Khamis, 10 September 2009

ISU ALAM SEKITAR

Kelestarian, inovasi atasi krisis ekonomi

Oleh Dr Zaini Ujang

KENAPA pelestarian menjadi kunci inovasi? Demikian persoalan pokok dibahaskan dalam majalah terkini Harvard Business Review (HBR) edisi September 2009. Persoalan itu dikemukakan dalam konteks ekonomi dunia belum pulih daripada krisis yang bermula dengan kemelut kewangan di Amerika Syarikat. Hujah penulis ialah pelestarian (sustainability) menjadi keperluan sejagat bukan saja untuk memastikan alam sekitar terpulihara, bahkan membolehkan pertumbuhan ekonomi lebih stabil dan sesuai dengan keperluan asasi manusia.

Sebelum ini, pihak industri dan ahli ekonomi berpendirian bahawa kerangka dan dasar pelestarian akan meningkatkan kos. Itulah sebabnya keprihatinan dan komitmen dijustifikasi untuk memenuhi keperluan perundangan supaya tidak mencemarkan alam sekitar, atau sekadar bentuk komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata. Dengan kata lain, faktor pelestarian bersifat pinggiran dan bukan struktural.

Namun, krisis ekonomi dunia ketika ini mengubah persepsi industri dan penggubal ekonomi terhadap makna dan kepentingan pelestarian. Hal ini menyerlah dengan menyedari kemelut kewangan di Amerika Syarikat berpunca, antaranya sifat tamak mementingkan keuntungan kewangan jangka pendek, tidak bersifat lestari yang hanya menguntungkan kelompok tertentu tanpa mengambil kira kepentingan orang ramai, apatah lagi alam sekitar dan sejagat.

Selain itu, minda lestari semakin berkembang di kalangan komuniti profesional termasuk pusat pengajian ternama, seperti Harvard, MIT dan Oxford. Banyak inisiatif pelestarian dimulakan untuk menilai semula asas dan kerangka kerja dasar sedia ada.

Baru-baru ini Universiti Harvard misalnya melantik John Briscoe, sebagai Profesor dalam Amalan Kejuruteraan Alam Sekitar di Sekolah Pengajian Kejuruteraan dan Sains Gunaan untuk memulakan Harvard Water Security Initiative (HWSI). Profesor Briscoe ialah bekas penasihat kanan Bank Dunia dan penulis buku 'Water Sector Strategy' dijangka berperanan menyediakan asas pemikiran dan strategi membolehkan sektor air dimajukan secara lestari.

Menurut Adi Ignatius, Editor HBR, corak sama setiap kali berlaku krisis ekonomi: pertumbuhan ekonomi perlahan, pengangguran meningkat dan kerajaan akan mengubah kadar faedah serta menyediakan pakej rangsangan untuk memacu ekonomi. Tetapi setiap kemelut ekonomi ada kejutan. Dan kejutan kali ini ialah inisiatif pelestarian atau ekonomi hijau.

Syarikat peruncitan terbesar Wal-Mart mengumumkan sistem penarafan pelestarian untuk memastikan sebuah produk jualannya bersifat mesra alam pada Julai lalu. Saingannya seperti Tesco dan Target dijangka akan memulakan inisiatif sama. Sementara kerajaan China mengumumkan bajet 210 bilion yuan untuk pakej rangsangan dalam pembangunan lestari.

Hakikatnya, krisis ekonomi kali ini menyediakan peluang strategik untuk menjadikan pelestarian sebagai teras pertumbuhan ekonomi menerusi nilai tinggi dijana kreativiti dan inovasi. Selain sektor pertanian dan pembuatan, inisatif pelestarian juga semakin menyerlah dalam pembangunan teknologi dan pembinaan. Di Malaysia, 'indeks bangunan hijau' baru saja dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Julai lalu.

Ketika ini label 'hijau' di negara maju seolah-olah sama konotasinya dengan 'halal' bagi orang Islam. Itu sebabnya sektor yang selama ini tidak begitu sinonim dengan pelestarian juga sudah berubah seperti teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Inisiatif pelestarian dalam perkakasan komputer berkembang pesat, termasuk penyelidikan dan pembangunan untuk membolehkan komponen komputer tidak mencemar alam sekitar, boleh diguna semula dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

Kunci kejayaan dalam merangka dasar ekonomi lestari tidak hanya bersifat pulangan yang boleh dilihat menerusi data dan laporan statistik ekonomi. Hemat saya, ia terletak kepada keupayaan membentuk budaya, nilai dan masyarakat mesra alam. Petunjuk kejayaan tidak hanya pada kejayaan penguatkuasaan undang-undang. Petunjuk itu juga perlu dilihat dari segi keupayaan menyediakan iklim sesuai bagi mengalakkan kreativiti dan inovasi yang memberi impak kepada sistem ekonomi dan komitmen komuniti korporat.

Sejak 1970-an, paradigma pengurusan alam sekitar menjurus kepada penguatkuasaan undang-undang alam sekitar. Namun demikian, tindakan itu tidak mungkin berjaya tanpa pembudayaan dan penghayatan nilai mesra alam di kalangan seluruh lapisan masyarakat. Seandainya gagal, berlakulah fenomena 'polis dan penjenayah': Pihak berkuasa terpaksa mengawasi kegiatan pihak yang berpotensi mencemar alam sekitar. Sementara pihak satu lagi mencari peluang mencemar alam sekitar disebabkan kononnya faktor peningkatan kos dan kekurangan kepakaran.

Menyedari kelemahan paradigma yang terlalu sarat perundangan itu, maka satu kerangka baru dikemukakan dengan menyediakan peluang perniagaan 'mesra alam' pada dekad 1990-an. Dan kini, pelestarian dan mesra alam menjadi survival, bukan lagi pilihan untuk memacu ekonomi.

Bagi sektor korporat, survival untuk memastikan perkhidmatan dan produk mesra alam tidak menambah parah impak alam sekitar menerusi peningkatan suhu bumi. Bagi kerajaan, survival untuk membolehkan pembangunan lestari mengambil kira seluruh aspek dan lapisan masyarakat, termasuk sumber asli dan tenaga. Dan bagi individu, pelestarian adalah survival kerana itulah fitrah insaniah.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang sedang berkursus di Harvard Business School, Amerika Syarikat

Sumber : http : //www.bharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan