Khamis, 3 September 2009

Meningkatkan kualiti, kuantiti doa sepanjang Ramadan

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

RAMADAN tidak seharusnya dibiarkan berlalu hanya dengan ibadah wajib seperti puasa, solat fardu dan fitrah semata-mata. Menjadi suatu kerugian jika amalan-amalan lain masih dikekalkan dengan rentak dan momentum yang sama.

Allah SWT telah menjanjikan kelebihan dan keutamaan untuk ibadat-ibadat lain sepanjang Ramadan ini. Antara yang sepatutnya kita sedari kelebihannya pada bulan ini ialah berdoa.

Ramadan menghimpun beberapa kriteria manusia atau waktu yang dimustajabkan doanya. Saat seseorang itu berpuasa itu sendiri menjadikan doanya lain daripada bulan-bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga golongan orang yang tidak akan ditolak doanya. Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang dianiaya." - Hadis Riwayat Abu Hurairah.

Kita dianjurkan berdoa bukan sahaja untuk keperluan dunia bahkan turut ditekankan untuk kebajikan hari akhirat. Berdoa memohon keampunan ialah antara yang dianjurkan oleh Rasulullah sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah jika aku mendapat Lailatulqadar, doa apa yang kuucapkan pada malam tersebut?" Rasulullah berkata: "Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf maka maafkanlah aku." - Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Sesungguhnya peluang bagi merebut keampunan sepanjang Ramadan terbuka luas. Bahkan Rasulullah menggredkan mereka yang gagal memperolehnya sepanjang bulan ini akan termasuk dalam golongan mereka yang malang dalam kehidupan.

Suatu masa ketika Rasulullah menaiki mimbar ketika ingin berkhutbah di Madinah Baginda berhenti tiga kali mengaminkan doa Jibril yang mengatakan malang sungguh nasib orang yang tidak diampunkan dosanya sepanjang Ramadan.

"Sangat malang orang yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya." - Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi.

Kesempatan untuk memperbanyakkan doa sepanjang bulan penuh keberkatan ini tidak sahaja terbuka pada saat kita kelaparan dan kedahagaan pada siang hari bahkan peluang juga terbuka luas pada waktu malamnya.

Antara bahagian pada waktu malam yang mustajab doa adalah pada waktu sepertiga malam yang akhir. Waktu ini merupakan waktu mustajab bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan juga menjadi waktu afdal untuk beroda bagi bulan-bulan lain.

Yang menjadi kelebihan pada bulan Ramadan ini ialah waktu sepertiga malam ialah sememangnya waktu untuk kita semua bangun bagi bersahur. Beruntunglah bagi mereka yang memanfaatkan waktu ini bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan jasmani mengisi perut bahkan lebih menguntungkan bagi mereka yang membuat tuntutan-tuntutan rohani dalam bentuk doa baik sebelum bersahur atau selepas bersahur.

"Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: Apabila ada orang yang berdoa, maka Aku akan perkenan doanya itu. Apabila ada yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya." -- Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Selain daripada kuantiti doa, aspek kualiti diri seseorang yang berdoa juga harus dipertingkatkan bagi menunjukkan kesungguhan dan penuh pengharapan pada Allah SWT terhadap kandungan doa yang dipanjatkan. Doa yang dituturkan di mulut harus diikuti dengan perasaan rendah diri dan suara yang lembut bagi menggambarkan sifat hamba kepada Tuhannya.

Allah telah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran tentang penggunaan suara serta hati yang tidak khusyuk dalam berdoa bukan sahaja menyebabkan doanya tertolak bahkan boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." - Surah Al-A'raf ayat 55.

Ketika berdoa juga seharusnya hati dididik supaya yakin bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Keyakinan ini amat penting ditanamkan kerana Allah tidak akan menerima doa dari mereka yang tidak yakin dengan apa yang diminta kepada Allah.

Dalam berdoa juga, selain yakin, kita juga seharusnya sentiasa bersangka baik dengan Allah sekiranya apa yang diminta tidak tertunai. Mungkin Allah akan mengganjari kita dengan kelebihan yang lebih baik pada hari akhirat, atau menukarkan doa yang diminta kepada menghindarkan bala yang telah ditakdirkan akan menimpa kita.

Sesungguhnya peluang keemasan buat kita telah menjelma lagi. Namun ia sekali-kali tidak akan menunggu kita untuk selama-lamanya.

Setelah tamat tempohnya maka ia akan berlalu pergi. Jika kita bernasib baik dan dimurahkan rezeki dengan umur yang panjang dan kesihatan yang baik, maka insyaAllah akan bertemu lagilah dengan Ramadan yang berikutnya.

Jika tidak, gunakan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya bagi merebut keampunan dengan memperbanyakkan doa dan mempertingkatkan kualiti doa agar diperkenankan oleh Allah SWT.

PENULIS ialah Pensyarah Perubatan ORL, Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan