakatan dan perpaduan penting sebagai landasan muhibbah dan kedamaian nasional.

Walaupun negara pernah berhadapan dengan beberapa konflik dalaman dan luaran termasuklah peristiwa seperti rusuhan perkauman 13 Mei 1969, Kampung Rawa 1998, Kampung Medan 2001, Lahad Datu 2012 dan beberapa insiden lain, keamanan tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan. Etnosentrik dan streotyping yang tebal sehingga menjadikan budaya lain bahan gurauan tidak tersenarai dalam usaha kerajaan membimbing nilai kemerdekaan. Kesederhanaan atau wassatiyah adalah antara ciri penting proses pengisian dan penghayatan sebenar hari kemerdekaan.

Ia juga adalah usaha memelihara keselamatan. Masyarakat mahu merasa selamat dari sentiasa perlu berhadapan dengan suasana takut, gelisah, syak wasangka, curiga dan tidak stabil. Selamat juga bererti tidak perlu gusar apa yang berada di hadapan mereka. Kepercayaan tinggi kepada autoriti perlu ada jika kita mahu merasa selamat. Jenayah dan beberapa tingkahlaku songsang lain perlu ditangani bersama dan bukan sekadar meletakkan beban di atas bahu pihak keselamatan. Ia juga terikat dengan nilai kedaulatan.

Kedaulatan negara berpegang kepada beberapa perkara dasar dalam Perlembagaan, Rukunegara dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta pembentukan sesebuah kerajaan. Jika ada pihak yang melahirkan kebimbangan ke atas kedaulatan negara, mereka wajar dihukum dan dijadikan pengajaran kepada yang lain. Keyakinan bahawa Malaysia adalah negara terbaik mesti diiktiraf.

Kepada yang menyalahkan pihak lain dengan pelbagai tuduhan termasuk bertanggapan pihak Polis Diraja Malaysia berdrama di Lahad Datu dan mengutuk polis hanya memerhati apabila tembak menembak berlaku serta polis dilabel kejam apabila menembak penjenayah perlu bertanya - Apakah sumbangan mereka ke atas tanah air ini? Adakah mereka terlibat dalam memelihara ketenteraman negara ini atau adakah satu kepuasan bagi mereka ketika negara berada dalam konflik dan krisis?

Pernahkah mereka meletakkan diri mereka sebagai ibu bapa, penjaga, anak, isteri, adik beradik kepada yang sentiasa berkorban menjalankan tanggungjawab demi keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara ini? Dimana mereka ketika keluarga perajurit tanah air dihujani dengan tangisan dan kesedihan bila mana yang terlibat terkorban demi negara yang tercinta ini?

Malaysiaku berdaulat adalah lambang keutuhan kesemua warga Malaysia yang tahu di sinilah hidup dan mati mereka. 'Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' merupakan kesimpulan daripada tema hari kemerdekaan tahun ini. Marilah bersama menjunjung yang berat dan menjinjing yang ringan bersama-sama kerana nilai kepunyaan adalah obor cahaya negara berdaulat.

Penulis ialah pensyarah di  Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/