Jumaat, 7 Ogos 2009

ISU KEKURANGAN BEKALAN GULA

Penyorok gula jangan diberi muka

SUNGGUH mengejutkan, dalam suasana kekurangan bekalan gula yang dialami oleh beberapa negeri, sebanyak 23.8 tan metrik gula bersubsidi dijumpai disorok dalam sebuah gudang di Jejawi, Perlis.

Jumlah ini hampir menyamai separuh jumlah keperluan gula sehari bagi penduduk Perlis. Lantaran persoalan yang timbul, apakah yang sudah terjadi apabila isu kekurangan gula sering membelenggu rakyat Malaysia terutamanya ketika menjelang musim perayaan.

Rakyat kini bukanlah sekadar ingin mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi di sebalik krisis kekurangan gula, tetapi perkara pokok yang paling penting ialah bagaimana kerajaan mengambil tindakan yang paling tegas terhadap pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dan memanipulasi perkara ini agar tidak langsung berulang kembali.

Strategi yang digunakan oleh pihak-pihak yang memonopoli barang keperluan ini menyebabkan rakyat menerima akibatnya. Dua strategi yang digunakan iaitu sorok dan seludup (2S) kadang kala dapat membuahkan hasil apabila kerajaan mula berlembut mengikut kehendak mereka. Strategi 2S inilah juga menyebabkan masalah kekurangan gula tidak pernah selesai sehingga kini.

Selain sorok di gudang-gudang, pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut menyeludup ke negara jiran. Harga gula di negara jiran mencecah RM2.50 sekilogram sedangkan harga gula di Malaysia yang dikawal oleh kerajaan ialah berada pada RM1.45 sekilogram.

Bayangkan keuntungan yang bakal mereka perolehi melebihi RM1 sekilogram. Inilah yang sering dilakukan oleh penyeludup-penyeludup untuk memperolehi keuntungan yang besar sedangkan gula itu disubsidikan oleh kerajaan Malaysia!

Strategi 2S ini sering digunakan apabila menjelang musim perayaan terutamanya bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa kerana pihak berkenaan mengetahui pada masa ini umat Islam di Malaysia mengambil jumlah gula yang lebih banyak berbanding bulan-bulan yang lain. Inilah sikap tamak yang dimiliki oleh pihak berkenaan.

Amalan perniagaan seperti ini amat menjengkelkan kerana pihak sebegini hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat.

Cuba bayangkan apakah yang akan terjadi kepada pengguna gula terutamanya peniaga-peniaga industri kecil dan sederhana (IKS). Sudah tentu perniagaan mereka akan terjejas teruk apabila tidak mampu membuat kuih-muih, teh tarik, dan pelbagai lauk pauk yang memerlukan gula sebagai sebahagian daripada resipi makanan tersebut. Dalam hal ini, siapakah yang patut dipersalahkan?

Tidak guna kerajaan memberi muka kepada mereka lagi kerana pihak sebegini tidak pernah kenal dek untung. Kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang amat tegas ke atas mereka.

Jejaki mereka dan batalkan permit import (AP) mereka serta-merta. Banyak lagi bakal pembekal gula yang mahu berniaga dengan rasa tanggungjawab kepada rakyat. Golongan peniaga sebegini bukan sekali dua mengambil tindakan sebegini, maka sudah sampai masanya kerajaan jangan sesekali bertolak ansur dan memberi peluang kepada mereka.

Rakyat sudah letih menghadapi isu yang sama dan akhirnya yang memperolehi keuntungan bukannya rakyat secara keseluruhan tetapi pihak yang tamak dan tidak jujur dalam perniagaan gula.

Penulis ialah Pensyarah Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan