Sukarnya mendidik pengguna jalan raya
Oleh Manja Ismail
OPS Sikap setiap tahun belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut negara ini |
Proses belajar memandu di Malaysia perlu diperkemas
SEBANYAK 16 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-14 Ops Sikap XX kelmarin, menjadikan jumlah korban nahas jalan raya musim perayaan kali ini meningkat kepada 238 orang. Jumlah korban kali ini adalah antara tertinggi sejak Ops Sikap diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kematian ketika musim perayaan, lapan tahun lalu. Jumlah kematian tertinggi pernah dicatatkan dalam operasi itu ialah ketika Ops Sikap III. Pada fasa pertama Ops Sikap III bermula 29 November 2002, 280 kematian dicatatkan, manakala pada fasa kedua bermula 20 Disember tahun sama, 238 pengguna jalan raya maut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, melahirkan rasa sedih dan kesal kerana selepas begitu banyak operasi termasuk Ops Sikap setiap tahun, ia belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan raya negara ini. Beliau menyalahkan sikap pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang lalu lintas sebagai punca utama masalah itu seperti dibuktikan oleh perangkaan Ops Sikap kali ini.
Katanya, semua usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya pada sepanjang musim perayaan di negara ini tidak akan mendatangkan faedah jika masyarakat, termasuk pemimpin politik tidak berubah sikap dan komited dalam menjayakan matlamat itu.
Bagaimanapun jalan raya tidak bersalah, malah taraf dan mutu keselamatannya sentiasa dipertingkatkan. Lebuh raya di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, manakala teknologi kenderaan sentiasa memberi penekanan kepada ciri-ciri keselamatan. Begitu juga dengan pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan peraturan lalu lintas.
Jadi yang bersalah bukan jalan, kenderaan atau peraturan tetapi pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan. Langkah kerajaan untuk memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 831 lokasi seluruh negara bagi mengesan kelajuan secara automatik, tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik seperti diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan kelmarin, belum menjamin dapat mendisiplinkan pemandu di negara ini jika pengalaman sebelum ini dijadikan ukuran. Daripada meletak patung polis trafik, memasang papan tanda statistik kemalangan sehinggalah kepada pemasangan kamera, ia ternyata belum cukup untuk mendidik pemandu di negara ini mematuhi peraturan lalu lintas. Malah, saman dan denda yang lebih berat pun tidak dihiraukan oleh kebanyakan pemandu.
Barangkali satu cara yang mungkin berkesan tetapi mengambil masa yang lama ialah melalui pendidikan supaya menggunakan jalan raya secara berhemah sejak di bangku sekolah rendah lagi. `Melentur buluh biarlah dari rebung`. Hanya dengan pendidikan, budaya menghargai nyawa dan menghormati undang-undang ketika menggunakan jalan raya, dapat dibentuk pada masa depan.
Sehingga budaya itu wujud, pihak berkuasa boleh menimbangkan cadangan dan maklum balas pelbagai pihak bagaimana untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah lesen pemandu tegar yang sering melanggar peraturan jalan raya khususnya menyebabkan kematian dibatalkan serta-merta terutama membabitkan pemandu pengangkutan awam seperti lori dan bas ekspres.
Selain itu, tidak kurang juga menganggap proses belajar memandu dan mendapatkan lesen di negara ini, yang dianggap longgar, perlu diperkemaskan. Perbandingan boleh dibuat antara kaedah pembelajaran memandu di Malaysia dengan negara maju yang berjaya mengurangkan kadar kemalangan seperti Jepun dan United Kingdom. Seorang pembaca, Mohammad Yusmin Mat Jusoh, yang pernah tinggal lama di United Kingdom, dalam e-mel kepada penulis bersetuju kurikulum belajar memandu di negara ini tidak mencukupi dalam melahirkan pemandu berhemah.
"Saya memiliki lesen memandu UK dan Malaysia. Saya dapati dari segi latihan memandu untuk ujiannya, lesen UK lebih berkualiti. Di UK, saya belajar cara untuk mengelak atau mengesan kemalangan ketika memandu tetapi tidak di Malaysia. Cara untuk mengambil posisi di bulatan juga tidak dititikberatkan. Secara jujur saya terkejut bila adik saya boleh lulus ujian memandu (di Malaysia), sedangkan dia selepas itu masih tidak cekap memandu," katanya.
Apa pun, paling penting, keprihatinan pelbagai pihak mengenai kadar kematian dicatatkan pada Ops Sikap kali ini tidak sekadar berakhir dengan tamatnya operasi itu semalam dan hanya muncul semula pada Ops Sikap musim akan datang. Hakikatnya, kadar kematian harian nasional sebanyak 18 orang dan kadar kematian harian musim perayaan 23 orang sebelum Ops Sikap dimulakan, masih tinggi berbanding jumlah kematian harian dicatatkan sepanjang dua minggu lalu. Justeru, janganlah kita hanya bersuara dan melahirkan kebimbangan sekadar menyemarakkan publisiti ketika Ops Sikap tetapi diam tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Jika pelbagai pihak benar-benar mengambil pengajaran daripada beberapa siri awal Ops Sikap dulu, tentunya operasi itu tidak diperlukan sehingga 20 siri semalam dan entah berapa lagi nanti.
Sumber : http://www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan