Sabtu, 26 September 2009

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Pendekatan ekstrem ajar pemandu degil

JIKA ada pengarah filem dari Hollywood mahu mencari pelakon aksi ngeri yang betul-betul bersedia untuk mati dalam babak kemalangan jalan raya, dia boleh datang ke Malaysia. Di sini dia boleh mendapat ramai pemandu kenderaan yang bersedia untuk melakukan adegan maut berkenaan.

Mungkin kenyataan ini nampak keterlaluan tetapi apa lagi yang boleh kita katakan, apabila dari semasa ke semasa jumlah mereka yang terkorban di jalan raya semakin meningkat.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan tetapi ternyata semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja. Lihat sahaja statistik terbaru Ops Sikap yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia bukannya memberikan kesedaran kepada orang ramai, sebaliknya hanya meningkatkan statistik kemalangan yang sedia ada.

Oleh itu adalah wajar jika kita menggunakan pendekatan lebih ekstrem bagi mengajar pemandu-pemandu degil yang cuba menjadikan jalan raya-jalan raya di negara ini sebagai tempat untuk mereka menempah maut.

Sememangnya kita bersimpati dengan mangsa kemalangan yang terbunuh atau cedera akibat kelalaian pemandu lain tetapi dalam masa yang sama kebanyakan kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu itu sendiri.

Sudah berbuih-buih, orang kata jangan pandu laju, sudah berbakul-bakul orang cakap ingatlah keluarga tersayang dan sudah berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk kempen keselamatan jalan raya. Tetapi semuanya tidak mampu mengubah sikap pemandu Malaysia.

Tidak kiralah dia pemandu kenderaan berat atau ringan, menunggang motosikal berkuasa rendah atau tinggi, majoriti mereka memang degil!

Oleh itu kelembutan kita berkempen bagi mengingatkan kelompok berkenaan harus diubah. Tak perlu lagi ingatkan mereka tentang bahaya memandu laju adalah lebih baik tukar sahaja kepada slogan ‘Memandulah dengan laju, kalau anda mahu mati cepat.’’

Begitu juga dengan slogan ‘Berhati-hatilah di jalan raya ingatlah orang tersayang’, tukar sahaja kepada ‘‘Kalau anda hendak mati jangan menyusahkan orang lain terutama keluarga anda.’’

Atau mungkin juga kita wujudkan papan tanda berbunyi, ‘‘Kalau anda rasa sudah puas hidup, memandulah mengikut had yang anda suka.’’

Ia bererti papan-papan tanda di jalan raya dan lebuh raya perlu diubah kepada bentuk yang lebih ekstrem. Pemandu-pemandu yang degil ini bak kata orang ‘tidak makan saman’ dengan tindakan undang-undang.

Apabila berada di dalam kenderaan, mereka bagaikan serigala lapar, mereka memandu melulu tanpa mempedulikan keselamatan orang lain. Slogan-slogan peringatan bagi mereka hanyalah hiasan.

Justeru tidak perlu lagi, kerajaan atau agensi-agensi terlibat menyusahkan diri siang dan malam hendak mencari penyelesaian bagaimana hendak mengurangkan kadar kemalangan.

Adalah lebih baik kalau kita membuat unjuran berapa ramai yang akan mati dan cedera setiap kali musim perayaan. Itu lebih baik kerana selama ini kerajaan sudah cukup baik dengan berusaha apa sahaja cara bagi mengubah sikap pemandu kita.

Tetapi pemandu kita tidak menghargai semua itu, mereka gembira memandu melebihi had yang ditetapkan, mereka berbangga kalau kereta mereka boleh memotong barisan malah mereka suka kalau ada orang melihat kebodohan mereka memandu bagaikan dikejar hantu raya.

Kesudahannya akibat kedegilan mereka, maka berlakulah kemalangan yang menyusahkan semua orang. Pada saat ini perkataan paling sesuai untuk diberikan kepada pemandu seumpama itu ialah padan muka atau lebih baik lagi, ‘‘kecil-kecil tak nak mati bila besar menyusahkan orang.’’

Seperkara lagi dari segi hukuman pula, ia juga seharusnya diubah, sekadar membawa pemandu degil ke muka pengadilan dan kemudian didenda atas kesalahan yang dilakukan sudah tidak relevan lagi.

Pemandu yang terselamat dalam kemalangan yang mereka menjadi puncanya harus dikenakan hukuman seberat-beratnya, penjara melebihi 5 tahun harus dikenakan sebagai hukuman minimum, kemudian kenakan denda yang tinggi, kalau tidak boleh bayar tambah hukuman penjara.

Menyumbat puak-puak seumpama ini dalam penjara adalah lebih baik berbanding melepaskan mereka bermaharajalela di jalan raya sehingga kadang kala menjadi pembunuh kepada pengguna jalan raya yang lain.

Biar ketika di dalam penjara, mereka insaf dan memahami betapa pentingnya menjaga kebebasan yang diberikan.

Selain itu turut boleh difikirkan ialah hukuman menjalankan kerja-kerja amal seperti mencuci tandas awam dan membersihkan sampah sarap di lebuh raya. Setiap kali menjalankan kerja itu, di tubuh mereka digantung papan bertulis, ‘‘Saya pemandu degil.’’

Hakikatnya, sudah berjuta-juta ringgit mungkin berbilion wang rakyat dihabiskan semata-mata untuk menyediakan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya sempurna untuk orang ramai. Malah dalam masa yang sama juga berjuta-juta ringgit sudah dihabiskan bagi memperbaiki kerosakan akibat kedegilan pemandu kita.

Justeru adalah lebih baik jika selepas ini tumpuan diberikan untuk memastikan pemandu degil berkenaan mengakhiri nyawa mereka di jalan raya. Biarkan sahaja mereka ‘mati katak’ akibat kebodohan sendiri.

Kalau perlu tambah laluan di lebuh raya daripada dua laluan kepada tiga laluan dan tiga laluan kepada empat laluan. Tambahan satu laluan itu dikhaskan untuk pemandu degil. Apabila mereka terlibat dalam kemalangan, kalau mereka meninggal dunia, panggil sahaja ahli keluarga mereka menguruskan mayat di tempat kejadian manakala kalau yang cedera pula, kos membawa mereka ke hospital adalah tanggungan sendiri.

Mungkin apa yang dikatakan di sini akan dipandang sinis atau mungkin ada yang menyifatkan ia agak ekstrem tetapi apa lagi yang boleh kita lakukan.

Selama ini kerajaan sudah melakukan segalanya untuk menjaga nyawa pengguna jalan raya tetapi semuanya sia-sia. Oleh itu tidak perlulah lagi kerajaan bersusah payah dan membazirkan wang untuk menjaga nyawa pemandu yang tidak tahu menghargai nyawa sendiri.

Kita tidak menafikan bahawa malang tidak berbau, atas sebab itulah pengguna jalan raya diminta berhati-hati. Kalau di negara lain biarpun mempunyai penduduk yang lebih ramai tidak banyak yang mati di jalan raya, tetapi kenapakah di negara kita jumlah kematian akibat tragedi itu terlalu tinggi.

Jawapannya mudah segalanya akibat sikap pemandu. Jalan raya dan lebuh raya yang sempurna bukan dihargai bagi memudahkan perjalanan sebaliknya menjadi landasan untuk mereka menempah maut. Kalau itulah yang mereka mahu biarkanlah mereka mati atau cedera di jalan raya. Sesungguhnya mana-mana negara tidak memerlukan rakyat yang tidak mempunyai kesedaran sivik dan tidak menghargai apa yang kerajaan lakukan demi kebaikan mereka.

Sumber : http ://www. utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan