Ahad, 9 Mei 2010

KISAH TRAGIS BAHASA MELAYU

MASIHKAH kita memerlukan bahasa Melayu? Adakah bahasa Melayu di negara ini dihormati oleh seluruh warganegaranya? Barangkali jawapan pedih yang terpaksa kita terima adalah kita tidak memerlukan bahasa Melayu. Malah bahasa Melayu tidak dihormati di negara ini oleh sebahagian besar warganegara. Lebih tragis lagi sesetengah daripada kita tidak pernah merasa malu untuk meletakkan bahasa Melayu di tepi longkang. Tetapi tolong jangan melenting dulu.

Saya pasti terutama kalangan orang politik akan menafikan sekeras-kerasnya perbuatan kita terhadap bahasa Melayu. Tetapi orang yang sama juga tidak pernah berusaha untuk memberi tempat dengan menggunakan bahasa Melayu apabila berinteraksi dengan sesama warganegara. Sebaliknya, mereka bangga apabila ada kalangan bukan Melayu yang mampu berbahasa Melayu dengan baik atau pelancong yang mengucapkan sepatah dua istilah Melayu.

Bahasa Melayu menjadi begitu hina di negara ini kerana sesetengah pihak sangat hipokrit apabila berhujah tentang bahasa Melayu. Sikap hipokrit untuk kepentingan politik inilah yang meletakkan bahasa Melayu di tepi longkang yang akhirnya dipijak sendiri oleh warganegara yang sepatutnya memuliakan bahasa kebangsaan. Jangan kita berpura-pura tidak tahu bahawa ada warganegara yang tidak boleh berbahasa Melayu sekalipun dalam Perlembagaan disebut bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Saya menulis ini kerana teringat jawapan yang diberikan di Parlimen baru-baru ini bahawa individu yang memohon kewarganegaraan negara ini mesti boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Kononnya, kerajaan tidak berkompromi dengan orang asing yang memohon menjadi warganegara tetapi tidak fasih berbahasa Melayu. Disebutkan juga bahawa permohonan menjadi warganegara tertakluk kepada Perkara 15, 16, 19 dan 30 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya mensyaratkan mereka mesti tahu menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Kita pasti gembira kalau semua yang berjaya mendapat taraf warganegara boleh berbahasa Melayu dengan baik. Kalau orang luar yang memohon menjadi warganegara boleh disyaratkan mesti tahu berbahasa Melayu dengan baik, bagaimana pula yang lahir sebagai warganegara tetapi tidak boleh berbahasa Melayu? Pelik bukan? Sebabnya, kita lebih menekankan peri pentingnya bahasa Melayu kepada orang asing tetapi warganegara sendiri melongkangkan bahasa Melayu.

Apakah kerana mereka sudah menjadi warganegara sejak lahir, maka mereka terlepas daripada tanggungjawab memuliakan bahasa kebangsaan dan tugas ini diserahkan pula kepada orang yang baru hendak jadi warganegara? Ia berlaku kerana banyak orang politik yang hipokrit dan kita semua mewajarkan tindakan memijak bahasa Melayu.

Pejuang bahasa sudah banyak melakukan yang termampu untuk memuliakan bahasa Melayu. Apa pula tindakan orang politik memuliakan Perlembagaan dengan memartabatkan bahasa Melayu?

Perihal orang luar hendak menjadi warganegara sebenarnya tidak perlu ditekankan sangat. Ini kerana yang menjadi pendukung kemuliaan bahasa Melayu adalah warganegara yang melafazkan sumpah setia kepada negara ini.

Kalau syarat permohonan warganegara itu dilaksanakan kepada warganegara, berapa banyak yang terbatal taraf warganegaranya? Fikirlah sendiri kita ini hipokrit atau tidak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan