Khamis, 5 November 2009
ISU KERANCUAN BAHASA
Jom kita semarakkan bahasa rojak!
Oleh - Abd. Jalil Ali
Saya tidak tahu apa nama judul lagu itu, tetapi saya sudah mendengarnya ketika zaman kanak-kanak, lama dulu. Lirik awal lagu itu ialah: “Gunakanlah bahasa kebangsaan kita. Marilah amalkan ramai-ramai” Lagu itu kini berkumandang semula, diulang setiap hari oleh stesen-stesen RTM. Anda boleh memilih, sama ada hendak mendengar dan menghayati lagu itu hingga akhir, atau menukar ke stesen lain.
Mengapa lebih setengah abad setelah merdeka, hari ini kita terpaksa mendengar semula lagu itu? Dan kita mengadakan semula ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’. Itu ertinya, sejak 31 Ogos 1957, kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada hal status bahasa itu telah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ternyata rangkap awal lirik lagu itu tidak menjadi kenyataan. Orang tidak menggunakan bahasa Melayu. Orang tidak mengamalkan bahasa itu. Ini memang telah dijangka. Sebab itu berpuluh tahun dulu sudah ada puisi ‘Keranda 152’ yang membayangkan bahasa Melayu akan lenyap.
Jangan marah pada orang lain, marahkan diri sendiri. Sebab, kita sendiri yang meletakkan bahasa kita di bawah tapak kaki, atau di bawah buntut. Menteri kita (Melayu) lebih senang bercakap bahasa Inggeris walaupun untuk rancangan bahasa Melayu ketika di TV. Orang korporat kita malu bercakap Melayu sebab bahasa itu dikatakan tidak ada nilai ekonomi. Drama Melayu kita guna dialog orang putih, dialog Melayu dianggap kampungan.
Akhir-akhir ini filem Melayu kita pun pakai judul Inggeris, seperti ‘I Know What You Did Last Raya’, ‘Remp It’, ‘Cicakman’ (sampai sekarang filem-filem ini tidak ditayangkan di negara-negara orang putih!). Ada filem baru (Melayu) yang akan diterbitkan, juga menggunakan judul Inggeris, ‘My Spy’. Apakah betul judul Inggeris itu lebih komersial berbanding ‘Pengintip Ku’ atau ‘Mata-Mata Gelap Ku’, atau ‘Spy Leman’.
Saya tidak bersedih kali ini. Juga tidak perlu emosional dan marah-marah. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa bahasa kita semakin tenggelam. Istilah-istilah nenek moyang kita akan hilang satu demi satu, diganti dengan perkataan-perkataan canggih dan popular ciptaan media. Untuk tidak ketinggalan zaman, ada baiknya kita mempelajari perkataan-perkataan baru yang kini telah diterima sebagai bahasa radio & TV.
Untuk kali ini saya hanya ingin memberitahu beberapa istilah yang telah dibakukan oleh stesen-stesen radio dan TV kita, dan kini menjadi ikutan ramai. Paling popular ialah perkataan ‘ferast’ (dari istilah Inggeris ‘frust’). Istilah Melayunya ‘kecewa’, ‘merana’. Contoh ayat: “Gadis gedik-gedik itu ferast menonggeng setelah Abang Bangla yang menjadi pakwenya pulang ke negara asal.”
‘Solid-molid’ (istilah asal Inggeris ‘solid’), istilah Melayunya ‘gempal’, ‘sendo’ (lebih merujuk kepada bentuk tubuh yang seksi). Contoh ayat: “Melihat gadis di pam minyak yang solid-molid itu, Mat Skru yang selama ini dianggap sempoi dan lentok tiba-tiba naik semangat lalu menerkam gadis itu.”
‘Cun-melecun’ (tidak pasti dari istilah mana, mungkin Sanskrit kuno!), ertinya ‘cantik’. Contoh ayat: “Jejaka jiwang yang selalu bermata kuyu seperti orang berdengung itu mengancam untuk membunuh diri apabila mengetahui makwenya yang cun-melecun itu disahkan telah dicilok oleh Mat Bangla.”
Untuk kali ini saya harap pembaca membiasakan diri dengan tiga istilah baru ini, supaya lebih faham apabila menonton dan mendengar rancangan-rancangan popular di radio dan TV kita. Pada kesempatan lain saya akan memberitahu banyak lagi-istilah baku Melayu baru yang siang malam dituturkan oleh pengacara dan juruhebah kita, dan menjadi ikutan ramai. Ada pun perihal bahasa Inggeris yang selalu dituturkan oleh Menteri dan ahli korporat kita itu, ada baiknya kita amalkan juga. Kalau tidak nanti kita dianggap tidak standard.
Biarkan lirik “gunakanlah bahasa kebangsaan kita...” berkumandang setiap hari, jangan ambil berat sangat lagu itu. Lagi pun siapa peduli kalau kita tidak cakap Melayu? Siapa kisah kalau bahasa itu dipinggirkan? Teruslah kembangkan bahasa rojak, sebab bahasa jenis ini lebih disukai dan lebih sesuai. Kalau tidak gunakan bahasa songsang ini radio dan TV tidak ada peminat, dan iklan pun merosot. Jadi, rojakkanlah bahasa kita untuk dapat iklan!
Biarkan bahasa Melayu yang tidak ada nilai ekonomi dan kosong nilai komersial itu digunakan hanya sebagai bahasa perantaraan Tok Bomoh dan Pak Dukun bercakap dengan makhluk halus. Sekurang-kurangnya untuk masa ini bahasa nenek moyang kita itu masih mempunyai nilai kebomohan dan perdukunan. Apabila satu hari nanti makhluk halus pun sudah tahu bahasa Inggeris dan sudah terpengaruh dengan bahasa rojak, bomoh dan dukun pun tidak lagi ‘menurun’ menggunakan bahasa Melayu.
Jampi serapahnya akan berbunyi begini: “Wahai my friend jin, I nak minta you pulihkan semangat girl yang solid-molid di rumah Brother Mahat tu. Dah over six months dia sakit, parents dia betul-betul dah frust menonggeng. Please, jin...Money no problem!” Mungkin jin akan menjawab: “Well, Tok Moh, I will try my best.” Kalau bomoh dan dukun pun tidak lagi menggunakan bahasa Melayu baku, ketika itu habislah bahasa kita!
Sumber :http://www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan