Sabtu, 5 September 2009

Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal kemudian Tidak berguna

Nyaris kudung oleh mercun buatan sendiri


WAN Amirul Faiz Wan Abdullah menahan kesakitan apabila beberapa tulang jari tangan kanan hancur akibat letupan mercun buatan sendiri dengan menggunakan botol minyak gamat ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.




















KUALA TERENGGANU 5 Sept. - Meskipun sering dilaporkan tentang bahaya bermain dan membuat mercun sendiri namun langsung tidak memberi kesan kepada segelintir remaja.

Buktinya di Kampung Binjai Rendah, Marang, di sini, hari ini, seorang pelajar tingkatan dua nyaris kudung tangan kanannya gara-gara membuat mercun sendiri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, tulang jari hantu dan manis mangsa, Wan Amirul Faiz Wan Abdullah, 14, hancur, manakala tulang ibu jarinya patah.

Segalanya berlaku setelah mangsa cuba mengubahsuai mercun bola dengan membuka dan memasukkan belerang ke dalam sebotol minyak gamat.

Namun ketika cuba menyalakan lilin, api secara tiba-tiba menyambar botol berisi belerang itu yang terletak berdekatan dengannya lalu meletup.

Adik mangsa berusia 12 tahun dan empat lagi rakannya yang turut berada di padang di taman perumahan itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kakak mangsa, Nor Shafira, 22, berkata, mangsa, anak kelima daripada tujuh beradik pulang ke rumah dengan darah menitik dari tangan kanannya sambil menangis.

"Saya berada dalam bilik apabila mendengar ibu menangis dan apabila keluar saya melihat tangan Wan Amirul berbalut dengan kain dan berlumuran darah.

"Kami terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.

Nor Shafira berkata, dia dimaklumkan bahawa adiknya itu telah membuka mercun bola dan memasukkan belerang ke dalam sebotol minyak gamat.

"Namun semasa cuba menyalakan lilin, mercun itu meletup. Dia kata serik bermain mercun lagi," katanya sambil memberitahu adiknya itu selalu bermain mercun pada waktu malam bersama rakan-rakannya.

Nor Shafira berkata, dia bersyukur kerana tangan adiknya itu dapat diselamatkan meskipun pada mulanya doktor memaklumkan akan memotong pergelangan tangannya.

"Selepas pemeriksaan sinar-X, doktor hanya akan memasukkan besi bagi menyokong tulang ibu jari yang patah dan merawat bahagian lain," ujarnya.

Dalam kejadian berasingan di Besut, seorang lagi remaja berusia 18 tahun cedera di lima jari kirinya setelah belerang bunga api yang dimasukkan ke dalam batang paip plastik di rumahnya di Kampung Tok Dor, Khamis lalu, meletup.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohd. Hafizi Mohd Rifin, 18, sedang berada di dalam bilik di rumahnya seorang diri.

Mohd. Hafizi berkata, setelah memasukkan belerang itu, dia kemudian memanaskan sebatang dawai lalu dicucuk ke dalam batang plastik berukuran 10 sentimeter untuk membuat sumbu.

"Apabila dawai dimasukkan tiba-tiba batang paip plastik itu meletup di tangannya menyebabkan lima jari kirinya cedera," katanya ketika ditemui di wad Hospital Besut di sini hari ini.

Dia berkata, selain tangan, lengannya, muka dan kakinya turut cedera dalam kejadian tersebut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan