Isnin, 27 Julai 2009

KPI SASARAN NAJIB

Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)

NKRA PERTAMA: MENGURANGKAN KADAR JENAYAH

Tentunya sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari semasa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ia berlaku.

Di atas segalanya, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan dipecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Pertamanya, jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah 2008.

Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun 2010.

Keduanya, yakni dalam hal menambah baik persepsi rakyat terhadap keselamatan awam pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan.

Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaik taraf serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.

Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

NKRA KEDUA: MEMERANGI RASUAH

Saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ia terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004. Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu.

Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

NKRA KETIGA: MELUASKAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI DAN BERKEMAMPUAN

Seperti yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandel (lilin) penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelangsungannya. Dalam konteks ini saya merupakan seorang pendokong kuat falsafah pendemokrasian pendidikan, bahawa, kita tidak mungkin dapat menjanjikan outcome yang sama namun kita komited dalam menyediakan peluang yang saksama pada garis permulaan. Jelasnya, kita akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosio ekonomi.

Dari itu, dalam bidang pendidikan, saya mahu memastikan anak-anak kita akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini.

Lalunya, seiringan pesan orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

Laginya, suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.

Golongan yang akses pendidikan prasekolah, kerajaan menyedari hanya 60 peratus sahaja anak-anak kita yang dapat akses pendidikan prasekolah, jadi KPI menjelang 2012 pencapaian ini sekurang-kurangnya dapat dinaikkan kepada 80 peratus.

Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan ingin menawarkan new deal atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

Selain itu, sebagai projek perintis, sebanyak 100 sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum penamat 2012.

NKRA KEEMPAT: MENINGKAT TARAF HIDUP RAKYAT YANG BERPENDAPATAN RENDAH

Dalam lapangan ini, sememangnya pentadbiran saya bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK-9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripadanya, lebih 11,000 telah disahkan status dan telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.

Sehubungan ini juga, sebagai kerajaan yang prihatin kita sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat. Kita tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Pokoknya, kita mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.

Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan tidak dinafikan. Kita juga akur kaum hawa membentuk separuh daripada penduduk Malaysia. Kerana itu, kerajaan berhasrat melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita. Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita yang berpotensi menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar (AIM) telah dikenal pasti.

Justeru, kerajaan menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita kepada 4,000 orang menjelang 2012 melalui program AIM.

NKRA KELIMA: MEMPERKASA PRASARANA LUAR BANDAR DAN PEDALAMAN

Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al-Quran, Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa janganlah harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara dan atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir daripada merasai mahsul kemakmuran. Lantaran itu, pentadbiran saya akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman.

Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 kilometer jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500 kilometer atau dua kali ganda perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat 2012.

Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir dua juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, lima kilometer dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.

Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62 peratus. Justeru, kerajaan menetapkan pada akhir RMK-9, liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri itu dipertingkatkan kepada 70 peratus. Kerajaan serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat. Jadi, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan sehingga 90 peratus di Sabah dan Sarawak pada penghujung 2012. Untuk itu, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi kemudahan kepada 60,000 buah rumah.

Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu sekitar 80 peratus berbanding 99 peratus di Semenanjung, kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan di kedua-dua negeri itu kepada 95 peratus pada akhir 2012.

Sejumlah RM3.9 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 rumah. Kerajaan juga menyasarkan bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir 2012.

Sesungguhnya, kerajaan amat prihatin serta berazam untuk terus membela nasib golongan miskin dan miskin tegar.

Oleh itu, kerajaan berhasrat menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan ini. Sehubungan itu, kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan itu sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.

NKRA KEENAM: MENAMBAH BAIK PENGANGKUTAN AWAM DALAM JANGKA MASA SEDERHANA

Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.

Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, hanya 16 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan menyasarkan peratusan ini ditingkatkan kepada 25 peratus pada penghujung 2012. Namun, kita semua harus menyedari, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaan, saya mengumumkan bahawa menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set "4-car-train" akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.

(Sedutan Ucapan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak " Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan: Pencapaian Diutamakan" di Pusat Konvensyen Putra Jaya 27 JULAI 2009)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan