Selasa, 29 September 2009

ISU ALAM SEKITAR

Hutan bakau aset penting lindungi pesisiran pantai

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

Usaha pemuliharaan perlu berterusan jamin ekosistem kekal seimbang

MEMUPUK kesedaran menjaga dan memulihara khazanah alam terutama hutan paya bakau di kalangan masyarakat, termasuk menjelaskan kepentingan perlunya ia dipulihara bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi dan padu daripada pertubuhan berkaitan serta masyarakat setempat.

Hutan bakau berperanan bukan saja sebagai penangkis hakisan di pinggir pantai tetapi turut bertindak sebagai penstabil kawasan pantai dan tebingan sekitarnya. Ia mampu berperanan secara efektif sebagai penahan ombak, ribut dan pasang surut air secara semula jadi.

Justeru, kesedaran menjaga khazanah semula jadi itu seperti yang dilakukan penduduk Kampung Mangkuk di Penarik, Setiu dan beberapa kawasan di Kerteh, Terengganu wajar dijadikan contoh. Ia wajar diikuti bagi memastikan kawasan pantai negara tidak terjejas dan terus kekal sebagai khazanah sumber marin negara. Sikap penduduk kawasan itu juga adalah cerminan kejayaan usaha penerangan dan kempen bersungguh-sungguh yang dijalankan beberapa pertubuhan termasuk Tabung Hidupan Liar (WWF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan syarikat korporat yang prihatin.

Inisiatif warga Kampung Mangkuk yang melaksanakan tanaman semula bakau sebagai satu daripada usaha mereka mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan, juga berperanan sebagai wadah mendidik generasi muda memahami kepentingan memulihara hutan paya bakau. Hutan paya bakau adalah sempadan di antara daratan dan lautan. Keadaan pesisir pantai sering terdedah kepada ancaman hakisan akibat tindakan ombak dan arus pasang surut. Maka, hutan paya bakau berperanan menstabilkan keadaan persisiran pantai, tebingan sungai dan persekitaran kawasan dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut.

Peranannya juga tidak hanya sekadar melindungi hakisan tanah tetapi mengumpulkan semula tanah yang terhakis dari laut. Ia berlaku apabila ombak menolak tanah atau lumpur dari laut ke darat dan hutan paya bakau dengan sistem akarnya yang unik dapat mengumpul tanah berkenaan dan ini adalah fenomena unik yang dapat mengekang kecenderungan laut untuk menenggelami daratan.

Selain itu, hutan paya bakau menjadi habitat beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang mana hutan ini adalah tempat hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Justeru, kawasan paya bakau secara tidak langsung memberikan kesan terhadap ekonomi penduduk kerana ia mampu mencetuskan kestabilan sumber perikanan, sekali gus kehilangan hutan paya bakau akan memberikan kesan yang sangat negatif terhadap industri perikanan.

Di kebanyakan negara di Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan menerusi pengeluaran kayu untuk pembinaan, kayu api dan arang. Pengalaman yang direkodkan beberapa pertubuhan yang memperjuangkan pemuliharaan alam termasuk WWF menunjukkan bahawa jika aktiviti pembalakan itu diurus dengan sempurna, ia dapat menghasilkan sumber pendapatan secara mapan apabila impak terhadap hutan bakau dapat dikawal.

Lantaran itu, WWF sentiasa merancang meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat mengenai kepentingan hutan paya bakau dalam kehidupan mereka menerusi pelbagai program pendidikan dan penerangan. Seperti yang dikatakan Ahli Biologi WWF, Norulhuda Nasir yang terbabit dalam kegiatan pemuliharaan dan kempen kesedaran penduduk mengenai hutan bakau di Kampung Mangkuk, kesedaran penduduk adalah teras utama dalam memastikan kejayaan program pemuliharaan bakau.

Sebab itulah, Norulhuda menjelaskan inisiatif penduduk di Kampung Mangkuk dan Pengkalan Gelap, Setiu adalah sesuatu yang sangat positif dengan menanam semula bakau bagi memastikan kelestarian sumber itu.

"Begitu juga di Kertih, pembabitan pihak swasta yang mengambil inisiatif bersama Persatuan Alam Sekitar menyemai kesedaran menanam semula bakau di sekitar perairan Kertih dengan kerjasama Optimal Group juga dilihat sebagai satu langkah proaktif mengembalikan semula khazanah marin yang sebelum ini terancam kerana banyak hutan bakau sudah ditebus guna bagi tujuan pembangunan," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai perbezaan tersendiri daripada segi tarikan atau pendorong untuk menanam semula. Di Pengkalan Gelap, dorongan untuk menanam semula bakau tercetus setelah mereka sedar bahawa hasil tangkapan ikan meningkat selepas usaha pelbagai pertubuhan menanam semula di kawasan tertentu, selain hasil yang penduduk peroleh daripada penjualan benih bakau ke seluruh negara.

Sementara di Kampung Mangkuk, penduduk turut terbabit sama dalam penanaman semula bakau setelah mereka sedar hakisan pantai akan menjejaskan ikhtiar hidup mereka pada masa depan terutama jika muara Sungai Setiu menjadi semakin tohor.

Program meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat di sini sudah mula menunjukkan kesan yang semakin positif dan mereka kini yakin dan percaya khazanah hutan paya bakau perlu dipulihara dan dikekalkan bagi memastikan alam sekitar terus seimbang dan mampu menjana pendapatan nelayan setempat yang kebanyakannya bergantung kepada sumber marin.

Hasil daripada program pemuliharaan komuniti yang dijalankan WWF di kawasan Setiu umpamanya yang telah dijalankan sejak tahun lalu, menunjukkan hasil yang sangat positif apabila lebih 1,700 anak bakau jenis kurup sudah ditanam di kawasan pesisir pantai berhampiran muara Sungai Setiu oleh penduduk setempat, kata Pegawai Komuniti WWF Setiu, River Foo.

Penanaman semula pokok bakau adalah penting bagi menjamin keseimbangan ekologi kerana penebangan pokok bakau menyebabkan kehidupan marin terjejas selain berlakunya perubahan keadaan geofizikal pantai dan pesisiran sungai sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial kepada masyarakat, tambahnya.

Sebagai contoh, penduduk di Kampung Gong Batu dan Pengkalan Gelap yang menjadi perintis penanaman semula bakau melalui kerjasama dan inisiatif badan bukan kerajaan, sudah mula melihat hasil daripada usaha yang mereka laksanakan.

Pengusaha akuakultur di kawasan lagun Kampung Gong Batu sebelum ini sangat merasai kesan daripada kegondolan kawasan bakau yang menjejaskan kualiti air sehingga menyebabkan kematian ternakan ikan. Justeru, penduduk mengambil langkah bagi memastikan ekosistem dan kepelbagaian bio di kawasan itu sentiasa terkawal dan terpulihara kerana hutan paya bakau turut menjadi habitat semula jadi bagi beberapa spesies ikan dan ketam.

Lantaran kejayaan proses pemuliharaan yang membabitkan penduduk seperti di Setiu dan Kertih, maka Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam melaksanakan usaha ini kerana sesuatu kejayaan itu pasti lebih manis jika usaha ke arah perubahan itu dicetuskan sendiri masyarakat setempat. Kejayaan ini seharusnya bukan hanya boleh dilakukan dalam pemuliharaan paya bakau tetapi juga wajar dikembangkan dalam pelbagai aspek lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan