Isnin, 26 Oktober 2009

Promosikan Sasterawan Negara untuk Hadiah Nobel

Oleh Imlan adabi
imlan@bharian.com.my

KITA sudah ada 10 Sasterawan Negara. Yang terbaru adalah Anwar Ridhwan atau Datuk Dr Anuar Rethwan yang dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Penobatannya sebagai Sasterawan Negara sudah diduga. Karyanya amat terserlah dari segi mutu dan kehalusan seni. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah pada 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1984/1985). Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto diterbitkan dalam bahasa Russia (penterjemah Victor Pogadaev) pada 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Kewibawaan dan kerajinan berkarya meletakkan nama Anwar sebaris tokoh besar sastera yang lain. Bagaimanapun apakah cukup sekadar sasterawan terbaik menerima Anugerah Sasterawan Negara, tanpa sebarang promosi dan pencalonan untuk meraih Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan?

Persoalan ini amat wajar dilontarkan kerana sejak lebih tiga dekad lampau, kita kurang promosi karyawan tempatan untuk Hadiah Nobel. Jika Indonesia pernah menubuhkan sebuah panitia khas mempromosikan Pramoedya Ananta Toer selama beberapa tahun, kita agak sepi dan amat longlai.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya bertindak lebih aktif melobi dan meletakkan sasterawan Malaysia ke peta dunia. Badan penulis bertaraf nasional seperti Gapena dan kerabatnya, Pena perlu lakukan sesuatu supaya Hadiah Nobel menjadi milik karyawan Malaysia. Jika selama ini persatuan penulis kerap bercakap mengenai dunia Melayu hingga Afrika Selatan dan Indochina, wajar pula mereka memperjuangkan sasterawan Malaysia menerima anugerah tertinggi dunia pula.

Penulis dan badan sastera sepatutnya tidak sekadar menggamit nostalgia tanpa memandang lebih jauh. Memperkasakan bangsa dengan karya yang baik dan meraih Hadiah Nobel, sepatutnya menjadi idaman karyawan di Malaysia. Kerajaan dan sarjana sastera juga perlu berperanan secara aktif dan telus melalui konsep 1Malaysia. Kejayaan meraih Hadiah Nobel secara langsung meletakkan nama Malaysia di persada persuratan global. Kita akui Sasterawan Negara adalah penghormatan tertinggi terhadap karyawan besar tempatan. Namun kehebatan di gelanggang sendiri bukan kayu pengukur yang sebenarnya.

Dari segi sejarah, Anugerah Sasterawan Negara mula diperkenalkan pada 1981 apabila Keris Mas (Kamaludin Muhamad) dinobatkan sebagai penerima pertama. Kemudian diikuti Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Dr Usman Awang (1983), Datuk A Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Prof Dr Muhammad Salleh (1991), Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996) dan S Othman Kelantan pada 2003.

Dari segi mutu, karya Samad dan Shahnon dianggap wajar dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Ranjau Sepanjang Jalan, Sampah, Shit, Sutan Baginda, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Salina bukan sekadar penceritaan yang ada plot dan watak, malahan mengangkat kehidupan bangsa Malaysia dengan pelbagai kerenah sosiobudaya tempatan. Karya sedemikian lazimnya dapat mencuit perhatian panel Hadiah Nobel, jika usaha tegas dan berwibawa dilakukan. Sajak karya Muhammad seperti Pulang si Tanggang amat puitis dan intelektual.

Sejak penyair Perancis, Sully Prudhomme meraih Hadiah Nobel kali pertama pada 1901, karya yang berjiwa besar dan jujur mengangkat permasalahan bangsanya sering menjadi tumpuan panel.

Hal ini bertepatan dengan wasiat Alfred Nobel yang mahu merakamkan anugerah kepada karyawan 'luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat'. Sehingga kini hanya empat sasterawan Asia menerima Hadiah Nobel. Tiada seorang pun karyawan Asia Tenggara tersenarai. Selepas Rabindranath Tagore (India) menerima anugerah pada 1913, karyawan lain ialah Shmuel Yosef Agnon (Israel, 1966), Yasunari Kawabata (Jepun, 1968), Oe Kenzabur (Jepun, 1994) dan Guo Zingjian (Rusia-China, 2000).

Kita berharap nama Samad, Shahnon, Muhammad dan Anwar turut tersenarai kerana Hadiah Nobel diberikan kepada karyawan yang masih hidup. Walaupun karya Usman, Arena Wati dan S Othman Kelantan amat berwibawa, nama mereka tidak layak dicalonkan kerana lebih awal meninggalkan kita.

Bagi kebanyakan karyawan dan pengkaji sastera, beberapa hasil tempatan sudah layak dipertimbang untuk pencalonan Hadiah Nobel. Isunya sekarang adalah promosi dan usaha berterusan membawa karya tempatan ke peringkat global. Birokrat seni sepatutnya berperanan dalam hal ini. Jangan kita dianggap 'kurang visi, kurang reti dan kurang rasa!'.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen