Khamis, 16 Julai 2009

ISU BUDAYA KERJA PERKHIDMATAN AWAM

Penjawat awam mesti komited, bertanggungjawab

SEKTOR perkhidmatan awam sering kali dijadikan petunjuk kepada keberkesanan penyampaian kerajaan kepada masyarakat akar umbi.

Gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" pastinya akan menjadikan rakyat terus menilai sejauh mana kualiti dan budaya kerja sektor perkhidmatan awam.

Harus diakui kerajaan telah, sedang dan akan dari semasa ke semasa memenuhi keperluan kakitangan awam daripada pelbagai aspek antaranya skim gaji, kenaikan pangkat, hal-hal berkaitan kebajikan hinggalah keselesaan bekerja dengan prasarana pejabat yang canggih.

Persoalannya, adakah pegawai dan kakitangan kerajaan benar-benar menghargai kemudahan yang diberikan itu dengan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab?

Memang bukan semua penjawat awam bermasalah. Hanya segelintir sahaja. Namun, ibarat kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Begitulah kenyataan yang berlaku hari ini. Masih ramai yang terpaksa berdepan dengan sikap dan cara kerja kakitangan awam yang bertugas secara sambil lewa dan ada kalanya biadap pula.

Banyak mekanisme yang dilakukan oleh kerajaan dalam menilai keberkesanan kerja penjawat awam seperti peperiksaan dan kursus. Bagaimanapun ia akan menjadi sia-sia sahaja jika sikap negatif kakitangan awam tidak berubah.

Oleh itu, semua penjawat awam harus memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri. Sikap banyak berbual kosong ketika waktu kerja, cenderung mencari kesilapan rakan sekerja serta memperbesar-besarkan cerita dan tidak membantu mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

Penjawat awam seharusnya menghayati etika kerja jabatan masing-masing dan diterjemahkan dalam kerja mereka. Paling tidak patut dibuat ialah terjebak dalam penyelewengan kuasa termasuklah penyalahgunaan Internet di pejabat walaupun isu ini dianggap remeh.

Tidak kurang pentingnya juga kemahiran komunikasi yang bukan sekadar berputar pada soal penguasaan bahasa Inggeris semata-mata.

Perkara paling dasar dalam komunikasi iaitu ketertiban, beradab dan menghormati antara sesama rakan sekerja serta paling penting, pelanggan. Ia perlu sentiasa dipupuk dan diberi penekanan.

Dalam masa yang sama, penjawat awam juga wajar menjadikan membaca sebagai amalan sekurang-kurangnya membaca akhbar-akhbar harian serta sebuah buku sebulan.

Apa pun, penjawat awam harus bersyukur kerana ditakdirkan Tuhan terlibat dalam perkhidmatan awam. Ramai yang di luar sana mengidamkan 'kerusi' penjawat awam tetapi tidak kesampaian meskipun ada sebahagiannya yang lebih layak.

Oleh itu, amatlah keterlaluan jika rezeki yang dianugerahkan-Nya itu tidak dihargai dengan sikap dan amalan kerja sambil lewa, bongkak dan tidak komited terhadap kerja yang diamanahkan.

Perlu ditegaskan perkhidmatan awam sama sekali tidak memerlukan modal insan yang seperti itu kerana ia akan merosakkan imej kerajaan.

Mereka ini harus keluar daripada perkhidmatan awam untuk merasai sepak terajang, cabaran atau pahit-maung dalam sektor swasta atau bekerja sendiri.

Penjawat awam yang menyedari peranannya akan komited dengan tugas. Ini penting agar apa sahaja dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan demi manfaat dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen