Sabtu, 18 Julai 2009

ISU PEKERJA ASING

Tempoh bekerja di Malaysia 5 tahun

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

MUHYIDDIN mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di Putrajaya, semalam. Hadir sama (dari kiri) Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Pekerja asing mahu sambung khidmat perlu mohon semula selepas pulang ke negara mereka

PUTRAJAYA: Semua pekerja asing kecuali pembantu rumah hanya dibenarkan bekerja di Malaysia untuk tempoh maksimum lima tahun dan membuat permohonan semula selepas pulang ke negara masing-masing jika berhasrat bekerja semula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majikan yang masih memerlukan pekerja terbabit terutama golongan profesional dan mahir selepas tempoh tamat, boleh membuat permohonan khusus yang akan dipertimbangkan mengikut kes.
Ia adalah antara tujuh langkah yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikannya di sini semalam.

Beliau berkata tujuh langkah itu untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing selain memperkemaskan peraturan mengenai pekerja asing, terutama mengenai penguatkuasaan dan pemantauan.

Langkah lain ialah:

# Pengambilan pekerja asing Bangladesh terus dibekukan.

# Memberi kebenaran semula pengambilan pekerja asing bagi sektor pekilangan elektrik dan elektronik serta tekstil.

# Kekal membekukan pengambilan pekerja asing sektor perkhidmatan kecuali sektor kecil tukang masak restoran, pekerja pembersihan dan pencucian dan resort pulau peranginan.

# Tiada kebenaran baru menjalankan perniagaan membekal dan mengurus pekerja asing; dan

# Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja di barisan depan.

Muhyiddin juga berkata, tujuh strategi pengurangan pergantungan kepada pekerja asing akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan ekonomi dan kesesuaian supaya tidak memberi kesan negatif kepada negara.

Katanya, antara langkah ialah memastikan sektor pembinaan menggunakan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) atau pasang siap bagi sekurang-kurangnya 70 peratus projek kerajaan. Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, sasaran mengurangkan jumlah pekerja asing kepada 1.8 juta pada tahun 2010 masih jauh daripada matlamat.

Mengenai langkah Indonesia yang membekukan sementara penghantaran pembantu rumah, beliau berkata, kerajaan tidak menghalang jika mereka mahu bekerja di sini.

INFO:
Strategi lain yang dicadangkan bagi kurangkan pergantungan kepada pekerja asing:

# Memperkemaskan semua prosedur dan proses pengambilan pekerja asing.

# Syarikat membekal dan mengurus pekerja asing hanya dibenarkan membekalkan pekerja kepada sektor pekilangan, perladangan dan pertanian saja.

# Menggalakkan industri beralih kepada industri berorientasikan modal melalui dana bantuan kerajaan dan insentif cukai.

# Mengkaji dan memperkemaskan insentif perkhidmatan yang ditawarkan kepada pekerja tempatan seperti struktur gaji, elaun dan latihan.

# Menggalakkan lebih banyak perkhidmatan layan diri di sektor perkhidmatan seperti stesen minyak, restoran dan pasar mini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan