Rabu, 18 November 2009

DEMI MASA DEPAN

PELAJAR-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meniti bangku yang dijadikan jambatan selepas keluar dari pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunong dekat Alor Setar semalam. Lebih setengah juta calon menduduki SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh negara mulai semalam hingga 16 Disember ini ketika negeri-negeri di utara Semenanjung dilanda banjir.

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Sejumlah 521,488 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh negara mulai hari ini.

Sejumlah 465,853 calon mengambil peperiksaan SPM sehingga 16 Disember manakala 55,635 pula menduduki peperiksaan STPM yang tamat pada 10 Disember.

Daripada jumlah pelajar SPM, calon kementerian adalah seramai 406,420 orang, calon persendirian (32,561), calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera (7,071), Sekolah Agama Negeri 8,765 dan Sekolah Agama Rakyat serta sekolah swasta 11,036 orang.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan SPM di Putrajaya, berikutan musim tengkujuh kini, semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan Pengetua sekolah diminta mengikut garis panduan Operasi Payung semasa peperiksaan SPM berlangsung.

Ini termasuklah bantuan seperti tempat tinggal, makanan dan keperluan asas dapat disalur atau disediakan dengan segera kepada calon-calon terjejas akibat banjir.

Lembaga Peperiksaan juga mengeluarkan pekeliling berkaitan Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan kepada semua sekolah.

Sementara itu di KELANTAN, 140 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Maher di Kota Bharu terpaksa dikuarantin berikutan bekalan elektrik ke sekolah itu terputus sejak 8 pagi.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, jadual peperiksaan pelajar-pelajar terbabit ditunda lebih sejam.

Mohd. Ghazali berkata, tiada sekolah yang ditutup akibat banjir.

Di TERENGGANU, 12 pelajar mengambil peperiksaan SPM di hospital apabila tujuh daripada mereka disyaki cirit-birit manakala lima lagi iaitu tiga di daerah Kuala Terengganu dan masing-masing satu di Besut serta Kemaman kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata, calon SPM pada tahun ini seramai 23,616.

"Dua calon STPM terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah apabila seorang disyaki menghidap penyakit taun manakala seorang lagi terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Di KEDAH, banjir yang melanda sejak 10 hari lalu tidak menjejaskan 39,426 calon SPM dan STPM di negeri ini. Tiada calon yang berdepan masalah untuk menduduki kertas peperiksaan masing-masing di kesemua 348 pusat peperiksaan.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, cuma sebuah pusat iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini yang dinaiki air di laluan pintu masuk premis berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menghalang calon-calon peperiksaan untuk ke sekolah terbabit.

Seramai 35,798 calon menduduki peperiksaan SPM, manakala bagi STPM pula melibatkan 3,628 orang dan 369 calon persendirian.

Shahidan berkata, sehingga kini, hanya 18 yang terlibat dengan banjir kerana laluan atau rumah mereka ditenggelami air.

Sehubungan itu, katanya, calon-calon terbabit ditempatkan di asrama iaitu lima dari SMK Seri Gunong yang ditempatkan di asrama SMK Alor Janggus, manakala SMK Tengku Abdul Malek (4), SMK Tajar (6) dan SMK Kepala Batas (3) yang kesemuanya ditempatkan di asrama sekolah masing-masing.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan