Isnin, 6 Julai 2009

Dialog cara terbaik selesai perbezaan pendapat

MENYELESAIKAN sesuatu masalah atau perbezaan pendapat di antara dua pihak yang memiliki pegangan berbeza bukan suatu perkara mudah. Ia harus dilakukan dengan teliti dan berhati-hati kerana perkara yang menjadi isu mungkin agak sensitif di kalangan penyokong kedua-dua belah pihak.

Oleh itu, cara terbaik adalah dialog - satu alternatif yang lebih afdal serta dapat menggantikan perdebatan sebagai medium untuk berhujah pendapat. Anjuran untuk berdialog telah dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Ada beberapa garis panduan dalam menjalankan dialog yang perlu dipatuhi supaya ia memberi manfaat dan mencapai hasil yang berfaedah.

Pertama, mereka yang menyertai dialog mestilah mengelak dari menyakiti rakan dialog, sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Segala-galanya harus dilakukan dengan bahasa yang baik dan sopan tanpa mengejek-ngejek, mencerca atau menghina antara satu sama lain.

Ini penting kerana perilaku yang ditampilkan melambangkan tahap pemikiran parti yang diwakili mereka. Jika bersikap negatif dengan mengutuk rakan dialog, sudah tentu persepsi pendengar dan pemerhati terhadap kualiti dan jati diri si pendialog akan berkurangan dan ini akan menjejaskan kredibiliti sesebuah parti itu.

Kedua, tidak bersikap defensif dalam mengutarakan pandangan. Hal ini penting kerana ia berkait rapat dengan panduan pertama. Bersikap defensif dalam berdialog akan membuka ruang kepada berlakunya perilaku negatif yang dinyatakan di atas seperti mencerca, memaki hamun dan sebagainya. Bersikap defensif dalam erti kata sentiasa berucap dalam kedudukan untuk menegaskan bahawa pihak yang diwakili lebih baik dari pihak yang satu lagi. Perbuatan ini menghalang kedua-dua pihak mencapai hasil yang diinginkan. Ia membantutkan pertukaran maklumat, menolak perkongsian pendapat serta buah fikiran yang bernas tidak akan bertukar tangan.

Ketiga, sentiasa memberi maklum balas positif. Seorang pendialog hendaklah bersedia menerima pandangan pihak lain. Idea yang dibentangkan rakan dialog haruslah diteliti tanpa terus menolak dan menidakkan kesahihan fakta yang diberikan. Ruang kebebasan dalam menyuarakan pendapat perlu diberikan kepada setiap pendialog.

Keempat, jangan menyalahguna kebebasan bersuara. Pendialog dilarang mempromosi, memujuk atau mengajak rakan dialog untuk menyertai pihak yang diwakili mereka. Jika dibenarkan, ia akan membawa kepada lahirnya sikap defensif yang menjadi ibu kepada perbuatan hina-menghina seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Kelima, kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa bekerjasama dalam mengurangkan perbezaan pendapat yang boleh mewujudkan pertelingkahan. Sebaliknya, mereka haruslah mencari perkara positif yang menjadi persamaan di antara mereka agar dapat dikongsi faedahnya bersama. Ini lebih baik daripada sentiasa mencari keburukan antara satu sama lain.

Keenam, sentiasa bersikap ikhlas. Pendialog wajib berkata perkara benar bersaksikan Tuhan, tanpa berselindung dengan mengutarakan hujah berlandaskan fakta palsu.

Kesimpulannya, dialog adalah medium paling sesuai berbincang mengenai pelbagai perkara kerana selain menyelesaikan masalah, ia membolehkan kita berkongsi pendapat dan bertukar-tukar fikiran serta mencapai hasil sepakat yang diingini semua pihak.

ZAHID ZAMRI,
Pelajar Tahun Akhir,
Sains Politik dan
Ilmu Wahyu, UIAM Gombak.


Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan