Sabtu, 8 Ogos 2009

ISU PENGANGKUTAN AWAM


KPI tingkat mutu sistem pengangkutan awam

SEJAK hari pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi peneraju nombor satu negara, kita terus menerus dikejutkan dengan langkah meningkatkan mutu perkhidmatan awam supaya lebih cemerlang. Janjinya pada hari pertama untuk menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat, diikuti oleh pengenalan konsep KPI atau Petunjuk Prestasi Utama sektor awam pada 28 April lalu yang akan menjadi piawai pencapaian setiap kementerian.

Konsep Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkannya pada hari memperingati 100 hari sebagai Perdana Menteri, sudah dihurai dan diperincikan di depan lebih 3,000 penjawat awam di PICC, Putrajaya, tidak lama dulu. Satu daripada enam bidang NKRA yang mana konsep KPI ini akan mula digunakan ialah sektor pengangkutan awam.

Mutu pengangkutan awam ditentukan berdasarkan penilaian penumpang terhadap banyak aspek perkhidmatannya. Kalau penumpang terpaksa menunggu lama, bas atau kereta api sesak, keadaan dalam kenderaan panas, jadual perjalanan bas tidak dipatuhi, pemandu tidak mesra pengguna dan kemalangan kerap berlaku, ini menunjukkan kualiti pengangkutan awam sedang mengalami kemerosotan.

Kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam NKRA ini mestilah memantau untuk memastikan semua operator bas, LRT, monorel dan komuter menunjukkan KPI yang sentiasa baik dan meningkat mengikut masa. Kualiti perkhidmatan bas boleh diukur menggunakan konsep Indeks Kualiti Perkhidmatan Bas atau Bus Service Quality Index (BSQI) yang dibina berdasarkan aspek seperti purata masa menunggu, purata bilangan penumpang bagi setiap bas, suhu dalam bas dan kelajuan.

Selain aspek yang umum ini, parameter atau pengukur yang lebih khusus termasuk:

Purata Naik Bas Bagi Setiap Perjalanan atau Average Boarding Per Trip yang menunjukkan keberkesanan jaringan laluan bas bagi memenuhi kehendak perjalanan penumpang

Peratusan Liputan Bas iaitu kawasan dalam bandar yang menyediakan hentian bas bagi jarak 500 meter

Bilangan Bas Setiap 1000 Penduduk

Peratusan Bas Berhawa Dingin

Purata Usia Bas

Peratusan Bas Waktu Puncak

Kilometer Bagi Setiap Kemalangan membabitkan bas. Sebagai langkah awal meningkatkan KPI dalam NKRA pengangkutan awam di Lembah Klang, kerajaan berusaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada 16 peratus sekarang kepada 25 peratus pada 2012 dan menambah 35 set kereta api empat gerabak untuk LRT laluan baru Kelana Jaya bagi tempoh sama.

Apa yang pasti, tambang yang membebankan rakyat tentulah bukan KPI yang baik untuk kementerian yang dipertanggungjawabkan. Satu keseimbangan yang munasabah perlu dicapai antara keuntungan yang ingin dikaut oleh syarikat bas dengan kadar tambang yang terpaksa dibayar orang ramai.

Dalam menentukan kadar tambang, ahli politik dan pembuat dasar hanya dapat membuatnya dengan betul sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai kos yang terbabit dalam sektor ini dan bagaimana kos ini berubah mengikut masa. Dalam sektor pengangkutan awam bas, kaedah ini diperoleh melalui konsep Indeks Kos Industri Bas atau Bus Industry Cost Index (BICI). Indeks ini mengambil kira semua aspek kos termasuk harga belian badan dan enjin bas, harga tayar, petrol, servis, kos baik pulih, upah pekerja dan harga alat ganti.

Penentuan sama ada sesebuah syarikat bas itu mengalami untung atau sebaliknya boleh dilakukan dengan membandingkan kos dengan hasil kutipan tambang. Maklumat ini amat diperlukan dalam proses menentukan kewajaran kenaikan tambang seperti yang berlaku baru-baru ini.

