Selasa, 26 Januari 2010

Jangan pinggirkan murid kurang pintar

BERBANDING dengan pelajar yang kurang pintar dan 'berotak beku' di negara ini, pelajar pintar dan 'berotak cair' lebih mendapat keistimewaan dari sudut pembelajaran, bermula dari pra-sekolah lagi. Terbaru pelajar pintar dan 'berotak cair' mendapat keistimewaan belajar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Memang tidak boleh dinafikan bahawa SBT yang dimulakan dengan 20 buah sekolah dan akan terus ditambah kepada bilangan 100 buah pada tahun 2012 adalah baik dan berfaedah kepada negara. Murid yang pintar dan 'berotak cair' memang perlu dipastikan menerima pendidikan yang sempurna tanpa sebarang halangan. Mereka adalah aset negara.

Lazimnya sekolah yang baik dan melahirkan murid yang cemerlang bukan sahaja mengumpulkan murid yang cerdik tetapi mereka juga akan dididik oleh guru yang terbaik, malah pengurusan sekolahnya juga dilakukan oleh pengurusan yang cemerlang.

Di samping itu sekolah-sekolah cemerlang yang mana murid, guru-guru dan pengurusannya cemerlang akan menjadi perhatian dan akan sentiasa dipantau oleh pejabat pelajaran daerah, pejabat pelajaran negeri dan juga Kementerian Pelajaran sendiri dengan pelbagai program dibuat supaya yang cemerlang akan lebih cemerlang. Proses penerimaan pelajarnya pun melalui proses penapisan dan pemilihan yang cukup ketat dan rapi.

Tetapi murid yang kurang cemerlang dan belajar pula di sekolah yang kurang cemerlang lazimnya akan diajar oleh guru yang kurang cemerlang dan pengurusan sekolahnya juga diurus oleh pengurusan yang kurang cemerlang, menjadikan mereka yang kurang cemerlang kekal dalam keadaan kurang cemerlang.

Bagi saya ia tidak adil kepada pelajar kurang cemerlang yang bukan minta dilahirkan dengan kurang cemerlang dan 'berotak beku'. Ibu bapa juga tidak pernah mendoakan agar anak yang dilahirkan kurang pintar dan 'berotak beku'. Masing-masing mengharapkan dikurniakan anak yang berkualiti dan berprestasi tinggi.

Kata orang, seperdu buluh kepada seorang yang kreatif dan mempunyai bakat dan kerajinan yang cemerlang seperti orang Jepun akan menghasilkan pelbagai barangan yang boleh dijual dengan harga yang mahal. Tetapi kepada seseorang yang tidak kreatif seperti kebanyakan orang bangsa kita ia tentulah dianggap hanya boleh dijadikan rakit atau galah untuk memasang bendera parti pada musim pilihan raya.

Demikian juga dalam dunia pendidikan, murid yang kurang pintar dan 'berotak beku' bagi guru yang kurang cemerlang akan dilihat membebankan dan dilihat umpama belakang parang, walaupun boleh diasah dan ditajamkan tetapi ia akan memakan masa yang lama dan memerlukan usaha yang lebih oleh pengasahnya. Tetapi kepada guru yang cemerlang, pasti ada usaha dan ikhtiar supaya belakang parah yang diasah cepat tajam.

Maknanya murid yang kurang cemerlang dan 'berotak beku' sepatutnya dididik oleh guru yang cemerlang dan sekolah yang kurang cemerlang perlu diuruskan oleh pengurusan yang cemerlang, bukannya menjadi tempat longgokan guru dan tenaga kerja yang patut dipeti-sejukkan.

Murid yang pintar dan cemerlang pasti lambat diajar, apa yang diajar akan cepat difahami. Kawan saya tidak pernah pun kalut menghantar anak-anaknya tuisyen atau memilih sekolah cemerlang untuk anaknya belajar, tetapi semua anaknya kini jadi peguam dan doktor kerana anak-anaknya memang sedia pintar dan berotak cair.

Bagi saya dalam memberi pendidikan, tumpuan yang lebih atau pun setidak-tidaknya tumpuan yang sama rata perlu diberikan kepada pelajar yang kurang pintar dan 'berotak beku', termasuk mendidik mereka berdasarkan minat dan kecenderungan.

Kalau dia minat bertukang rumah misalnya, maka doronglah ke arah itu, pasti dia akan menjadi tukang rumah yang cemerlang. Jangan dipaksa pelajar dengan pendidikan atau mata pelajar yang mereka tidak suka.

Demikian juga kalau orang yang tidak berminat tentang hobi memancing atau hobi-hobi yang lain, pantang disyarah mengenainya pasti dia akan berdengkur. Tetapi kalau disyarah kepada yang berminat, maka akan kecur air liurnya, malah apabila apa yang disyarahkan tidak difahami, maka akan segera dikemukakan tentang apa yang tidak difahami.

Oleh itu percayalah, kalau anak-anak dididik dan didorong berdasarkan minat dan kecenderungan mereka, soal murid kurang cemerlang tidak akan timbul kerana masing-masing akan cemerlang mengikut bidang yang diminati, tambah-tambah kalau diasuh dan dididik dalam bidang berkenaan yang pasti akan diikuti dengan penuh minat dan keseronokan.

MUHAMMAD HAFIZUDDIN RAMLI

Kota Bharu, Kelantan

Sumber: http://www.utusan.com.my/

1 ulasan: