Khamis, 4 Jun 2009

SEMARAKKAN SEMANGAT SAYANGI BUMI

Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

TARIKH 5 jun setiap tahun disambut sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia. Sambutan itu diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1972 sempena Persidangan Stockholm mengenai "Alam Sekitar dan Manusia".

Sambutan ini bertujuan merangsang kesedaran manusia sejagat untuk mengurus alam sekitar dengan penuh rasa tanggungjawab. Semua lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha menguruskan alam sekitar secara lestari.

Bertemakan "Dunia Memerlukan Anda Bersatu Bagi Memerangi Perubahan Iklim", sambutan ini wajar dihayati dengan mendalam.

Sekurang-kurangnya terdapat dua mesej utama yang boleh diambil daripada tema ini. Pertama, ia mengajak manusia melakukan perubahan terhadap amalan yang boleh mendorong terhadap perubahan iklim. Kedua, mengajak masyarakat dunia bersatu bagi memerangi perubahan iklim tersebut.

"Bersatu" merujuk kepada perlunya kita semua berganding bahu mengurangkan impak perubahan iklim global.

Dalam konteks memerangi perubahan iklim, ia memerlukan perubahan secara total.

Bagaimanapun, manusia kini dilihat semakin banyak melakukan kerosakan terutama atas nama "pembangunan". Banyak persidangan dan perjanjian alam sekitar sejagat diadakan namun masih banyak negara yang mencabuli persetujuan bersama itu.

Negara-negara maju melakukan penindasan terhadap negara miskin. Siri peperangan mutakhir merupakan bukti nyata. Serangan ke atas Gaza oleh Israel telah mencemarkan persekitaran di wilayah Palestin itu.

Apa yang menyedihkan ialah serpihan zarah bersaiz mikro dan nano terbebas ke udara dan boleh mengancam sistem pertahanan badan manusia semasa proses pernafasan.

Kerumitan itu ditambah dengan ujian peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara. Ia menunjukkan usaha melestarikan alam sekitar masih berdepan dengan pelbagai liku.

Malah ada negara kaya yang mengeksport secara haram buangan elektronik ke negara miskin seperti yang dilaporkan oleh Jaringan Bertindak Basel (BAN). Hal ini jelas melanggar Perjanjian Basel yang ditandatangani pada March 1989 di Basel, Switzerland dan diratifikasikan oleh 116 buah negara.

Akibatnya ia menyebabkan pencemaran logam berat terhadap manusia dan persekitaran. Sekiranya, hal ini berterusan penduduk di negara miskin akan terus berdepan dengan pencemaran alam sekitar.

Manusia harus disedarkan bahawa semakin banyak peperangan dan perpecahan maka semakin banyak kebinasaan akan berlaku.

Tidak keterlaluan bila dikatakan memerangi perubahan iklim merupakan "perjuangan" yang perlu diutamakan oleh setiap manusia.

Namun ia tidak akan mampu direalisasikan andainya masyarakat tidak memahami impak perubahan iklim kepada manusia dan alam.

Hakikatnya, tindakan manusia dikenal pasti telah memberi pengaruh kepada perubahan iklim melalui tiga cara.

Pertama, mengubah sifat bahangan permukaan bumi seperti mengubah kadar nisbah bahangan yang dipantulkan oleh permukaan berbanding dengan bahangan yang sampai.

Kedua, pelepasan haba secara berlebihan ke atmosfera bumi. Dan ketiga, mengubah kepekatan gas atau aerosol yang terdapat di atmosfera bumi.

Ketiga-tiga perkara inilah yang memberi kesan terhadap perubahan iklim global.

Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), dalam laporan penilaian ke-4 tahun 2007 melaporkan, 98 peratus daripada kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas karbon dioksida.

Antara aktiviti yang dikenal pasti menyebabkan peningkatan gas rumah hijau ialah pembakaran bahan api fosil seperti petrol, arang batu dan gas sehingga membebaskan karbon dioksida secara berlebihan.

Pada masa ini janakuasa arang batu, aktiviti perindustrian dan kenderaan adalah punca utama yang menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida.

Sehingga akhir tahun lalu, dianggarkan terdapat sejumlah 600 juta kenderaan di seluruh dunia. Ia menyumbang kepada peningkatan paras karbon dioksida di atmosfera. Gas-gas rumah hijau lain yang boleh merangsang pemanasan global ialah gas metana, ozon, dan kloroflorokarbon (CFC).

Kesan-kesan perubahan iklim telah berlaku dengan dahsyat sejak 1950-an. Dilaporkan kejadian bencana alam seperti banjir besar, ribut taufan dan kebakaran hutan meningkat secara mendadak. Taufan dan ribut juga semakin meningkat.

Ia terjadi disebabkan oleh pertembungan dan perbezaan arus sejuk dan panas berdasarkan kelembapan suhu. Kejadian ribut taufan semakin bertambah di kawasan sub tropika.

Perubahan iklim turut mendatangkan implikasi buruk terhadap kesihatan manusia. Pelbagai penyakit muncul disebabkan keadaan cuaca yang berubah-ubah. Penyakit sensitif iklim seperti seperti malaria, kolera dan denggi dikatakan meningkat semasa fenomena El-Nino sekitar tahun 1997/98.

Sementara itu, fenomena gelombang panas juga boleh memudaratkan kesihatan khususnya kepada pesakit jantung, respiratori dan warga emas. Penularan penyakit baru pada masa kini turut menimbulkan tanda tanya adakah ia berpunca daripada masalah perubahan iklim ?

Dalam konteks Malaysia, selain memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap aspek alam sekitar, pendidikan dan kesedaran mengenai isu perubahan iklim perlu dijalankan secara berterusan.

Semoga penghayatan kita terhadap tema Alam Sekitar Sedunia 2009 dapat memberi cetusan yang bermakna terhadap satu lagi pengisian untuk gagasan Satu Malaysia. Ini kerana konsep itu meliputi pelbagai aspek termasuk alam sekitar kerana kita perlu hidup dalam persekitaran sihat untuk membangunkan negara .

PENULIS ialah aktivis alam sekitar

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan