Sabtu, 17 Oktober 2009

Bahasa: Martabatkan dulu dalam negara

Oleh : Amirul Dzulkifli

Setelah agak lama tidak kedengaran, kini lagu yang semakin dilupakan didendangkan semula, iaitu pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Kelesuan yang dialami oleh bahasa ini, baik dari segi martabat mahupun peranannya menyebabkan pengembangannya di peringkat antarabangsa tidak diberikan perhatian. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang suatu ketika giat mengantarabangsakan Bahasa Melayu melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) mengambil langkah berundur.

Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dipersegarakan semula semasa Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru baru-baru ini. Memandangkan kedudukan Bahasa Melayu yang sekarang terumbang-ambing dan seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ pastinya cadangan itu menimbulkan rasa ragu dan sinis di kalangan banyak pihak.

Bahasa Melayu pernah mencapai zaman keemasan antara 1970-an hingga awal 1990-an apabila bahasa rasmi negara dimartabatkan bukan sahaja dalam bidang pentadbiran, bahkan juga dalam bidang pendidikan dan undang-undang.

Walau bagaimanapun, selepas mencapai zaman keemasan Bahasa Melayu mulai mengalami zaman surut apabila mulai tahun 1994 kerajaan membenarkan universiti awam mengajar bidang sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris.

Pada suatu ketika, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, berada dalam kapal yang sama - terlibat dalam keterhakisan kedaulatan Bahasa Melayu. Anwar walaupun sedar bahawa Bahasa Melayu mengalami zaman surut, namun beliau tidak berani melakukan sesuatu yang bercanggah dengan dasar Dr Mahathir.

Walau bagaimanapun, Anwar menaburkan harapan bahawa beliau akan memulihkan kedudukan Bahasa Melayu apabila beliau menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri. Nasionalis bahasa juga mengharapkan beliau untuk menyelamatkan bahasa kebangsaan.

Segala harapan ini berkecai bersama-sama hancurnya impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri apabila beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO. Dengan tersingkirnya beliau dari koridor kuasa, sektor swasta yang terlibat dalam memartabatkan Bahasa Melayu mula mengambil pendekatan strategi keluar. Jika sebelum ini, bagi ahli politik, terutamanya daripada UMNO, Bahasa Melayu merupakan aset penting, kini bahasa ini bertukar menjadi liabiliti.

Nasionalis bahasa yang mengalami satu demi satu kekalahan psikologi, mengalami satu lagi kekalahan yang boleh dikatakan cukup teruk apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2003. Dengan pelaksanaan dasar ‘bidan terjun’ yang diperkenalkan oleh Mahathir, maka kedudukan Bahasa Melayu yang sudah lemah bagaikan dipukul jatuh.

Kesan PPSMI dari segi keterhakisan martabat Bahasa Melayu cukup dalam. Keyakinan rakyat secara keseluruhannya terhadap bahasa kebangsaan ini boleh dikatakan luntur sama sekali. Malahan, penubuhan Jawatankuasa Memperkasa Bahasa Kebangsaan pada tahun 2006 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelajaran, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan Menteri Penerangan gagal memulihkan martabat dan kedaulatan Bahasa Melayu.

Selama tujuh tahun sebilangan nasionalis bahasa bersama-sama golongan pendidikan Cina berjuang tanpa mengenal rasa putus asa, akhirnya kerajaan bersetuju memansuhkan pelaksanaan PPSMI pada tahun 2012. Dengan pemansuhan ini, persoalan yang paling yang hakiki ialah apakah yang patut dilakukan?

Penegasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan – memang tepat dan sukar disangkal. Dan pastinya, penegasan itu relevan dengan persoalan di atas. Semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan di Kuching beliau dilaporkan berkata bahawa, keyakinan terhadap keupayaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan berasaskan bukti bahawa keluaran sistem pendidikan sedia ada yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara selama ini.

Setelah menempuh rintangan demi rintangan dan terencat lebih satu dekad, maka tanggungjawab yang utama meletakkan semula Bahasa Melayu pada landasan yang betul. Malangnya, momentum atau rentak selepas pemansuhan PPSMI masih kaku dan beku. DBP badan yang dipertanggungjawabkan untuk membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan seakan-akan mengambil langkah berundur dan terus menyepi.

Demi mewajarkan kewujudannya, memang tidak tepat untuk mengatakan bahawa ‘tidak patut tugas dan tanggungjawab untuk mendaulatkan Bahasa Melayu diserahkan kepada DBP semata-mata.’ Bahkan, DBP sepatutnya menjadi peneraju dan penggerak utama dalam usaha memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Berdasarkan situasi semasa, cadangan supaya DBP diberikan kuasa penguatkuasaan adalah berlebih-lebihan kerana kuasa yang sedia ada belum digunakan dengan sepenuhnya.

Dalam tercari-cari siapakah yang akan menjadi peneraju dan penggerak utama, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman semasa menyampaikan ucap utama dan merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia memperlihatkan kepimpinannya yang cukup berani: “Sekali kita sama berdayung, bersama-samalah kita menempuh dan menghadapi badai gelombang dan angin taufan yang ingin menghancurkan seluruh tradisi kemelayuan di bumi tercinta ini. Kami anak-anak Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berhasrat menghapus tamadun Melayu.”

Kira-kira 12 tahun lalu, Rustam A Sani membangkitkan masalah pokok yang mendasari pemartabatan bahasa yang masih relevan hingga hari ini. Dalam makalahnya, ‘BM Jam Lapan Malam’ yang dihimpunkan dalam buku beliau, Menjelang Reformasi (2004), Rustam menulis: Salah satu masalah yang dihadapi oleh Bahasa Melayu dalam memartabatkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan adalah ‘pemasungan’ peranan bahasa itu kepada bidang-bidang tertentu, seperti bidang hiburan, pengetahuan tingkatan rendah (hingga SPM), bahasa pengucapan rasmi-rasmian, perbincangan tentang sastera dan budaya (seperti yang dilakukan oleh Gapena, Pena dan DBP), dan sebagainya. Bidang-bidang seperti hubungan antarabangsa, ekonomi dan perdagangan, perbincangan tingkat tinggi, perbincangan tentang sains dan teknologi, secara lumrahnya bukanlah bidang-bidang yang biasanya dianggap sebagai bidang untuk Bahasa Melayu.

Pemasungan terhadap peranan Bahasa Melayu yang berlaku terus-menerus dapat dilihat dalam pembentangan kertas kerja dalam persidangan di Johor Bahru. Ada pembentang yang mendabik dada bahawa hal yang berkaitan dengan dasar bahasa hendaklah dirujuk kepada ilmuwan bahasa terlebih dahulu.

Sesungguhnya, pemasungan yang berleluasa seperti yang dikhuatiri oleh Allahyarham Rustam menyebabkan domain Bahasa Melayu sentiasa sempit. Bahkan, Bahasa Melayu terpasung dalam kemandulan intelektual dan kejumudan minda. Bahasa yang sarat dengan slogan, tetapi kering dengan pengisiannya.

Apabila Tan Sri Muhyiddin mengumumkan bahawa ‘kerajaan juga akan memperkenalkan Anugerah Tokoh Ilmuwan Negara mulai tahun depan’ – sebenarnya beliau turut memasungkan Bahasa Melayu – bahasa yang hanya untuk anugerah-anugerahan dan bukannya sebagai perjuangan yang hakiki.

Sumber : http: //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan