Khamis, 13 Ogos 2009

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1 N1)


Vaksin berenzim babi ‘harus’ ketika darurat
?

Di Malaysia, angka kematian yang mencecah 38 orang (sehingga 11 Ogos) akibat virus Influenza A (H1N1) mencetuskan suasana agak cemas dalam kalangan masyarakat. Ini boleh dilihat daripada kesesakan di hospital kerajaan dan swasta yang menawarkan ujian mengesan virus berkenaan.

Bukti lain, masyarakat kian resah apabila semakin ramai memakai topeng muka di tempat awam, terutamanya lapangan terbang. Petanda awal H1N1 terdiri daripada demam, batuk, selesema, gatal tekak, kelesuan dan sakit badan yang selama ini dianggap penyakit ringan, ia menambahkan lagi kebimbangan. Pada 11 Jun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak H1N1 kini sudah mencapai tahap pandemik fasa enam.

Di negara kita, pelbagai kempen berkaitan diperhebat, antaranya mengajar masyarakat etika batuk dan cara mencuci tangan yang betul. Beberapa tindakan drastik lain termasuk ‘social distancing’ menerusi penutupan sekolah dan institusi pengajian pula dianggap penyelesaian terbaik untuk menghalang penyebaran wabak tempatan. Sekiranya keadaan semakin meruncing hingga melibatkan angka kematian yang besar, campur tangan Majlis Keselamatan Negara mungkin diperlukan. Kala ini, antara yang boleh dicadangkan ialah pusat rawatan yang lebih banyak dan mudah dikunjungi atau perkhidmatan rawatan di rumah.

Di negara jiran, Majlis Ulama Indonesia (MUI) sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin menangani H1N1 yang didakwa mengandungi enzim babi diharuskan penggunaannya bagi umat Islam dalam keadaan darurat sekarang. Begitu pun, mereka menggesa supaya pihak pemerintah berbuat sesuatu untuk memastikan alternatif lain yang suci dapat dihasilkan.

Mengulas mengenai perkara ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berpendapat keputusan itu boleh digunakan di Malaysia selagi tiada kaedah lain dikeluarkan. Begitu pun, beliau berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti secara halus sekiranya terdapat syarikat pengeluar vaksin yang tidak bersumberkan enzim haram tersebut.

“Sains dan perubatan adalah bidang yang sentiasa berkembang. Saya percaya akan ada vaksin dari sumber yang dibenarkan oleh Islam bakal dihasilkan. Contohnya vaksin bagi meningitis yang disuntik kepada bakal jemaah haji juga pernah menjadi isu kerana bersumber haram sebelum ini.

“Namun apabila ia dikecohkan, vaksin yang boleh digunakan umat Islam terhasil. Lagipun, isu halal - haram vaksin ini sebenarnya berpunca daripada kultur medium yang digunakan dalam pembuatannya sahaja jadi pasti ada cara untuk menggantikannya,” katanya.

Dr Maamor turut menyarankan agar Malaysia bermuafakat dengan negara luar terutamanya negara-negara Islam untuk mendesak syarikat pengeluar vaksin menghasilkan produk yang bersumber halal sahaja. Dari sudut lain, pengedaran vaksin menggunakan enzim babi barangkali boleh ditangani jika WHO tidak menganjurkan enam syarikat pengeluar vaksin (kesemuanya dari negara maju) sahaja untuk diedarkan kepada seluruh dunia, sebaliknya turut memberi peluang kepada negara membangun untuk cuba menghasilkan vaksin seumpamanya. Antara yang berminat sudah tentulah negeri Melaka sebagaimana kenyataan dikeluarkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam minggu lalu.

Jika tidak, negara Islam seperti kita hanya mampu mengisytiharkan penggunaan vaksin ini diharuskan sementara menanti penghasilan vaksin bersumber halal oleh pihak berkenaan. Sementelah vaksin bagi menangani H1N1 ini turut tertakluk di bawah hak paten, sebarang usaha untuk menghasilkan vaksin serupa dengan mengabaikan sumber haram juga antara kekangan yang terpaksa dihadapi.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan