Selasa, 13 Oktober 2009

Bahasa Malaysia: Sopan-Santun, Keindahan Dan Perpaduan

Oleh Zulkiple Ibrahim

Kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran bagi kepentingan Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan. Berikut ialah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenainya.

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bagi peminat filem klasik P. Ramlee, pasti masih segar dalam ingatan mereka satu adegan di dalam filem 'Seniman Bujang Lapok' di mana seorang jaga Benggali di studio filem Melayu Jalan Ampas, Singapura menegur Sudin kerana menggunakan bahasa yang agak kurang sopan bila bertanya tentang kekosongan kerja.

Watak utama, Ramlee, kemudian memarahi Sudin kerana mengajukan pertanyaan dengan cara kurang manis, sambil berkata "bahasa menunjukkan bangsa" dan orang Melayu memang terkenal dengan kesopanan dan kelembutan keperibadian mereka.

"Saya kira filem itu mahu menyampaikan mesej bahawa penggunaaan perkataan yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan perpaduan, nilai murni serta kesopanan.

"Penggunaan bahasa yang sopan dan hormat adalah penting sama ada dalam pertuturan atau bertulis. Bahasa itu akan mencerminkan kesopanan masyarakat yang menggunakannya," kata pengurus industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid.

Kata beliau apa yang P. Ramlee mahu sampaikan ialah masyarakat semestinya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum akan menghormati bangsa itu dan begitulah sebaliknya.

"Hormat terhadap sesuatu masyarakat terbit dari cara mereka menggunakan bahasa mereka," kata beliau.

Bagaimanapun, dengan adanya usaha untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan semua kaum di negara ini, bahasa-bahasa kaum lain tidaklah harus dipinggirkan.

Bagi ahli akademik Yahya Che Amat, Bahasa Kebangsaan ialah alat penting untuk memupuk perpaduan dan ini berkait rapat dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Mereka mungkin datang dari pelbagai kumpulan etnik, budaya, kepercayaan dan ideologi politik tetapi mereka akan tetap bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia".

Menurut Yahya, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri serta semangat sayangkan Bahasa Malaysia kerana rasa cinta dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan mempamerkan lambang patriotisme.

"Oleh itu, perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini boleh disemai dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Malaysia seperti yang digarapkan dalam gagasan 1Malaysia," kata beliau.

Tetapi dalam usaha menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu daripada bahasa utama di dunia, bahasa ibunda etnik lain juga tidak harus dipinggirkan, tambah beliau.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

Umum juga mengalu-alukan langkah kerajaan menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan.

Aktivis sosial Fatimah Mansur berkata ini memang sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

"Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) ialah Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967, juga di bawah Seksyen 5 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

"Ia juga selari dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan - Satu Negara, Satu Bangsa, Satu Suara yang diabadikan dalam gagasan 1Malaysia", kata Fatimah.

Menurut beliau semua Akta itu mengutamakan kepada penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam membentuk bangsa Malaysia.

Pensyarah dalam bidang perubatan Dr K. Ling bersetuju dengan pandangan ini.

"Saya telah merawat ramai pesakit daripada pelbagai golongan etnik dan yang datang dari jauh seperti dari Sabah dan Sarawak. Bila saya bertanya dan bercakap dalam Bahasa Inggeris, tak ramai yang faham. Dalam banyak kes, komunikasi cara sebegini adalah sukar dan tidak lancar.

"Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia lebih senang. Adalah baik jika kita menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia membolehkan semua kaum berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua", kata beliau.

BAHASA ADALAH JIWA BANGSA

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapan beliau ketika melancarkan sambutan peringkat kebangsaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching pada 6 okt lepas, berkata kerajaan mempunyai objektif membentuk satu Bangsa Malaysia yang bangga dengan Bahasa Malaysia sebagai identiti mereka.

"Mereka mestilah fasih dan bersedia untuk meletakkan kedudukan yang sesuai selain daripada bersedia mempromosinya (Bahasa Malaysia) di mana saja mereka berada," kata beliau.

Mulai tahun depan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober.

Menurut Muhyidin, aktiviti serta komunikasi Bahasa Kebangsaan akan dipertingkat dalam kalangan ramai.

Tema bagi sambutan tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa" yang juga merupakan moto Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan