Isnin, 7 September 2009

Budaya balik kampung mengajar generasi muda kenali asal-usul

Oleh Dr Ruzman Md Noor

AMALAN balik kampung sempena Hari Raya sudah sebati dengan masyarakat kita di Malaysia. Bandar raya besar seperti Kuala Lumpur akan sekali lagi sunyi sepi, bagaikan diletak di bawah perintah darurat.

Bagi yang 'terpaksa' berhari raya di Kuala Lumpur akan cuba melakukan kegiatan yang paling hampir dengan suasana di kampung dengan memasang lampu dan menjadikan persekitaran seakan-akan kampung halaman.

Dalam satu iklan di televisyen sebelum ini, seorang ayah membawa anaknya pulang ke rumah pusaka keluarga walaupun ibu dan ayahnya sudah tiada dan bila ditanya oleh anaknya kenapa pulang ke rumah itu sedangkan datuk/neneknya sudah tiada, lantas si ayah berkata dengan sedih bahawa ketika mana ibu/ayahnya (datuk/nenek budak itu) masih hidup, dia tidak pun pulang menziarahi mereka.

Begitu sekali rapatnya hubungan orang kita dengan kampung halaman. Orang yang tidak suka balik kampung biasanya mempunyai masalah tertentu seperti berlaku perselisihan faham dengan keluarga di kampung, masalah harta pusaka yang tak selesai, balik rumah mentua dan lain-lain keadaan yang masih tidak menghilangkan kerinduannya kepada kampung halaman.

Menyambut hari raya jika tidak di kampung halaman, macam tak sempurna, bahkan dikatakan seperti tidak berhari raya. Sebahagian besar antara kita juga membesar dengan lagu Allahyarham Sudirman, 'Balik Kampung' yang jika lagu ini didengar di luar musim raya, boleh menitiskan air mata, apatah lagi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Amalan ini sangat kuat berakar umbi dalam diri kita. Kamus Dewan (DBP 1991) menjelaskan makna 'kampung' sebagai kawasan kediaman (terdiri dari sekumpulan rumah dan lain-lain) di luar bandar, desa dan dusun; juga bermaksud kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok seperti kampung Cina dan lain-lain.

Sementara itu 'kampung halaman' pula bermaksud kampung tempat lahir. Perkataan yang sama disebut dalam bahasa Arab sebagai 'al-qaryah' yang ditafsir oleh Kamus Besar Arab-Melayu (DBP 2006) sebagai sebagai kampung dan kediaman. Tujuan saya menyebut istilah ini adalah untuk mengaitkan dengan konsep balik kampung yang menjadi fenomena di negara ini.

Dari sudut falsafahnya apakah jenis kampung yang menjadi tempat yang sangat dirindui dan menjadi tumpuan pada musim cuti dan perayaan khususnya Hari Raya. Beberapa ciri yang menjadikan sesuatu tempat itu sangat gemar dikunjungi.

Antaranya tempat asal seseorang; tempat seseorang itu dilahirkan; tempat seseorang itu dibesarkan sejak dari kecil atau selepas dilahirkan; tempat yang dihuni oleh ibu/ayah/datuk/ nenek atau saudara mara yang rapat dan tempat yang pernah menyimpan nostalgia kehidupan masa kecil atau keluarga terdekat.

Kampung yang saya maksudkan dalam artikel ini mungkin memiliki salah satu atau gabungan beberapa ciri-ciri ini. Sesuatu tempat itu masih diiktiraf sebagai kampung halaman seseorang walaupun sudah tidak dihuni oleh sesiapa jika mempunyai ciri di atas.

Oleh itu kita tanyalah diri sendiri, di manakah kampung halaman kita atau adakah kita masih punya kampung halaman? Balik kampung sebenarnya ada asas dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita.

Kalau digabungkan ciri-ciri di atas, pada prinsipnya kampung halaman adalah tempat asal seseorang atau tempat yang dihuni oleh orang tua kita. Ini bermakna balik kampung adalah suatu amalan untuk kembali kepada asal usul kita sebagai manusia.

Dalam bahasa Arab istilah yang diguna pakai ialah 'usul' iaitu orang yang di atas kita yang terdiri daripada ibu/ayah, datuk/nenek, moyang, piut sehingga ke atas. Balik kampung sebenarnya adalah balik semula kepada asal usul kita meskipun mungkin orang tua sudah tak ada lagi.

Dengan sebab itu juga Rasulullah membenarkan ziarah kubur sebagai tanda ingatan kita kepada orang tua dan untuk ingat kepada kematian. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud bahawa doa anak yang soleh/solehah sampai pahalanya kepada si mati sebagai tanda ingatan seseorang kepada ibu/ayahnya.

Dalam Islam kita diajar supaya kembali kepada al-quran dan Al-Sunnah sebagai usul yang jika dipegang tidak akan sesat selama-lamanya. Allah Taala juga dalam banyak ayat-Nya meminta kita merenung kembali kepada asal penciptaan kita iaitu dari nabi Adam dan dari air mani.

Seseorang yang jika masih mempunyai 'usul' (ayah/ibu dan ke atas) tetapi tidak rindu kepada mereka atau tidak gemar pulang menziarahi mereka sebenarnya mempunyai sikap angkuh dan tidak bersedia untuk ingat kepada asal-usul kejadiannya.

Bagi yang sudah tidak ada kampung atau tidak ada orang tua lagi, maka perasaan sentiasa ingat kepada mereka dan mendoakan mereka adalah juga manifestasi kepada amalan 'balik kampung' yang banyak faedahnya.

Ibu/bapa wajar melatih anak-anak supaya ingat kepada orang tua dan kampung halaman. Tunjukkan kepada mereka tempat kita dilahirkan, tempat kita bermain pada waktu kecil dan lain-lain supaya nanti anak-anak kita akan ingat kepada 'usul' mereka iaitu diri kita sendiri.

Prof Madya Dr Ruzman Md Noor adalah tenaga pengajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan