Selasa, 15 Disember 2009

PERPADUAN MELALUI BAHASA : FAKTOR KEJAYAAN SINGAPURA


DUA perkara amat penting telah ditimbulkan oleh Zainuddin Maidin (Zam) dalam kolumnya "Hari itu sudah berlalu" di Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Pertama, Zam menulis; "Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew terus tidak membenarkan bekas 'anak emasnya' yang pernah menjadi anggota PKM (Parti Komunis Malaya) untuk masuk ke Singapura hingga hari ini."

Keduanya, tindakan Kuan Yew yang berani menghapuskan sekolah-sekolah Cina yang menjadi pusat pengembangan cauvinisme Cina yang menjadi pangkalan kepada komunisme.

Ketika kebangkitan PKM di Singapura pada tahun 1950-an hingga awal tahun 1960-an, Kuan Yew selaku Perdana Menteri secara tegas memerangi pelampau Cina apabila beliau menukar pengantar bahasa Cina di sekolah Cina dengan bahasa Inggeris dan memaksa Universiti Nanyang dan Kolej Ngee Ann untuk bergabung dengan Universiti Nasional Singapura yang menggunakan pengantar bahasa Inggeris.

Beliau tidak mempedulikan tunjuk perasaan membantah tindakannya itu yang diterajui oleh pelampau Cina dan pelajar-pelajar kedua-dua institusi pengajian tinggi Cina yang dianggap sebagai simbol kebudayaan Cina di Singapura. Beliau menutup mulut mereka sekali dan selama-lamanya.

Kejayaannya yang cemerlang dapat dilihat hari ini dengan perasaan dan semangat "kekitaan" di kalangan rakyat Singapura berbilang kaum yang begitu tinggi dan mantap berbanding dengan rakyat Malaysia yang berada dalam perasaan kebanggaan kaum masing-masing.

Malaysia sekalipun telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi tidak mempunyai keazaman politik untuk mengambil tindakan yang tegas dari awal bagi melaksanakannya, sebaliknya lebih suka bermain politik untuk mengekalkan pengaruh dan akhirnya menghadapi malapetaka pada tahun 2008. Sekolah aliran pelbagai bahasa terus berkembang dan tidak dapat disekat lagi.

Usaha membangunkan semangat nasionalisme menerusi program bahasa Melayu nampaknya hanya didukung dan melibatkan semata-mata orang Melayu kerana bukan Melayu merasa terasing dari aliran perdana atau aliran nasional kecuali sekelompok kecil yang bersekolah kebangsaan dari peringkat awal.

Ini bukan sahaja kerana kesalahan mereka tetapi juga kerana pendekatan golongan fanatik bahasa yang memperjuangkan bahasa Melayu seolah-olah hanya bahasa untuk orang Melayu. Umpamanya mereka menolak istilah bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia seperti yang dicadangkan oleh Bapa Merdeka, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Lebih teruk lagi setelah lebih 52 tahun merdeka, Dewan Bahasa dan Pustaka dan golongan fanatik bahasa ini masih menggunakan slogan gunakanlah bahasa Melayu untuk kempen bahasa yang mana mereka tidak sedar ia amat menyakitkan hati kebanyakan bukan Melayu yang telah pun menggunakan bahasa Malaysia terutama sekali di Parlimen dan mahkamah (dalam kehakiman dan guaman).

Dalam beberapa hal, pendekatan fanatik bahasa yang bersifat jingoisme atau nasionalisme sempit telah menyebabkan orang bukan Melayu merasa terasing dengan bahasa Melayu walaupun mereka menerimanya menerusi persekolahan. Dan generasi Melayu selepas merdeka menganggap bahasa Inggeris sebagai tidak penting.

Pokoknya, semua ini berlaku adalah kerana tidak ada ketegasan dan kebijaksanaan kerajaan dalam mengendalikan pengembangan bahasa dan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk aliran perdana.

British telah melahirkan orang berjiwa Malaysia, berfikiran Malaysia dan bersemangat sejarah Malaysia seperti Prof Khoo Khay Kim tetapi berapa ramaikah manusia bukan Melayu seperti ini yang dilahirkan oleh Malaysia selepas kemerdekaan?

Tidakkah ini kerana cara pendekatan orang Melayu sendiri yang menyebabkan masyarakat merasakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk Melayu sahaja.

Kita tidak lagi boleh membiarkan Dewan Bahasa dan Pustaka serta golongan fanatik bahasa mengendalikan pengembangan bahasa Malaysia di negara ini tetapi hendaklah menyerahkan tanggungjawab ini kepada golongan profesional yang berfikiran terbuka dan luas.

Jamil Ahmad

Kuala Lumpur

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan