Sabtu, 1 Ogos 2009

Logo 1Malaysia Lambang Komitmen

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Logo 1Malaysia dijangka lebih kerap digunakan oleh kementerian dan syarikat tempatan yang menjadi lambang sokongan mereka terhadap Konsep 1Malaysia dan prinsip-prinsipnya yang mendukung "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sama ada disedari atau tidak, sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat banyak syarikat tempatan yang terkenal di negara ini, telah memperkenalkan dalam kempen pengiklanan mereka logo yang hampir serupa dengan logo 1Malaysia, seperti mana yang boleh dilihat dalam laman web beliau.

Katanya semua itu merupakan usaha sukarela dan keprihatinan yang diperlihatkan oleh banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tempatan untuk menyatakan sokongan mereka terhadap konsep dan prinsip-prinsip 1Malaysia yang mendukung "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Sungguhpun logo tersebut mencerminkan harapan dan seruan supaya Malaysia bersatu berasaskan prinsip-prinsipnya, saya juga telah menyatakan bahawa logo ini menjangkau lebih daripada satu konsep, yang diperlihatkan melalui kempen-kempen strategik yang menepati sasaran "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"," katanya dalam entri terbaru di laman blog www.1Malaysia.com.my, Sabtu.

Perdana Menteri berkata, angka '1' tersebut boleh membawa pelbagai maksud, antaranya; yang terbaik, teratas, keunikan dan komitmen terhadap masa.

Beliau berkata bagi rakyat, di mana saja logo itu terdapat ia bermakna orang ramai dijamin usaha terbaik syarikat-syarikat tersebut sejajar dengan prinsip 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Tidak kira sama ada anda sedang beratur untuk membayar bil atau menyerahkan borang permohonan, logo ini akan menjadi jaminan bahawa keperluan anda akan dilayani dengan pantas dan berkesan, dalam semangat "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Perdana Menteri berkata, beberapa kementerian yang telah dikenal pasti juga akan memulakan pelaksanaan perintis perkhidmatan awam berdasarkan prinsip yang sama tidak lama lagi.

"Pencapaian kementerian-kementerian ini di sektor-sektor utama awam akan dipantau untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya," katanya.

Setelah berjaya mencapai hasil yang diharapkan dari segi peningkatan tahap perkhidmatan, kerajaan berhasrat untuk memulakan sistem perkhidmatan ini pada skala yang lebih besar, katanya.

Najib berkata semua entiti, sama ada kementerian, agensi, sektor swasta mahu pun institusi pelajaran dipelawa untuk menggunakan logo ini sebagai satu komitmen penyampaian.

"Harapan saya hanyalah satu agar ia digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen ini dipenuhi. Dengan menggunakan logo ini anda telah menerima akauntabiliti dan menerima respons yang membina daripada mereka yang telah anda berikan perkhidmatan.

"Saya percaya bahawa prinsip ini tidak lagi terletak dalam lingkungan pentadbiran, tetapi untuk digunakan oleh semua organisasi di Malaysia sebagai faktor penting ke arah membina satu budaya prestasi tinggi," katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri mempelawa semua pihak untuk menggunakan logo berkenaan berdasarkan semangat yang sama, iaitu untuk berkembang menjadi sebuah negara yang dibekali kuasa oleh keinginan untuk melakukan sebaik kemampuan yang ada, demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia.

Orang ramai boleh mengetahui dengan lebih lanjut tentang logo berkenaan menerusi blog itu atau juga boleh menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk maklumat lanjut berkenaan pengunaan logo, katanya.

Sumber : http://www.bernama.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan