Ahad, 4 April 2010

Berjaga-jaga sebelum gelombang kedua H1N1 menyerang

Kematian seorang ibu Maimunah Dimah, 54, dan anaknya, Sumarni Mat Nor, 29 di Hospital Melaka akibat jangkitan virus Influenza A (H1N1) menandakan semua rakyat negara ini perlu berjaga-jaga.

Angka korban virus maut itu di negara kita kini bertambah menjadi 79 orang setelah tujuh bulan terhenti pada 77 kes tahun lalu.

Semua pihak perlu mengambil pendekatan dan ingatan bahawa jangkitan H1N1 sudah kembali. Hakikatnya seperti yang diberitahu berkali-kali oleh Kementerian Kesihatan, H1N1 masih lagi aktif berlaku di dalam komuniti kita.

Sebab itu kerajaan tidak boleh isytiharkan negara ini bebas H1N1 selagi masih terdapat kes-kes H1N1 yang dilaporkan di beberapa negeri. Belum pasti lagi adakah gelombang kedua H1N1 sudah bermula. Tetapi orang ramai yang mempunyai tanda-tanda penyakit itu digesa segeralah mendapatkan pelalian secara percuma di 104 pusat kesihatan di seluruh negara.

Sekarang semua ahli keluarga dan masyarakat diminta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema babi ini.

Jangan kita berfikiran wabak ini tidak akan menghampiri kawasan kediaman kita hingga tidak mengambil langkah kawalan.

Pengawalan dan penjagaan kesihatan adalah penting bagi mengelak berlaku gelombang kedua Influenza H1N1.

Dalam keadaan sekarang, eloklah kerajaan menggerakkan pasukan pemantau H1N1 yang ditubuhkan November lalu bagi menghalang berlakunya gelombang kedua wabak itu.

Situasi ini juga menuntut kerajaan segera meningkatkan pemantauan terhadap H1N1 di semua negeri, meningkatkan rawatan di semua hospital serta memperhebatkan lagi kempen mengenai H1N1.

Sehingga Khamis lalu, sebanyak 53 kes manakala 878 kes gejala seakan-akan influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Melaka sahaja.

Kita bimbang jika gejala penyakit itu tersebar ke negeri lain tanpa kita sedari. Kementerian Kesihatan ada melaporkan terdapat trend peningkatan kes H1N1 di negara ini dengan purata 50 kes positif H1N1 dikesan setiap minggu.

Memandangkan keadaan ini, elok orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memakai semula penutup mulut dan hidung. Jika rekod menunjukkan sejumlah 12,688 kes positif H1N1 dicatatkan sejak April 2009 hingga Mac lalu dan hanya 77 orang meninggal dunia dalam tempoh itu, rasanya kita mampu menangani wabak ini sekali lagi.

Tetapi ia berbalik kepada kesediaan kita untuk memberi kerjasama demi kebaikan semua orang. Sebab, meskipun pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah-langkah bagi menghalang kemunculan semula wabak H1N1 ini, keberkesanannya banyak bergantung kepada kesedaran orang ramai untuk bersama- sama menghayati dan melaksanakan apa juga langkah yang perlu diambil.

Jika doktor menasihatkan anda atau ahli keluarga anda berkurung di rumah dan mengambil ubat yang diberi, maka patuhilah arahan tersebut. Orang ramai juga janganlah bersikap semua perkara mesti dilakukan oleh kakitangan jabatan kesihatan, sebaliknya berusahalah ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin H1N1 atau melayari www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

Paling utama ialah pastikan tangan kita sentiasa dibasuh dengan bersih. Tangan bersih boleh menghindarkan penyakit.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan