Rabu, 10 Jun 2009

TRANSFORMASI PENDIDIKAN BAHASA INGGERIS


DASar baru terhadap pendidikan peringkat SPM perlu kajian teliti dan tidak terburu-buru. - GAMBAR HIASAN


ISU penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekali lagi mendapat perhatian kerajaan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan subjek itu wajib lulus sebagai syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Cadangan yang dibuka perdebatannya di kalangan orang ramai itu pastinya mengundang input yang pelbagai sementelah polemik mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) masih berlarutan.

Sama seperti PPSMI, cadangan itu antara lain bertujuan mempersiapkan para pelajar untuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik sebelum melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana hampir keseluruhan IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Begitu juga dengan buku-buku rujukan yang kebanyakannya dalam bahasa utama itu. Justeru, tanpa penguasaan bahasa Inggeris yang baik, pelajar akan berhadapan dengan masalah sewaktu di IPT. Perkara ini sebenarnya adalah sesuatu yang lazim dalam senario pengajian tinggi negara ketika ini.

Kesannya, mahasiswa ini gagal bergraduan dengan cemerlang meskipun merupakan antara pelajar dengan keputusan terbaik sewaktu di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Cadangan ini juga merupakan langkah jangka panjang untuk para pelajar menempuh alam pekerjaan dan membina masa depan yang lebih terjamin.

Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, kemampuan menguasai bahasa Inggeris adalah satu kewajipan.

Peranan bahasa utama dunia itu semakin penting terutamanya apabila pasaran kerja tidak lagi bersifat domestik semata-mata, sebaliknya mula melalui proses liberalisasi.

Isu mengenai pengangguran di kalangan siswazah yang semakin bertambah saban tahun misalnya, turut dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Ia memandangkan sektor pekerjaan terutamanya swasta meletakkan kemahiran berbahasa Inggeris sebagai antara syarat utama.

Begitu juga di peringkat sektor awam apabila kerajaan bersungguh-sungguh membawanya mencapai taraf antarabangsa dengan sokongan modal insan yang semestinya bertaraf global.

Justeru, kemampuan menguasai bahasa Inggeris bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan. Kerana itu juga cadangan dasar ini mendapat reaksi yang positif daripada pelbagai pihak antaranya Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Malah beliau menambah, sewajarnya syarat lulus bahasa Inggeris juga diperluas bagi kemasukan matrikulasi dan program pengajian di peringkat diploma.

Langkah itu tambah Zaini merupakan usaha besar ke arah menyediakan rakyat Malaysia supaya lebih bersedia mendepani realiti ekonomi tanpa sempadan dan ledakan dunia siber yang dikuasai bahasa Inggeris.

''Bagaimanapun pelaksanaannya perlulah tanpa menafi dan mengabaikan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," ujar beliau.

Bagaimanapun dalam melihat keperluan untuk bersama-sama berubah dengan proses globalisasi dan modenisasi, ia bukanlah bermaksud kerajaan perlu melakukan perubahan yang drastik sehingga mengorbankan kepentingan lain.

Dasar-dasar dalam pendidikan misalnya, memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam kerana ia membabitkan masa depan anak bangsa.

Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud kerajaan perlu statik dan menolak sebarang perubahan apatah lagi sekiranya ia jelas merupakan satu penambahbaikan.

Sama juga halnya dengan cadangan syarat lulus subjek bahasa Inggeris ini yang secara langsung membabitkan para pelajar, guru-guru dan sektor pendidikan itu sendiri.

Kerajaan perlu berhati-hati dengan cadangan dasar ini kerana tidak mahu ia dilihat bakal menutup peluang kumpulan pelajar tertentu terutamanya di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hakikatnya, pelajar di luar bandar atau lebih tepat pelajar-pelajar Melayu masih sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Maka seandainya dasar ini dilaksanakan sebelum dipastikan bahawa ia benar-benar mampu melahirkan pelajar terutamanya di luar bandar dan Melayu dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, tidak mustahil IPT pada masa depan akan didominasi oleh pelajar bukan Melayu.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan dari sudut transformasi sektor pendidikan dalam memenuhi keperluan ini.

Adakah kita mempunyai mekanisme dan struktur pendidikan yang berkesan untuk memastikan para pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik berbanding sistem yang ada ketika ini?

Antara yang sering dipersoalkan ialah kemampuan warga pendidik. Hakikatnya di kalangan guru-guru sekali pun, penguasaan bahasa Inggeris masih lagi lemah. Faktor ini juga menjadi salah satu sebab mengapa dasar PPSMI dibantah.

Justeru, cadangan wajib lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM wajar melihat dari sudut kemampuan tenaga pengajar terlebih dahulu.

Mekanisme memperkasakan guru-guru dengan kemahiran berbahasa Inggeris perlu diperluas tidak hanya di kalangan guru subjek tersebut, malah kepada semua warga pendidik.

Begitu juga dengan modul pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Apa yang pasti, seandainya cadangan ini tidak melibatkan rombakan besar dalam modul sedia ada, maka para pelajar akan berdepan dengan masalah. Cabaran untuk menarik minat pelajar kepada bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang mudah.

Subjek ini secara keseluruhannya gagal menarik minat pelajar kerana pelbagai faktor antaranya persekitaran yang tidak mesra dengan bahasa itu.

Melainkan di sekolah, itu pun pada waktu-waktu yang sangat terbatas, bahasa Inggeris boleh dikatakan tidak digunakan dalam kehidupan seharian majoriti para pelajar.

Lalu bagaimana mungkin bahasa Inggeris ini mampu dikuasai dengan baik? Kerana itu juga suka dicadangkan kerajaan menerusi cadangan ini turut memberi penekanan maksimum kepada pengajaran dan pembelajaran subjek ini.

Antaranya dengan menambah jumlah waktu pembelajaran di sekolah. Langkah lain yang dilihat sesuai ialah dengan memberi ruang kepada tenaga pengajar dari luar untuk mengendalikan kelas bahasa Inggeris.

Apa pun sekiranya dilaksanakan, kita tidak mahu cadangan ini mengundang kekalutan pada masa depan seperti mana yang berlaku terhadap dasar PPSMI.

Namun jika diperhalusi, ia sebenarnya boleh menjadi penyelesaian kepada polemik PPSMI yang masih berpanjangan.

Dasar ini dengan sendirinya dapat memperkukuhkan mekanisme pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris secara menyeluruh di sekolah.

Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melangkaui pelbagai subjek pendidikan.

Dengan itu, mata pelajaran Sains dan Matematik tidak lagi perlu diajar dalam bahasa Inggeris dan dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan