Oleh sebab keprihatinan, kasih dan sayang akan rakyat yang menyambut Aidilfitri hujung minggu ini, kerajaan melancarkan dua kempen keselamatan sekali gus - Ops Sikap XX dan Kempen Berhari Raya Tanpa H1N1.
Pada zahirnya kedua-dua kempen ini seperti saling berlawanan malah seolah-olah tidak mempunyai kaitan. Namun natijahnya, kedua-dua kempen ini berkongsi matlamat sama - menyelamatkan nyawa. Ops Sikap bertujuan mengawal sikap pemandu supaya lebih berhemah, disiplin dan tertib ketika di jalan raya serta mengelak kehilangan nyawa yang ramai pada musim perayaan.
Kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 pula menuntut rakyat mengutamakan kebersihan dan keselamatan diri yang juga untuk menyelamatkan nyawa bukan setakat di atas jalan raya, malah ketika berada di mana-mana, sama ada ketika solat Aidilfitri, bersama keluarga dan menghadiri majlis rumah terbuka.
Ops Sikap XX atau ke-20 yang dijalankan selama dua minggu bermula 13 September lalu manakala Kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 juga dilancarkan pada hari sama. Jika dilihat, kedua-dua kempen ini juga selari dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - membuktikan kerajaan amat mendahulukan rakyat.
Pencapaian yang dimaksudkan pula boleh dirumuskan sebagai kejayaan melahirkan pemandu berhemah, selamat tiba ke destinasi, berjaya mencapai objektif untuk bercuti pada hari raya iaitu berkumpul bersama keluarga tercinta.
Keasyikan menyambut sesuatu perayaan lazimnya menenggelamkan tahap kesedaran rakyat terhadap perkara lain yang lebih penting seperti arahan mematuhi peraturan lalu lintas.
Dalam isu mematuhi peraturan lalu lintas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengungkapkan polis hanya sebagai pembimbing serta mendidik, yang perlu berubah ialah sikap pemandu itu sendiri.
Bagi soal pencegahan H1N1, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata, jika semua pihak dapat mengambil langkah pencegahan, wabak ini dapat dikawal.
Namun bagi yang beragama Islam dan meyakini prinsip Qada dan Qadar, mereka wajib berikhtiar memastikan perjalanan pergi dan balik beraya sama ada di kampung atau ke mana saja lancar serta selamat.
Antaranya dengan menghantar kenderaan untuk diservis, merancang perjalanan, mematuhi peraturan lalu lintas, disusuli dengan tawakal. Jelas sekali, pada Aidilfitri tahun ini, tanggungjawab mereka yang hendak pulang beraya sudah bertambah.
Selain perlu memikirkan apa yang hendak dimasak untuk menjamu selera dan menentukan fesyen serta warna baju raya, mereka kini perlu mengambil kira soal kesihatan diri sendiri dan keluarga bagi membendung penularan H1N1 yang boleh menjangkiti manusia tanpa mengira agama dianuti dan di mana saja.
Penularan wabak H1N1 yang setakat ini mengorbankan 76 nyawa sekali gus mendorong kerajaan menuntut rakyat tidak mengabaikan aspek kesihatan dan kebersihan pada musim perayaan kali ini. Untuk itu empat fasa digariskan Kementerian Kesihatan yang perlu diambil perhatian rakyat ketika menyambut mana-mana perayaan perlu diikuti bagi mengelak penularan H1N1.
Ia merangkumi langkah pencegahan yang perlu diambil dalam empat fasa iaitu sebelum balik kampung, ketika dalam perjalanan, ketika berada di kampung dan selepas kembali dari kampung.
Sekali lagi, persoalan yang akan timbul, adakah rakyat mampu mengikuti garis panduan yang dirumuskan kerajaan demi kebaikan mereka. Pelbagai peraturan, ingatan, nasihat dan teguran disampaikan kerajaan bagi memastikan diri mereka terselamat daripada bala dan bencana yang berpunca daripada tangan mereka sendiri.
Jika rakyat dapat mendisiplinkan diri, tidak mustahil Ops Sikap mencatatkan angka korban yang kecil dan bilangan kematian akibat H1N1 juga tidak berubah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan