Sabtu, 2 Mei 2009

Karangan Perbincangan : Peranan Pelbagai Pihak Dalam Memajukan Industri Pertanian Negara



Pascakemerdekaan negara Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang rancak. Kemajuan yang dicapai oleh Malaysia begitu dikagumi oleh masyarakat antarabangsa kerana siapa sangka, negara cili padi ini mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Jika kita menelusuri liku-liku sejarah, pasti kita dapat menemui catatan tentang kegiatan pertanian yang dijalankan pada zaman nenek moyang kita. Industri pertanian bagaikan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas kerana mampu bertahan untuk berabad- abad lamanya. Walaupun begitu, untuk memajukan lagi industri ini, pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Persoalannya, apakah peranan pelbagai pihak dalam memajukan industri pertanian negara kita?

Peranan pusat-pusat penyelidikan
dalam memajukan industri pertanian tidak dapat diperkecil. Penyelidikan terhadap tanaman wajar dilaksanakan untuk menghasilkan baka yang berkualiti . Baka yang dihasilkan ini mempunyai ketahanan terhadap serangan serangga perosak dan cepat tumbuh. Sebagai contohnya, benih padi seperti Bahagia dan Malinja yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat mencapai kematangan dalam tempoh yang singkat. Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) pula berjaya membiakbakakan Klon 600 yang bermutu tinggi. Minyak sawit yang tulen dan berkualiti merupakan hasil usaha Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM). Selain itu, pihak penyelidik juga berjaya mencipta teknik pengklonan. Melalui cara ini, tanaman dapat dibiakkan dengan jumlah yang besar dalam masa yang singkat. Pusat-pusat penyelidikan di Malaysia juga harus mengadakan usaha sama dengan negara-negara jiran agar faedah yang diperoleh dapat dikongsi bersama. Sikap tolong-menolong bagaikan aur dengan tebing wajar dipraktikkan untuk mendapatkan baka yang terbaik. Malahan, saintis persendirian juga harus ditawarkan ganjaran yang lumayan oleh kerajaan jika berjaya menemukan cara penanaman tanaman yang paling berkesan. Tuntasnya, pusat-pusat penyelidikan harus bersikap seperti genggam bara api, biar sampai jadi arang dalam menemukan teknik mencipta klon yang bermutu.

Di samping itu, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan pendapatan para petani. Antara punca utama ramai belia dan beliawanis pada era moden ini tidak berminat menceburi industri ini adalah kerana mereka beranggapan bahawa sektor pertanian tidak menyajikan pulangan yang lumayan. Oleh sebab sesetengah tanaman seperti getah mengambil masa bertahun-tahun untuk membesar, hasilnya hanya dapat dinikmati setelah menanti dalam tempoh yang panjang. Penglibatan dalam sektor pertanian juga mewajibkan kegigihan dan komitmen secara berterusan untuk memelihara tanaman dengan baik. Justeru, untuk menarik minat muda-mudi menceburi bidang ini, langkah segera perlu diatur untuk meningkatkan pendapatan petani. Sebagai contohnya, para petani harus diberikan bantuan subsidi dan pelbagai insentif. RISDA memberikan pekebun-pekebun kecil getah bantuan teknikal dan khidmat nasihat tentang kaedah penanaman yang baik. Sementara, Bank Pertanian pula menawarkan pinjaman kewangan kepada golongan petani untuk mendapatkan modal asas. Industri pertanian yang baru berkembang harus dikecualikan daripada pembayaran cukai agar hasilnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh pengusaha untuk beberapa tahun. Usaha memberikan pengiktirafan dalam bentuk Anugerah Peladang Jaya dan hadiah wang tunai kepada petani yang berjaya haruslah dipuji. Strategi seperti ini turut menyumbang perkembangan ekonomi negara melalui pengeksportan tanaman dalam jumlah yang besar. Langkah ini akan menyebabkan petani lain mempunyai aspirasi untuk berjaya, sekali gus mengambil langkah membesarkan ladang masing-masing. Jelaslah, peningkatan pendapatan golongan petani untuk mengelakkan mereka daripada hidup bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang adalah perlu untuk mengembangkan sektor pertanian.


Para petani juga memikul tanggungjawab untuk mempelbagaikan hasil ekonomi mereka. Tanaman selingan perlu diusahakan untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber utama. Hal ini demikian adalah untuk mengelakkan risiko menanggung kerugian yang besar seperti yang terjadi apabila Amerika Syarikat melancarkan kempen antiminyak kelapa sawit pada masa minyak kelapa sawit menjadi eksport utama negara. Antara langkah yang dapat diambil oleh pihak petani ialah menanam tanaman koko sebagai tanaman selingan di samping tanaman kelapa sawit sebagai tanaman utama . Tindakan ini ibarat peribahasa sambil menyelam minum air. Hal ini disebabkan penanaman koko bukan sahaja menambahkan pendapatan para petani malah membantu mengembalikan garam mineral. Selain itu, walaupun tembakau Malaysia tidak mendapat permintaan luas, para petani hendaklah mengusahakannya sebagai langkah berjaga-jaga. Khidmat nasihat dapat diperoleh daripada Lembaga Tembakau Negara. Para petani yang tinggal di kawasan pantai dan memiliki kawasan tanah terbiar yang berpasir dan bersaliran baik dapat menanamnya dengan tebu. Tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan pengimportan gula, kerana gula tempatan hanya mencukupi untuk memenuhi sebanyak 10 peratus daripada keperluan penduduk. Nyatalah langkah mempelbagaikan tanaman dapat menghasilkan variasi dan dijadikan sebagai persediaan sekiranya harga tanaman utama jatuh merudum, bak kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan.

Selain itu, golongan petani dan kerajaan perlulah menggembleng tenaga untuk merangka strategi pemasaran hasil pertanian yang berkesan. Hal ini disebabkan tiada gunanya kita mendabik dada memiliki hasil tanaman yang banyak sedangkan kita tidak tahu cara memasarkannya.Sebagai contohnya, para petani dapat memperoleh panduan penting daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) tentang teknik pemasaran yang berkesan. Kerajaan dapat menganjurkan pasar tani dengan mengumpulkan para petani dari desa-desa di seluruh negara untuk menjual hasil tanaman di bandar-bandar besar. Tindakan ini pasti menguntungkan kerana warga kota yang memerlukan tanaman segar dan berkualiti pasti membeli hasil pertanian yang dijual secara borong. Selain itu, kerajaan dapat mengeksport hasil tanaman ke negara-negara lain , terutama negara yang ekonominya bukan berasaskan pertanian. Rakyat di negara tersebut pasti sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar. Namun begitu, para petani tidak bolehlah lupa diri dan mengenakan harga yang terlalu tinggi seperti menahan lukah di pergentingan kerana tindakan ini akan memusnahkan kepercayaan pelanggan. Jelaslah, strategi pemasaran yang baik dan harga hasil tani yang munasabah penting untuk memartabatkan sektor pertanian.

Di samping itu, agensi pelancongan dan para petani perlulah bekerjasama untuk merealisasikan kegiatan ekopelancongan. Para petani perlulah memastikan kawasan ladang mereka bersih, bebas daripada pencemaran dan penuh dengan pohon-pohon yang menghijau. Chalet-chalet kecil dapat dibina di kawasan berhampiran tanpa mengubah landskap asal. Agensi pelancongan perlu menawarkan pakej ekopelancongan kepada pengunjung dari luar negara. Pelancong asing, terutamanya golongan yang berasal dari bandar pasti berminat untuk melawat kawasan ekopelancongan untuk membebaskan diri daripada kesesakan hidup di kota. Di sini, mereka dapat menikmati keindahan semula jadi dan menimba pengalaman yang tidak ternilai harganya. Kehadiran mereka langsung tidak akan menimbulkan sebarang kesulitan terhadap golongan petani. Mereka menjalankan tugas harian seperti biasa dan hanya perlu memberikan sedikit penerangan kepada para pelancong yang datang. Pelancong bebas menikmati buah-buahan tempatan yang begitu lazat dan manis, di samping menghirup udara yang segar. Apabila pulang ke negara asal, para pelancong akan menguar-uarkan pengalaman dan layanan baik yang diperoleh. Langkah ini merupakan bentuk pengiklanan secara tidak langsung kerana hal tersebut akan mendorong pelancong lain untuk datang. Kesannya, pendapatan para petani akan terus meningkat dan keenakan hasil tani Malaysia tersohor di seluruh dunia.

Lantaran itu, semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah dilakukan secara berterusan, tidak seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Kita sebagai rakyat Malaysia, wajar melestarikan dan mengembangkan kegiatan pertanian yang telah dijalankan di negara kita sejak Zaman Neolitik lagi. Industri pertanian mempunyai potensi yang besar untuk menjadi antara punca utama ekonomi negara. Oleh itu, kita perlulah memasang iltizam untuk memartabatkannya ke peringkat antarabangsa. Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

2 ulasan:

  1. salam..terima kasih telah memberi saya idea..:)

    BalasPadam
  2. cikgu, boleh tidak berikan contoh karangan untuk karangan ini >> menarik minat generasi muda dalam sektor pertanian.

    BalasPadam