Indeks Kemampuan Membayar Tambang atau Bus Fare Affordability Index (BFAI) juga perlu diperhatikan oleh kementerian kerana tambang tidak boleh terus naik tanpa mengambil kira kemampuan orang ramai.

Tidak ada gunanya menyediakan satu sistem pengangkutan bas yang cekap dan bermutu tetapi mengenakan tambang yang mahal dan di luar kemampuan golongan sasaran. Kalau ini terjadi, bas tidak akan mendapat sambutan walau pun kualiti perkhidmatannya amat baik.

Saya rasa aspek ini amat perlu mendapat perhatian kerajaan kerana majoriti penumpang bas di Lembah Klang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, pelajar, suri rumah, pencari kerja, pekerja asing dan wanita yang baru memperoleh kerja.

Mereka ini ‘penumpang terperangkap’ yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam semata-semata kerana tiada pilihan sebab mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Oleh itu, kenaikan tambang yang diumumkan baru-baru ini bakal menjadi ujian kemampuan orang ramai yang menjadi sasaran kerajaan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Kalau dengan menaikkan tambang ke aras yang amat tinggi menyebabkan rakyat dibebani dan golongan penduduk yang menjadi sasaran tidak mampu menggunakannya, maka sektor pengangkutan awam menjadi tidak berjiwa rakyat dan dengan itu KPI juga akan turun.

Dalam sektor pengangkutan awam yang tidak begitu menguntungkan ini, satu daripada langkah kerajaan untuk meningkatkan KPI ialah dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk dana. Bagaimanapun, di samping membantu, penunjuk produktiviti syarikat bas juga perlu dipantau. RapidKL mampu memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik dengan tambang lebih murah berbanding operator lain di Lembah Klang dan Pulau Pinang kerana syarikat ini disokong kuat oleh kerajaan.

Logiknya, bantuan kerajaan itu sepatutnya digunakan oleh syarikat untuk meningkatkan produktiviti pemandunya. Kalau keadaan bas selesa, gaji memuaskan, pakaian seragam diberi percuma, cuti mencukupi dan rawatan kesihatan terjamin, sudah sewajarnya pemandunya bekerja dengan lebih rajin lagi.

Sehingga satu kajian ilmiah dilakukan, kita tidak tahu sama ada produktiviti pemandu syarikat ini semakin meningkat atau sebaliknya. Sokongan kerajaan kepada syarikat bas tidak akan bermakna sekiranya tidak diikuti dengan peningkatan atau sekurang-kurangnya pengekalan dalam produktiviti pemandu dan pekerja lain.

Kita hendak melihat setiap sen yang kerajaan belanjakan untuk membantu syarikat bas dihargai oleh mereka dengan meningkatkan produktiviti pekerja. Ini amat penting diperhatikan kerana ada kecenderungan di kalangan pekerja yang menjadi semakin malas semakin banyak bantuan yang mereka terima. Dalam sektor pengangkutan bas, produktiviti pemandu dan staf lain boleh dikira melalui kaedah mudah seperti jumlah jam bekerja dalam sebulan, kekerapan mengambil cuti sakit, bilangan hari ponteng, dan jumlah kilometer perjalanan setiap pemandu bagi sehari atau menggunakan kaedah yang lebih terperinci seperti Indeks Produktiviti Pelbagai Faktor atau Multi-Factor Productivity Index (MFPI) yang mengukur perubahan output per unit bagi setiap satu kombinasi input.

Sebahagian pengukur KPI yang dikemukakan di sini menjadi tanggung jawab kerajaan untuk merekod dan memantaunya. Ini bukan kerja yang mudah. Saya mencadangkan diwujudkan satu bahagian dalam kementerian yang bertanggungjawab dalam NKRA pengangkutan awam bagi mengumpul dan menguruskan data berkaitan KPI ini.

Penulis ialah pakar pengangkutan awam dan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan