Khamis, 15 Oktober 2009

Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu

GPMS saran tiga perkara


KUALA TERENGGANU 14 Okt. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan tiga perkara penting untuk diberi perhatian kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Tiga langkah itu adalah mengembalikan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain meminta pertimbangan kerajaan memberi kuasa penuh kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan undang-undang atau kesalahan bahasa yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Satu lagi langkah yang disyorkan gabungan itu adalah meminta para pemimpin menunjukkan teladan baik dengan menggunakan bahasa Melayu yang tepat terutama ketika bercakap kepada media.
Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tiga langkah itu perlu diberi perhatian dalam usaha menjulang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, istilah bahasa Melayu perlu dikembalikan semula sekali gus mengikis penggunaan istilah bahasa Malaysia yang tidak tepat seperti diamalkan sekarang.
"Pada masa sama, GPMS meminta Kabinet berbincang semula untuk mengembalikan istilah bahasa Melayu yang lebih tepat. Kita harap semua pihak tak kira kerajaan atau rakyat lebih serius melaksanakan dasar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Semua saranan ini bersempena sambutan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan sepanjang bulan ini dan kalau boleh sambutan biarlah bermula 1 Oktober seterusnya ke bulan-bulan lain, bukan terhad bulan Oktober saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syed Anuar menjelaskan, DBP sewajarnya diberi kuasa meluluskan penggunaan bahasa terutama pada papan tanda atau iklan kerana walaupun telah mendapat kelulusan PBT, kesalahan penggunaan bahasa masih ketara.
Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan biarlah tepat tanpa perlu dicampur dengan bahasa asing.
"Kita sedia maklum, PBT mempunyai kuasa berkaitan papan tanda atau iklan tetapi biarlah mereka lebih cakna dan sensitif mengenai penggunaan bahasa itu sendiri demi memartabatkan bahasa kebangsaan," tegasnya.
Mengenai bahasa yang digunakan oleh pemimpin, beliau berkata, setakat ini hanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim satu-satunya menteri yang menggunakan bahasa Melayu yang tepat kepada media.
Katanya, ia penting memandangkan kata-kata seseorang menteri akan menjadi ikutan rakyat termasuk pelajar dan golongan muda dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dapat membantu mengelak timbul kekeliruan.

Nik Aziz minta martabatkan bahasa Melayu

KOTA BHARU 15 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengkaji semula penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris di tempat-tempat awam di kawasan mereka.
Beliau berkata, tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu boleh menyebabkan martabatnya direndahkan dan diperlekehkan, sekali gus menjejaskan usaha menyemarak dan memperkasakan bahasa itu.
Pada masa yang sama beliau turut mengakui tidak menyedari kecenderungan meluas terhadap penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di premis-premis perniagaan di negeri ini.
Ini termasuk bagi beberapa bangunan di bandar ini yang menjadi mercu tanda baru seperti Kota Bharu Trade Centre dan tulisan jawi pula sekadar digunakan bagi mengeja perkataan Inggeris itu.
''Memang betul teguran itu (menggunakan bahasa asing), ia mungkin disebabkan pemilik mahu ia menjadi popular dan mengantarabangsakan bangunan mereka supaya dikenali oleh orang luar.
''Saya pun tidak sedar sebab suasana menyebabkan saya sebagai pemimpin turut hanyut dalam bahasa Inggeris, saya rasa amat dukacita, saya minta kaji semula nama-nama ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat Wilayah Timur 2009 di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Mohamad Yussop Ishak.
Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, penggunaan bahasa pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahu pun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan seolah-olah berada di Hong Kong, Miami atau Hawaii.
''Saya secara peribadi akan memastikan bahasa Melayu akan menjadi bahasa pentadbiran dan urusan rasmi yang utama dalam sistem pentabdiran di negeri ini.
''Justeru, saya meminta semua PBT supaya melihat kembali dan memantau setiap papan tanda yang ada di kawasan masing-masing," katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia bersama-sama DBP untuk memberikan suntikan baru dalam gerakan memperkukuhkan bahasa kebangsaan bagi menggambarkan citra negeri dan budaya bangsa.
Sumber : http: //www.utusan.com.my/

1 ulasan: