Jumaat, 2 April 2010

Fahami hak kanak-kanak

Setiap kanak-kanak di dunia ini mempunyai hak yang sama seperti orang dewasa. - Gambar hiasan

HAK asasi manusia adalah untuk semua umat manusia termasuk kanak-kanak. Ya!, kanak-kanak seluruh dunia sebenarnya mempunyai hak yang sama seperti orang dewasa.

Perkara itu termaktub dalam piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB menyedari kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa. Untuk itu kanak-kanak mempunyai keperluan yang berlainan kerana masih bergantung kepada orang dewasa untuk menjaga mereka.

Bagi menjamin kepentingan kanak-kanak, PBB telah merangka sebuah perjanjian antarabangsa khusus mengenai hak asasi untuk kanak-kanak yang dikenali sebagai Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

Konvensyen tersebut telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agong PBB pada tahun 1989.

Bagi mereka yang tidak mengetahui apa itu 'hak' ataupun mungkin mempunyai pemahaman sendiri tentang perkataan 'hak', merupakan perkara asas yang individu perlu miliki.

Hak ini perlu untuk hidup sempurna dan sejahtera dalam masyarakat.

Contohnya kita mempunyai hak untuk bersekolah dan kalau tidak sudah tentu kita tidak tahu membaca dan menulis.

Kanak-kanak di seluruh dunia tidak kira bangsa, warna kulit dan agama mempunyai hak yang sama rata, baik lelaki atau perempuan, miskin atau kaya, berupaya atau kurang upaya.

Tiada seorang pun kanak-kanak yang dipinggirkan dan semua kanak-kanak mempunyai empat hak utama iaitu

1. Hak kehidupan

Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup. Orang dewasa hendaklah memelihara kanak-kanak agar mereka boleh hidup dan membesar dengan sihat.

Ini bermakna mereka perlu memastikan kanak-kanak diberi makanan dan pakaian yang sempurna.

Sekiranya kanak-kanak tersebut sakit, mereka (orang dewasa) bertanggungjawab memberi rawatan agar anda sembuh.

2. Hak perlindungan

Orang dewasa hendaklah memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Anda ada hak untuk dijauhi daripada dadah, dilindungi daripada penjahat dan kecederaan supaya anda dapat hidup dengan sempurna seperti orang lain.

Anggota polis boleh melindungi anda, begitu juga ibu bapa anda.

3. Hak perkembangan

Kanak-kanak berhak untuk ke sekolah dan sebagai kanak-kanak, banyak perkara yang perlu dipelajari agar dapat menjadi seorang dewasa yang cerdik dan sempurna.

Maka, orang dewasa hendaklah memastikan kanak-kanak dapat belajar sebaik mungkin dan cara terbaik untuk belajar adalah dengan ke sekolah.

4. Hak penyertaan

Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang lain dan berkawan. Mereka boleh menyertai kelab atau persatuan dan berbincang sesama rakan anda dengan bebas.

Sehubungan itu, mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun ditakrifkan sebagai kanak-kanak dan mereka ini juga mempunyai hak masing-masing.

Untuk itu ada undang-undang yang menyatakan bahawa adalah hak anda sebagai kanak-kanak agar tidak dibuli dan menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah dan polis melindungi anda dan hak-hak anda sebagai seorang kanak-kanak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan