Sabtu, 7 November 2009

Kanak-kanak berhak jalani kehidupan selamat, lebih ceria

Masyarakat patut prihatin kepentingan pertumbuhan psikologi, suasana kondusif untuk si cilik membesar sebagai insan efektif

KETIKA berkunjung ke sebuah premis makanan di ibu kota baru-baru ini, sebaik memilih meja bersesuaian untuk menikmati hidangan, datang seorang kanak-kanak perempuan, mungkin baru berusia enam tahun menadahkan mangkuk kecil sambil meminta belas ihsan menghulurkan sedikit wang.

Melihat keadaan kanak-kanak itu yang kurus kering, selain penampilannya comot, sesiapa saja akan mudah bersimpati dan tanpa berkira untuk mengeluarkan duit. Matanya sayu dan nampak letih, mungkin kepenatan 'bekerja' mengemis. Selepas wang dihulurkan, dia beredar mencari 'pelanggan' baru. Ibu bapanya atau penjaga tidak pula kelihatan.

Di satu sudut pula, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sibuk mengemas pinggan mangkuk yang sudah bersisa di atas meja. Dia nampak ceria melakukan tugasannya, walaupun hakikatnya pada usia itu, dia sepatutnya berada di rumah mengulang kaji pelajaran atau bermain seperti kanak-kanak sebaya, bukannya membanting tulang membantu keluarga mencari rezeki.

Itulah senario masa kini. Zaman yang sepatutnya dipenuhi keceriaan dan keseronokan, dirampas daripada kanak-kanak hari ini. Bagi ibu bapa atau penjaga, itu adalah hak mereka untuk menyuruh atau mengerah si kecil membantu mencari sesuap nasi, tanpa menyedari kanak-kanak juga mempunyai hak untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka.

Tiada siapa juga yang bertanya kepada insan kecil itu untuk mengetahui pandangan mereka atau apa yang mereka kehendaki, malah dilayan bagaikan individu yang tidak mempunyai pemikiran tersendiri, jauh sekali hak untuk bersuara.

Tanpa disedari, layanan sebegitulah menjadi punca kanak-kanak membesar menjadi individu bermasalah kerana proses pembesaran mereka tidak berlandaskan kepada persekitaran kondusif. Malangnya, rentetan peristiwa bermula daripada zaman kanak-kanak yang kurang normal sehingga menjadi punca kepada kejanggalan sahsiah individu itu, tidak diambil kira.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Nor Amni Yusoff, berkata kealpaan masyarakat khususnya ibu bapa akan hak kanak-kanak menyebabkan kanak-kanak begitu mudah dieksploitasi sehingga ada kalanya menjejaskan keselamatan mereka.

"Apabila kita memperkatakan isu kanak-kanak, kita sebenarnya membincangkan hak kanak-kanak untuk hidup dengan selamat, ceria dan keperluan untuk betul-betul menjadi seperti kanak-kanak. Malangnya, kita lihat hari ini ramai kanak-kanak terpaksa menjadi dewasa pada usia yang tidak sepatutnya.

"Mereka tidak diberi peluang untuk hidup seperti kanak-kanak, dan kita lihat ada ibu bapa menggunakan kanak-kanak untuk kepentingan diri termasuk memperalatkan si kecil bagi tujuan memperoleh pendapatan seperti mengemis dan sebagainya," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Eksploitasi kanak-kanak datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Tanpa disedari ibu bapa juga mengeksploitasi anak mereka. Menyuruh kanak-kanak bekerja (tidak kira apa jenis atau bidang pekerjaan itu), walaupun untuk tujuan yang baik seperti membantu menambah pendapatan keluarga juga bentuk eksploitasi kerana pada usia kecil, kanak-kanak tidak sepatutnya dikerah untuk bekerja.

Mendidik kanak-kanak mengenali erti kehidupan tidak sama dengan menyuruh mereka bekerja dengan tujuan pengalaman itu dapat membantu mereka memahami keperitan hidup sebagai orang dewasa dalam mencari rezeki. Kanak-kanak perlu dididik dengan peringkat kematangan yang bersesuaian dan paling penting, diberikan hak untuk menikmati zaman kanak-kanak dalam keadaan selamat.

Hari ini, kanak-kanak terdedah kepada pelbagai risiko jenayah seperti penculikan, pemerdagangan manusia, penderaan dan pengabaian yang boleh membawa kepada eksploitasi kanak-kanak. Justeru, amat penting bagi setiap pihak memberi keutamaan kepada isu membabitkan hak kanak-kanak yang selama ini dipandang remeh sebahagian besar masyarakat.

Hak kanak-kanak mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila resolusi yang dicapai pada Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 menetapkan setiap kanak-kanak perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai pemikiran dan hak untuk hidup dengan selamat serta ceria tanpa diskriminasi seperti yang terkandung dalam artikel 2 CRC.

Hak kanak-kanak memastikan empat keperluan asas iaitu kelangsungan hidup, perkembangan kanak-kanak (pendidikan), perlindungan dan penyertaan kanak-kanak sebagai anggota masyarakat.

Di negara kita, sebagai menyatakan komitmen terhadap CRC, kerajaan meminda akta sedia ada membabitkan kanak-kanak iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan kanak-kanak 1991; dan pada 2001, Akta Kanak-kanak diperkenalkan. Akta itu mentakrifkan kanak-kanak sebagai mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan wajib diberi perlindungan oleh ibu bapa atau penjaga.

Hampir lapan tahun kemudian, Dasar Kanak-Kanak (DK) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (DPKK) yang diluluskan oleh Kabinet pada 29 Julai lalu diumumkan bagi menyokong akta berkenaan. DPKK menggariskan panduan dan pemangkin kepada setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat supaya menyedari bahawa aspek melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama.

Malah, kedua-dua dasar itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak dengan objektif melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Hakikatnya, memberi keutamaan kepada hak kanak-kanak bukan saja melindungi mereka daripada keganasan atau eksploitasi, sebaliknya dapat memastikan kesejahteraan generasi akan datang yang bakal meneraju negara kelak. Kanak-kanak bukan sekadar individu yang berfungsi pada masa depan, tetapi mereka juga adalah individu yang wujud ketika ini dan tumpuan bagi melindungi kehidupan mereka amat penting supaya mereka menjadi individu yang efektif kelak.

Sehubungan itu, amat penting supaya semua pihak memahami dan menghayati keperluan bagi memelihara hak kanak-kanak serta mengiktiraf kehadiran mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Hari Kanak-Kanak Sedunia yang mula disambut pada 1959 di Malaysia menghormati kepentingan itu dengan memastikan tumpuan terhadap isu kanak-kanak akan diketengahkan dan diambil kira.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Kebangsaan 2009 yang diraikan hari ini, tema 'Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara' dipilih bagi memperkasakan isu keselamatan kanak-kanak.

Program sehari yang bakal dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, diadakan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di Putra Perdana, Puchong.

Nor Amni berkata, PAKK dipilih untuk menjadi tuan rumah sambutan itu bagi menarik perhatian masyarakat terhadap kewujudan PAKK yang kini sudah bertapak di 139 lokasi di seluruh negara.

"Kita mendapati orang ramai masih tidak menyedari kewujudan PAKK dan kita mahu masyarakat memanfaatkan kemudahan disediakan di PAKK. Pusat ini dibuka di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan yang kita dapati ramai kanak-kanak terbabit dalam jenayah, mangsa dera atau kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian di rumah apabila penjaga keluar bekerja.

"Antara kemudahan disediakan selain penjagaan kanak-kanak, ialah tuisyen percuma dan kelas komputer yang dikendalikan dengan pengawasan pemudahcara. Malah, kita juga mempunyai penjaga yang dibantu beberapa pekerja bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dijaga," katanya.

Selain itu, sebagai tambahan ada PAKK yang membuka Taska Komuniti bagi keluarga yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000.

Beliau berkata, waktu operasi PAKK bergantung kepada keperluan setempat dan masalah kanak-kanak yang dikenal pasti supaya pusat itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan