Rabu, 20 Januari 2010

Segerabak Membaca pecah tradisi

AINON (kiri) dan Izwan (dua dari kiri) di samping sebahagian daripada 100 peserta yang berhubung melalui Facebook bagi menjayakan program Baca@LRT.

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Baca@LRT cetus pembaharuan dan hubungkan peminat dan pembaca tegar

KEMPEN Baca@LRT: Segerabak Membaca di Terminal Putra, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, menyaksikan penyertaan lebih 100 peminat buku dan pembaca tegar, sekali gus mencapai sasaran penganjur yang mensasarkan kehadiran 70 peserta selain membuktikan kepentingan internet dalam menghubungkan pelbagai kumpulan sosial pada satu masa.

Ketua Operasinya, Izwan Wahab, berkata penyertaan orang ramai khususnya golongan muda yang membabitkan pelajar universiti, membuktikan semangat memupuk budaya membaca dan celik minda di kalangan masyarakat masih membara, apatah lagi melalui kempen yang dilaksanakan secara santai dan menepati cita rasa orang muda.

“Justeru, kami akan menjadikan program ini sebagai acara bulanan demi memastikan matlamat utama untuk menyemai sikap membaca di tempat awam khususnya di kalangan pengguna tren akan terus kekal. Seperti biasa program ini hanya mengambil masa yang singkat, tetapi pengisiannya sampai kepada masyarakat,” katanya kepada Sastera.

Beliau mendapati kempen yang bermula tepat jam 10 pagi di Terminal Putra Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan mengambil masa 45 minit sebelum berkumpul di Terminal Putra LRT Kelana Jaya menyaksikan orang ramai yang tidak mengetahui mengenai kempen itu berasa kurang selesa apabila memasuki LRT tanpa bahan bacaan di tangan.

“Jika sebelum ini tabiat membaca buku dalam tren dianggap janggal, saya pasti senario ini pasti berubah. Buktinya, saya diberitahu ada pelajar sekolah yang memohon maaf kerana tidak membawa buku dan rasa bersalah apabila semua orang membaca, manakala ada yang terus menerus memandang SMS seolah-olah membaca sehingga tiba ke destinasi dituju.

“Kita ingin melihat minat membaca di kalangan rakyat subur sehingga menjadikannya sebagai tabiat ketika menaiki LRT, bas dan kereta api seperti yang berlaku di negara maju sejak lama dulu. Pada masa sama, perpustakaan awam perlu diperkasakan agar dapat menarik minat ramai terutama pelajar,” ujarnya.

Pengerusi Kumpulan PTS, Ainon Mohd yang juga penasihat kempen, menganggap kejayaan kempen berkenaan sebagai manifestasi ekonomi baru iaitu kebijaksanaan tiga anak muda menjayakan kempen dengan hanya menggunakan Facebook.

“Kempen ini tidak sekadar menyemai semangat membaca di kalangan masyarakat, malahan mendekatkan pembaca pelbagai latar belakang secara tidak langsung. Kebanyakan yang terbabit dalam kempen ini tidak segan dan kekok ketika berkumpul, bahkan mereka teruja melihat rakan baru yang selama ini bersifat virtual di Facebook,” katanya.

Ainon yakin pembacaan akan membawa masyarakat selangkah ke hadapan, menghubungkan kumpulan sosial, mewujudkan semangat setiakawan dan celik minda, selain meningkatkan kemahiran dalam menghadapi saingan pada peringkat global.

Penulis e-buku, Harlym Yeo, pula menganggap langkah mengadakan kempen Baca@LRT sebagai satu cara untuk menarik generasi muda menjadikan pembacaan sebagai tabiat harian sama ada di rumah atau di tempat awam, bukan sekadar mengisi masa lapang.

“Pendidik dan pustakawan gelisah kerana perpustakaan semakin kurang dijejaki pelajar dan generasi muda. Ini bukan bermakna mereka tidak mencari bahan atau membuat rujukan, tetapi kerana tiada tarikan baru. Mereka lebih cenderung melayari pustaka maya menerusi internet,” katanya.

Harlym melihat program sulung itu berjaya hasil penggunaan Facebook sebagai bahantara utama dalam mendokong gerakan terbabit berbanding sesetengah kempen membaca yang dilaksanakan secara formal dan sukar mendekati generasi muda yang sentiasa inginkan pembaharuan.

Eksekutif Komunikasi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Norhasydah Ayub, berkata fungsi Facebook sebagai wahana sosial yang menjalinkan peminat buku sesuai dengan perkembangan semasa yang menuntut perubahan dalam pelaksanaan kempen membaca.

“Menariknya, program santai ini sehingga bukan saja tidak membataskan genre bahan bacaan yang hendak dibaca, malahan memberi peluang kepada orang ramai dan penerbit buku berkongsi pengalaman dan memperkenalkan bahan bacaan ilmiah kepada mereka,” katanya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen