Khamis, 21 Mei 2009

HANYA TINDAKAN TEGAS BOLEH ATASI GEJALA SAMSENG JALANAN


PELBAGAI pihak memberi pandangan berbeza mengenai langkah polis mahu istilah mat rempit ditukar kepada samseng jalanan tetapi orang ramai bersetuju dengan cadangan supaya kesalahan itu dikenakan hukuman lebih berat, termasuk penjara mandatori. Ini bermakna, apa pun istilah digunakan, yang penting ialah apa tindakan seterusnya bagi menangani gejala tidak sihat ini - dari segi penguatkuasaan, pindaan undang-undang supaya mereka terbabit dikenakan hukuman setimpal dan kerjasama masyarakat umum, termasuk tindakan proaktif di kalangan ibu bapa untuk mengawasi tindak-tanduk anak mereka. Sejak kebelakangan ini, kegiatan samseng jalanan itu menggemparkan apabila mangsa meninggal dunia. Berdasarkan cadangan polis, ia mahu Kementerian Pengangkutan meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan samseng jalanan dikenakan hukuman penjara mandatori. Ketika ini, kesalahan mengikut seksyen itu boleh dihukum maksimum penjara lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 serta lesen memandu digantung dua tahun bagi kesalahan pertama dan sehingga 10 tahun jika kesalahan berulang, tetapi dalam kebanyakan kes pesalah hanya dikenakan denda. Hukuman penjara mandatori seperti dicadangkan polis itu hanya bagi samseng jalanan berumur 18 tahun ke atas, manakala mereka di bawah umur disaran dihantar ke sekolah juvana kerana mereka masih tertakluk kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak. Cadangan itu adalah satu daripada pelan jangka panjang bagi menangani gejala buruk yang kini semakin meruncing.


Kita sependapat dengan polis iaitu jika hukuman penjara mandatori dikenakan, samseng jalanan mungkin berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan itu kerana takut masuk penjara. Apapun, kita berharap cadangan itu menjadi kenyataan, bukan 'tersadai' begitu saja dan muncul semula apabila kegiatan merempit kembali berleluasa. Dari segi istilah, kita tidak pasti sejauh mana keberkesanan penukaran nama itu. Istilah mat rempit sudah begitu sinonim digunakan dan bukan senang untuk mengubah panggilan itu. Pencarian melalui google menunjukkan hits sebanyak 849,000 untuk perkataan mat rempit, apatah lagi memang ada filem bertajuk Remp-it yang mendapat sambutan orang ramai sebelum ini. Mungkin polis ada alasan tersendiri untuk menukar istilah itu bagi memberi imej yang menggambarkan kegiatan samseng serta mengelak salah tanggapan terhadap penunggang motosikal biasa. Mungkin juga elok penggunaan samseng jalanan ini tidak terbatas kepada pengguna motosikal yang melakukan jenayah seperti ragut, merompak dan sebagainya. Sepatutnya, istilah itu diperluaskan untuk pemandu kereta yang melakukan jenayah sama termasuk di kalangan pembuli di jalan raya. Apa yang menyedihkan ialah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini mendapati 95 peratus belia yang merempit terdiri daripada remaja Melayu - kebanyakannya berusia antara 14 hingga 25 tahun. Malah, Kementerian Pelajaran juga mungkin perlu mewajibkan subjek moral dan pendidikan keagamaan sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan yang ada sekarang, bagi menyemai nilai murni di kalangan pelajar supaya suatu hari nanti mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan