Sabtu, 16 Mei 2009

'HADIAH' HARI GURU


Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) melihat pingat pengiktirafan Tokoh Guru Kebangsaan 2009, Phua Seng Tiong (tiga dari kanan) selepas merasmikan sambutan Hari Guru Ke-38 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu semalam. Turut kelihatan ialah (dari kiri) Tokoh Guru Kebangsaan, Datuk Abdul Rahim Tahir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom (dua dari kanan) dan Tokoh Guru Kebangsaan, Shahul Hamid Mydin Shah. - MINGGUAN / Fauzi Baharudin


KUALA TERENGGANU 16 Mei - Kerajaan meluluskan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi meningkatkan prospek laluan kerjaya bagi PPP supaya mereka terus mengamalkan budaya kerja cemerlang.

"Kerajaan menyedari betapa pentingnya aspek kebajikan guru serta insentif dijaga dan pertambahan kuota ini sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru," ujarnya semasa berucap merasmikan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa' di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, pertambahan kuota itu melibatkan 12 jawatan Guru Cemerlang Gred Khas C iaitu daripada 24 kepada 36, Guru Cemerlang Gred DG54 ditambah daripada 100 kepada 134 jawatan dan Guru Cemerlang Gred DG52 daripada 250 kepada 336 jawatan.

Katanya, turut ditambah ialah Guru Cemerlang Gred DG48 daripada 1,000 kepada 1,345 jawatan dan Guru Cemerlang Gred DG44 daripada 4,000 kepada 5,379 jawatan.

Beliau memberitahu, Pengetua Cemerlang Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ditambah daripada 10 kepada 20 jawatan dan Pengetua Cemerlang Gred DG54 ditambah daripada 200 kepada 475 jawatan manakala Pengetua Cemerlang Gred DG52 dikekalkan 400 jawatan.

"Bagi sekolah rendah, jawatan yang diwujudkan untuk PPP siswazah adalah Guru Cemerlang Gred DG48 sebanyak 173 jawatan manakala 1,737 jawatan pula untuk Guru Cemerlang Gred DG44," katanya.

Jelasnya, PPP bukan siswazah juga akan menikmati laluan kerjaya sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi.

Muhyiddin turut mengumumkan pemberian insentif RM200 sebulan kepada Pembantu Pengurusan Murid di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Jelasnya, pembayaran insentif itu dikebelakangkan mulai tarikh kuat kuasa iaitu Januari 2009.

Katanya, kerajaan bersetuju memanjangkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang turut berkhidmat di sekolah-sekolah pedalaman dengan pembayaran juga dikebelakangkan mulai 1 Mac 2009.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen