imlanadabi@bharian.com.my
Tindakan segera DBP sebagai penggerak sastera, bahasa, penerbitan mampu selamatkan industri
HAMPIR 52 tahun kita merdeka. Lebih setengah abad juga bangsa kita berjaya mentadbir negara mengikut keperluan dan acuan sendiri. Selepas lima dekad, apakah bangsa kita boleh dianggap bijaksana minda dan saksama akal budi dalam mendepani kehidupan ini? Apakah perlu kempen galakan membaca terus diadakan sedangkan industri buku negara sudah mencatat nilai RM1.5 bilion setahun.
Persoalan ini agak menarik untuk diperhatikan, apatah lagi stesen televisyen tempatan kerap mengingatkan 'Bangsa Membaca Bangsa Berjaya'. Mengikut kajian, rakyat Malaysia antara golongan yang kurang membaca. Mereka hanya menghabiskan beberapa helai muka surat setahun. Justeru, ke manakah sebahagian besar masa harian mereka digunakan?
Memang diakui aktiviti membaca bukan suatu budaya di kalangan masyarakat kita. Warga Malaysia, sebahagiannya lebih menumpukan kepada kerjaya dan pencapaian. Ada waktunya aktiviti pembacaan dianggap kurang perlu berbanding peluang dan ruang untuk mencapai status kehidupan lebih baik.
Pada Pesta Buku di The Mines Resort City, di ibu negara baru-baru ini, bangsa Melayu antara golongan paling ramai memenuhi gerai jualan. Anehnya, gerai jualan buku berbahasa Mandarin dan Inggeris mendominasi 70 peratus ruang pameran. Apakah ini mengaitkan betapa buku berbahasa Melayu masih rendah kuotanya, sama seperti komposisi kaum yang berjaya dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969?
Lebih malang lagi, kebanyakan gerai yang menjual buku Melayu, terutama agama banyak mempamerkan buku yang boleh dipertikaikan nawaitunya seperti misteri jin dan panduan berjimak cara Islam.
Novel Melayu pula lebih dikategorikan sebagai karya popular. Apakah buku Melayu yang bermutu dan mencelikkan minda bangsa terlalu miskin pembacanya? Bagaimana pula dengan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak tersadai di stor Dawama di Hulu Klang?
Ada masanya, peranan DBP sebagai penggerak sastera, bahasa dan penerbitan buku Melayu amat diharapkan. Dari segi penerbitan karya bermutu, DBP diakui antara penerbit paling berjaya di negara ini. Bagaimanapun, apalah gunanya buku yang baik seandainya tidak sampai kepada sasarannya.
Ekoran keadaan inilah barangkali Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengambil keputusan menubuhkan syarikat Wira Bukit untuk menerbitkan semula novel dan kumpulan puisi yang pernah diterbitkan DBP. Seorang sarjana sastera dari Universiti Malaya (UM) mengeluh dalam catatan di blognya mengenai hasil tulisan yang tidak terjual sekian lama. Dia mempersoalkan sampai bila DBP menerbitkan buku, tetapi tidak dijual?
Seorang penulis lain menerima surat daripada DBP yang mengatakan bukunya yang diterbitkan pada 2006 tidak dibayar royalti tahun ini kerana tidak mencatat jualan memberangsangkan pada 2007 dan 2008. Anehnya buku berkenaan tiada di kedai buku di bangunan DBP sendiri dan tidak juga dijual di pesta buku di The Mines Resort City. Jika buku tiada di kedai, bagaimana mahu dijual?
Tindakan drastik dan berkesan perlu dilakukan supaya buku yang baik akan sentiasa berada di pasaran, sementara minat membaca perlu dipupuk sejak di bangku sekolah. Mengikut statistik, negara menerbitkan 6,500 judul buku setahun membabitkan 200 penerbit. Angka ini terlalu kecil kalau dinisbahkan dengan jumlah penduduk ketika ini.
Angka yang kecil ini perlu diperbetulkan kerana sebuah negara yang 52 tahun merdeka, sepatutnya sudah mempunyai jati diri dan kekuatan membaca yang luar biasa.
Bangsa yang kurang membaca bakal ketinggalan, sama seperti apa yang berlaku kepada bangsa Arab yang kebanyakannya terus jumud selepas kejatuhan tamadun Abassiyah dan Osmaniah.
Jika China sudah berjaya menerbitkan 181,000 judul buku setahun dan Korea Selatan 42,000 judul buku, kita sepatutnya sudah berjaya menerbitkan 20,000 judul buku setahun. Angka ini sepatutnya boleh dicapai di bawah konsep 1Malaysia yang mengutamakan integriti dan kewibawaan bangsanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan