Khamis, 22 Julai 2010

Peribahasa Melayu ditelan zaman


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


KEINDAHAN nilai bahasa dalam peribahasa Melayu yang sebelum ini menjadi medan berkesan dalam menyampaikan nilai murni dan ‘dakwah’ kepada masyarakat antaranya dapat dilihat melalui hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Bagaimanapun, perkembangan semasa dalam arus globalisasi yang melanda warga sejagat menyebabkan bangsa Melayu terlena panjang sehingga seolah-olah lupa bahawa mereka mempunyai khazanah bahasa yang bukan sekadar melambangkan jati diri, malahan sarat dengan pelbagai ilmu, mesej dan teladan berguna dalam kehidupan.

Penghayatan bangsa Melayu terhadap peribahasa kian tipis dan kelebihan dalam berbahasa dengan memanfaatkan kehadiran peribahasa sebagai wadah penting bernafas intelektual yang mampu menjadi pelengkap kepada pemartabatan bangsa maju menjelang 2020, seolah-olah tiada.

Generasi muda yang didedahkan dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan pula tidak lagi menganggap peribahasa menyumbang kepada pembangunan modal insan kerana sistem pendidikan negara tidak memberi tumpuan terhadap fungsi emosi dan jiwa dalam penyampaian ilmu.

Meskipun kita sering menyaksikan peribahasa dalam akhbar, majalah, radio, televisyen, iklan, ceramah, khutbah dan ceramah, ia tetap tidak memberi kesan kepada komunikasi seharian masyarakat khususnya dalam hal memberi nasihat dan perangsang seperti yang menjadi amalan bangsa Melayu lama.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Samsina Abd Rahman, menyifatkan peribahasa yang merangkumi pepatah, bidalan dan perumpamaan, wajar dimanfaatkan sebagai wahana pendidikan yang mampu menyumbang kepada norma budaya dan nilai agama.

“Namun, penggunaannya tidak lagi diamalkan bangsa Melayu kini berpunca daripada lunturnya semangat cintakan bahasa Melayu, sekali gus menyebabkan mereka menganggap peribahasa yang hadir dalam bahasa Melayu sebagai kurang penting untuk dipraktikkan.

“Hakikatnya, peribahasa boleh diangkat semula sekiranya masyarakat menanamkan semangat cintakan bahasa Melayu terlebih dahulu. Guru sekolah pula perlu menjadi ejen pendidikan berkesan dalam memastikan sistem pembelajaran bahasa Melayu berfungsi dalam pembentukan jati diri pelajar,” katanya dalam pertemuan dengan Sastera, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha berkenaan bukan perkara mudah kerana segala nilai dan norma itu sudah sedia wujud pada watak dan keperibadian bangsa timur, tetapi memerlukan masa dan cara berkesan untuk merealisasikannya.

“Hal ini dapat dilihat dalam perbezaan gaya hidup dan komunikasi seharian bangsa Melayu kini dan dulu. Generasi muda kini jarang menyelitkan peribahasa dalam perbualan sehari-harian mereka berbanding generasi dulu yang sesetengahnya sempat berperibahasa ketika berbual, hatta ketika bergaduh,” katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Fatin Syazwina Abd Shukor, mengakui jarang menggunakan peribahasa dalam perbualan seharian kerana jarang didedahkan penggunaannya selain melihatnya sebagai suatu yang janggal jika digunakan generasi hari ini.


"Sekiranya drama dan filem zaman dahulu sering memaparkan keindahan bahasa Melayu termasuk menggunakan peribahasa dalam skrip dramanya, karya masa kini pula lebih mementingkan nilai komersil. Lihat saja berapa banyak skrip drama Melayu menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa rojak.

“Karya yang dipamerkan kepada penonton sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa masyarakat. Bahasa Inggeris dan bahasa rojak menjadi ukuran kedudukan seseorang dalam masyarakat sehingga dengan sendiri penggunaan bahasa Melayu baku terpinggir,” katanya yang mewakili suara generasi muda.

Bagaimanapun, Fatin Syazwina tidak menafikan, peribahasa bukan hanya berfungsi sebagai alat nasihat dan kiasan malahan menjadi lambang penting dalam menyatukan masyarakat Melayu dan simbolik pantang larang masyarakat Melayu seperti dalam pepatah biar mati emak, jangan mati adat.

“Jika keindahan nilai dalam peribahasa Melayu ini terus diabaikan, mesej dan makna daripada segala macam peribahasa yang menjadi khazanah bangsa Melayu akan berkubur dalam jangka panjang. Sesuatu perlu dilakukan kerana sekiranya perkara terbabit berlaku, ia merugikan bangsa Melayu,” jelasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan