Rabu, 19 Ogos 2009

ISU INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA (IPTS)

Perhalusi dasar IPTS pastikan kecemerlangan akademik tidak terjejas

PERKEMBANGAN pesat bidang pelajaran mendorong pertumbuhan pesat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang mencapai jumlah 550 institusi. Ada antaranya yang mempunyai lebih 10,000 pelajar manakala ada juga yang setakat beberapa ratus orang. Pengusahanya yang berbeza latar belakang, daripada agensi kerajaan pusat atau negeri, hinggalah kepada usahawan.

Ketidaktentuan ekonomi global sejak tahun lalu menyebabkan ada antara IPTS kini dihimpit masalah kewangan hingga memaksa Kementerian Pengajian Tinggi membuat audit terhadap 66 kolej swasta yang kini menghadapi risiko ‘gulung tikar’. Walaupun tindakan itu dilihat langkah terbaik bagi menjaga kepentingan lebih 450,000 pelajar IPTS, mutu pembelajaran dan sektor pengajian tinggi umumnya, ia masih mengundang persoalan bagaimana pengusaha terbabit boleh diberikan lesen operasi sebelum ini. Penubuhan IPTS sepatutnya hanya diberi kepada mereka yang mempunyai kedudukan kewangan mantap.

Walaupun IPTS umumnya organisasi perniagaan, ia perlu dipantau rapi kerana kegagalannya membawa implikasi besar kepada agenda pembangunan negara, khususnya modal insan. Kerajaan perlu memastikan hanya yang layak dibenar menubuhkan IPTS dan syarat pengeluaran lesennya mesti diperkemaskan. Usaha juga perlu dibuat untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyalah guna lesen IPTS sebagai jalan pintas untuk mengaut keuntungan. Mengambil kira jumlah penuntut yang ramai, tindakan tegas amat perlu bagi mengelak ada antara mereka terkandas dalam pengajian hanya kerana IPTS dilanda masalah kewangan.

Walaupun kerajaan mencadangkan IPTS yang kini bermasalah bergabung menubuhkan konsortium bagi mengukuhkan kewangan, ia bukan proses mudah kerana kursus yang ditawarkan setiap satunya mungkin berbeza. Selain itu, kebanyakan pelajar di IPTS membiayai pengajian mereka dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kegagalan menamatkan pengajian mendedahkan kerajaan kepada risiko peningkatan hutang tertunggak PTPTN, seterusnya menjejaskan peluang generasi akan datang mendapat kemudahan sama.

Mungkin sudah tiba masanya dasar mengenai IPTS diperhalusi semula kerana bilangan yang banyak saja tidak menjamin Malaysia mampu mencapai matlamat menjadi pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau. Tumpuan harus dialih daripada berorientasikan kuantiti kepada kualiti kerana hakikatnya sehingga ini, belum ada IPTS yang mampu benar-benar mencatat kejayaan cemerlang dalam mengharumkan nama negara. Audit terhadap IPTS bermasalah yang kini dilaksanakan boleh menjadi permulaan sesuai bagi menilai dan menyusun semula pembabitan swasta dalam sektor perkhidmatan pengajian tinggi negara.

Sumber :http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan