Khamis, 23 Julai 2009

KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Perkasa bahasa, perkasa ilmu

TANGGAL 8 Julai 2009 menjadi tarikh bersejarah dalam senario sistem pendidikan di negara kita. Pada hari tersebut, Menteri Pelajaran , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman ini menjadi klimaks kepada polemik isu PPSMI ini yang berlarutan sejak pelaksanaannya. Pihak kerajaan membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kajian ilmiah, pandangan ilmuwan serta umum dan realiti pelaksanaan dasar.

Sebagai remaja, situasi yang berlaku ini seharusnya menyedarkan kita tentang kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu perlu kita martabatkan, tetapi bahasa lain juga perlu dikuasai demi meluaskan skop pergaulan dan membina jambatan untuk meneroka gudang ilmu daripada bahasa lain.

Memartabatkan Bahasa Melayu

Mengapa bahasa Melayu perlu dimartabatkan? Ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang dipersetujui semua pihak dalam asas pembentukan negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, yang diharapkan berhasil menyatukan seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan budaya.

Terdapat lebih daripada 2,000 istilah dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, seperti rahmat, insan, solat dan sebagainya. Bermakna apabila seseorang itu menguasai bahasa Melayu, secara tidak langsung ia dapat memahami asas maksud 2,000 perkataan Bahasa Arab yang terkait dengan ajaran Islam.

Hubungan bahasa Melayu dengan ajaran Islam terkait menerusi istilah-istilah berkenaan dan ia merupakan satu warisan yang amat berharga untuk kita. Memahami istilah-istilah tersebut seharusnya memudahkan kita memahami asas ajaran Islam dan menghayatinya.

Sebagai contoh, perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab yang merujuk kepada adab, budi, pekerti dan perangai. Dalam bahasa Inggeris, secara umumnya akhlak ditafsirkan sebagai morality. Tetapi sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya.

Perkataan akhlak mempunyai konotasi berbeza yakni berlandaskan perspektif Islam. Hal ini berbeza dengan maksud morality yang bersandarkan kepada nilai-nilai atau pegangan masyarakat setempat.

Tetapi kewujudan perkataan akhlak dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu sudah sedia difahami justeru kayu ukur yang kita gunakan dalam mencirikan akhlak seseorang secara tanpa kita sedari adalah berpandukan nilai keislaman itu sendiri.

Kepentingan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris sememangnya diguna pakai secara meluas dalam semua bidang, tidak hanya dalam sains dan teknologi. Terdapat rujukan keilmuan dalam bahasa Inggeris bagi pelbagai bidang yang lain juga umpamanya undang-undang, ekonomi dan sains kemanusiaan.

Justeru fokus pengajaran bahasa Inggeris tidak sepatutnya terhad demi bidang sains dan teknologi semata-mata. Pokoknya, asas kemahiran berbahas Inggeris itu perlu diberi perhatian terlebih dahulu demi mendidik pelajar mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Terdapat banyak istilah dalam bahasa Inggeris yang diguna pakai dalam perisian komputer dan di Internet. Justeru tidak dinafikan bahawa pemahaman istilah-istilah yang digunakan adalah perlu demi memudahkan generasi muda menguasai bidang teknologi maklumat.

Tetapi golongan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mempunyai upaya mempelajari istilah baru dengan cepat terutamanya apabila mereka didedahkan secara langsung kepada sumber pengajaran berkaitan dan diberi peluang untuk menerokainya.

Sebagai contoh, dengan mewujudkan akses untuk pelajar menggunakan komputer dan Internet, para pelajar akan tertarik untuk menggunakannya dan meneroka perisian yang ada. Melalui penggunaan berterusan, secara automatik pelajar akan terbiasa dengan istilah-istilah yang digunakan serta maksudnya.

Apa yang penting ialah kemudahan untuk mengakses komputer dan internet itu perlu ditambahkan demi membolehkan lebih ramai pelajar khasnya di luar bandar agar mereka juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat.

Harapan Semua

Kita percaya bahawa polemik PPSMI ini didasari oleh keinginan semua pihak untuk melihat remaja negara kita hari ini hebat penguasaan bahasa Melayunya, bahasa Inggerisnya, bahasa ibundanya atau mungkin juga bahasa-bahasa lain.

Tentunya melalui penguasaan pelbagai bahasa, diharapkan para remaja dapat sama-sama memacu kemajuan untuk diri, bangsa, agama dan negara, dan pada masa yang sama memperkasa jati diri dan sahsiah yang dimiliki.

Keputusan kerajaan untuk menyemak kembali dasar PPSMI serta pelaksanaannya berdasarkan penilaian terperinci merupakan satu langkah yang patut dipuji. Impak pelaksanaan dasar ini seharusnya dapat ditelaah dan diambil pengajaran demi membentuk sistem pendidikan negara yang lebih mapan dan bersepadu.

Ibarat Membina Menara

Mungkin hari ini kita bermula semula dari bawah untuk menanam pasak bahasa dengan acuan baru. Tetapi pasak ini bukan sebarang utuh, bukan sebarang tegak, tetapi utuh dan tegak demi menjadi menara setinggi Gunung Fiji.

Mengapa sebanding Gunung Fuji, kerana pada sekitarnya didiami oleh satu bangsa berteladan, yang perkasa reka terbangnya, tetapi tetap unggul bersama bahasa miliknya.

Panahan suria globalisasi bukan untuk mencairkan, tetapi menuntut teduhan, olahan, tapisan agar manfaat cahayanya tetap mampu menerangi. Ribut teknologi bukan untuk membadai, tetapi menjadi kayu ukur sejauh mana kekuatan pasak yang terbina.

Itulah aspirasi kita terhadap bahasa. Manfaat ilmu menerusi bahasa lain ingin kita gapai, dan seterusnya kita semai serta suburi pada bahasa sendiri.

Semoga buah keilmuan yang terhasil dapat dinikmati dan dapat juga disebarkan pada semaian bahasa lain demi manfaat bersama dan martabat bahasa.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan