Jumaat, 14 Mei 2010

PAHANG TUAN RUMAH SAMBUTAN HARI GURU KEBANGSAAN 2010

Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff

KUANTAN - Lebih 3,000 orang bakal membanjiri Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sempena sambutan Hari Guru ke-39 peringkat kebangsaan di sini, Ahad ini.

Pahang menjadi tuan rumah sempena sambutan itu apabila kali terakhir Pahang menjadi tuan rumah pada 1997 di Dewan Sukpa, Indera Mahkota dengan menggunakan tema sama tahun lalu, ‘Guru Pembina Negara Bangsa, Terima Kasih Cikgu’.

Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, majlis itu bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada Ahad ini.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dirancang Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk memeriahkan sambutan Hari Guru di sini.

“Antaranya penganjuran Festival Pendidikan di ruang legar East Coast Mall (ECM) selama tiga hari bermula semalam (Khamis) yang bakal menarik kira-kira 10,000 pengunjung iaitu pameran berkaitan pendidikan antaranya membabitkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Selain itu, turut berlangsung Forum Pendidikan di Kolej Shahputra pada Sabtu ini bermula jam 10.30 pagi yang disertai 500 peserta serta tiga panel,” katanya dalam sidang media di ECM, semalam.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Adnan Seri Yaakob juga bakal merasmikan buku Pahit Manis di Bumi Tok Gajah hasil nukilan berdasarkan pengalaman guru yang bertugas di Pahang dengan harga promosi, RM15 sepanjang festival berbanding harga sebenar RM20.

Beliau berkata, program kerohanian turut dianjurkan sempena sambutan itu iaitu Majlis Solat Hajat dan Tahlil di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini bermula jam 6.50 petang, semalam.

Ditanya kelainan sambutan itu, Abdul Aziz berkata, program berteraskan semangat perpaduan menjadi teras utama sambutan itu untuk memenuhi aspirasi kerajaan selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan