roha@bharian.com.my
Pembelaan, pengiktirafan profesion perguruan semarak semangat didik anak bangsa
SETIAP tahun apabila tiba 16 Mei, warga pendidik dan pelajar sekolah sudah pasti mengetahui tarikh itu kerana ia hari bermakna buat guru iaitu Hari Guru. Mengikut sejarah, sambutan Hari Guru di negara ini mula disambut sejak 16 Mei 1972. Tarikh itu dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara. Dokumen itu juga dikenali sebagai Laporan Razak yang kemudian menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan. Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan dan pelbagai aktiviti diadakan dari peringkat sekolah hingga ke peringkat nasional.
Seperti tahun-tahun terdahulu, selain pengiktirafan dan penghormatan kepada jasa guru, apabila tiba tarikh berkenaan warga pendidik meletakkan pelbagai harapan terhadap profesion mereka.
Pada masa sama, kerajaan cuba merealisasikan usaha supaya bidang pendidikan negara terus diberikan keutamaan kerana ia menjadi aset berharga untuk masa depan negara.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata menjadi harapan kesatuan profesion perguruan ditingkatkan lagi dan setiap tindakan diambil kerajaan tidak menjejaskan sektor pendidikan sehingga menjejaskan kualiti pelajar yang dihasilkan.
Katanya, kesatuan faham dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan terutama dalam soal penjimatan apabila negara menghadapi kemelesetan ekonomi.
“Namun, mana-mana aspek penjimatan yang mahu dilaksanakan tidak menjejaskan kualiti sektor pendidikan dan profesion perguruan. Pendidikan adalah aset penting untuk kemajuan negara masa depan,” katanya yang mengakui bukan mudah dalam usaha mengekalkan kualiti profesion perguruan serta menghadapi kerenah ibu bapa yang menyerahkan bulat-bulat usaha mendidik anak-anak kepada guru.
Paling menyedihkan, katanya ibu bapa mengharapkan lebih daripada yang mampu diberikan guru dan sering mencemuh serta menyalahkan guru jika anak mereka tidak berjaya dalam pelajaran atau terbabit dalam masalah disiplin serta gejala sosial.
“Kita kesal apabila tindakan disiplin diambil ke atas anak, ada ibu bapa datang menyerang sekolah dan lebih teruk ada membuat laporan polis walaupun kes berkenaan tiada kaitan dengan guru. Kerjasama dan sokongan ibu bapa sangat diperlukan kerana guru bukan menjadi pendidik tetapi kini dibebani dengan pelbagai tugas lain selain tugas hakiki mengajar seperti aktiviti kokurikulum dan tugas pengurusan dan pentadbiran sekolah,” katanya.
Justeru, katanya pelbagai tuntutan termasuk isu gaji, kenaikan pangkat dan elaun yang dibangkitkan bukan hanya sebagai ganjaran atas titik peluh, pengorbanan dan jasa guru sebaliknya meningkatkan lagi profesion perguruan negara yang secara tidak langsung meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Pada masa sama, beliau melihat masa depan profesion perguruan negara untuk masa depan semua guru di sekolah rendah adalah pemegang ijazah atau guru dengan lulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Katanya, ketika ini guru pemegang sarjana dan PhD tidak dibenarkan mengajar di sekolah rendah malah ada persepsi menyatakan guru dengan kelulusan tinggi lebih baik kekal mengajar di institusi pengajian tinggi bukannya peringkat sekolah.
“Persepsi sedemikian perlu diubah kerana di Kanada hampir 70 peratus guru sekolah rendah adalah pemegang sarjana. Ini penting kerana usaha mendidik pada peringkat awal penting untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang apabila meningkat remaja dan dewasa,” katanya.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kebajikan guru adalah asas yang perlu diberikan perhatian untuk menjaga kualiti dan piawaian profesion perguruan di negara ini.
Katanya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah bebanan kerja serta keseimbangan guru lelaki dan wanita selain masalah guru ganti bagi guru yang berkursus, cuti belajar atau bersalin selain perlunya tenaga pembantu untuk mengurangkan beban tugas guru.
“Namun, masalah ketidakseimbangan nisbah guru lelaki dan wanita, kita percaya dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun lagi berdasarkan jumlah pengambilan guru pelatih selain persaraan guru sedia ada. Bagi isu bebanan tugas mungkin satu skim diperkenalkan untuk memastikan tugas hakiki guru iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa tidak diketepikan.
“Pelantikan pembantu guru atau pelantikan jawatan menguruskan pentadbiran juga perlu difikirkan supaya transformasi pendidikan yang mahu dilaksanakan kerajaan berjalan lancar,” katanya.
Satu lagi isu yang perlu diberikan perhatian adalah mengenai kepayahan dan kesusahan dihadapi guru bertugas di kawasan pedalaman yang tiada kemudahan asas serta jalan perhubungan yang baik.
“Peningkatan elaun kesusahan guru kawasan pedalaman perlu memandangkan guru-guru berkenaan memperjuangkan tenaga, masa dan keluarga, malah dalam sesetengah keadaan guru perlu menggadaikan nyawa pergi ke sekolah bagi mendidik anak bangsa,” katanya.
Sempena Hari Guru, warga pendidik sebenarnya bukan mengharapkan ganjaran serta kenaikan gaji semata-mata tetapi pembelaan kerjaya penting untuk menaikkan profesion perguruan seterusnya meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara.
sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan