Rabu, 7 April 2010

Kempen antimerokok perlu diperkasakan

DI PARLIMEN kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bahawa penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja.

Penjualan rokok 20 batang masih dikekalkan kerana harganya yang mahal. Menurut beliau lagi, kerajaan akan memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

Selain langkah mengharamkan penjualan rokok 14 batang, kerajaan telah mengadakan pelbagai program bagi membendung perbuatan merokok di kalangan rakyat negara ini.

Antaranya meningkatkan cukai dan harga rokok, menguatkuasakan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, promosi antimerokok terutama Kempen Tak Nak Merokok serta Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan.

Sehingga akhir tahun lalu, menurut satu analisis yang dilakukan oleh pihak terbabit, seramai 39,725 perokok meninggal dunia akibat menghidap kanser paru-paru, jantung dan angin ahmar sejak 2002.

Bilangan perokok dewasa pula menunjukkan peningkatan disebabkan pertambahan jumlah penduduk daripada 21.2 juta pada 1996 kepada 24.8 juta pada tahun 2009.

Di peringkat sekolah, program Doktor Muda telah lama diwujudkan untuk mendidik pelajar sekolah berkaitan kesihatan dan memberi kesedaran mengenai kesan buruk akibat merokok.

Umum mengetahui bahawa merokok merupakan satu gaya hidup yang memudaratkan. Kesan merokok itu bukan saja pada perokok, malah pada orang yang tidak merokok.

Seorang perokok nampak sahaja bergaya tetapi mereka sebenarnya sengaja mengundang pelbagai gejala penyakit yang akan memakan diri sendiri. Sebahagian perokok yang menyedari betapa mudaratnya amalan merokok pula cuba untuk berhenti.

Malangnya, hanya segelintir yang berjaya. Kebanyakannya, menemui jalan buntu kerana tidak berupaya mengatasi gejala merokok itu.

Pelbagai cogan kata berbentuk ancaman, nasihat dan pujukan yang dicipta tentang bahaya merokok ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan kerana sebarang bentuk amaran biasanya tidak diendahkan oleh para perokok yang ketagih ini.

Bolehlah dikatakan bahawa masyarakat tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengatakan yang mereka tidak tahu maklumat berkaitan bahaya merokok. Tak kira sama ada langkah untuk berhenti, mengurangkan mahupun mengelak daripada terjebak, semuanya telah lengkap dipaparkan sebagai ingatan.

Tetapi malangnya, ia terus berlaku dan hampir pasti bahawa kemungkinan ia tiada jalan penghujungnya.

Harus diakui bahawa kekuatan dalaman individu banyak dipengaruhi oleh suasana persekitaran.

Mereka akan menjadi kuat apabila persekitarannya menyokong keinginannya dan begitulah sebaliknya. Seseorang yang ingin atau baru berhenti merokok akan berjaya sekiranya mereka sentiasa berada dengan orang yang tidak merokok dan tidak berada di tempat yang membolehkannya merokok.

Cadangan sesetengah pihak agar semua institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) mengadakan kempen 'benci rokok' pada setiap semester, seminar dan pameran yang diadakan mungkin dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Begitu juga dengan kempen 'benci rokok'. Elok rasanya poster 'bahaya rokok' diletakkan di setiap surau, masjid, tokong, kuil dan gereja di seluruh negara.

Semua imam, bilal, sami dan paderi perlu bersama-sama bergandingan memberi nasihat dan gesaan dalam khutbah mereka agar ahli ibadat berhenti merokok. Jadikan satu hari 'benci rokok' dalam setiap minggu. Jadikan moto, orang beriman 'benci rokok.'

Menurut kajian pakar saintis, kesukaran yang dialami oleh seorang penagih rokok untuk berhenti adalah sama seperti kesukaran yang dialami oleh seseorang penagih heroin untuk berhenti mengambil dadah.

Justeru, jadikan kempen antimerokok dan 'benci rokok' sebagai tanggungjawab bersama. Rakyat Malaysia dengan moto 'Malaysia Boleh' pasti dapat merdeka daripada cengkaman gergasi rokok yang begitu berbisa itu.

WAN MARZUKI WAN RAMLI

Pasir Mas, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen