Selasa, 3 Ogos 2010
Remaja dan masalah sosial
Oleh PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
MASYARAKAT Malaysia hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai kegiatan jenayah yang berlaku hampir setiap hari.
Kebanyakannya memfokuskan kepada remaja dan masalah sosial itu tiada hentinya untuk dibicarakan. Remaja mengandung luar nikah semakin mengancam keharmonian masyarakat, semakin banyak ditegur, dipapar dan disiarkan gambar-gambar bayi yang dibuang macam sampah oleh pelaku tidak bermoral itu, semakin bertambah pula bilangan bayi-bayi yang dibuang.
Mengapa anak-anak remaja kita semakin runtuh akhlaknya dan hilang sikap malu dan adab sopan sebagai manusia? Tiada siapa mampu memberi jawapannya kerana yang pasti akhlak remaja semakin rosak dan liar.
Apabila kita renung kembali dengan ikhlas sebagai ahli masyarakat, ibu bapa dan juga pemimpin, mengapa masalah sosial ini terus berlaku? Ini kerana kita terlupa atau buat-buat lupa tentang punca akar umbi masalah sosial tersebut.
Berikut sedikit sebanyak punca masalah sosial remaja kita.
1. Kendiri
Remaja hari ini kurang mampu dan mapan mengurus diri sendiri kerana semua keperluan diri disediakan oleh ibu bapa yang tidak mahu anak-anak merasa susah dalam kehidupan mereka. Kesan daripada sikap ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan material dan perhatian berlebih-lebihan itu menjadikan anak-anak kurang berdikari dan tidak mahu susah dalam kehidupan mereka.
Akibatnya anak-anak remaja sukar mengendalikan emosi semasa berhadapan dengan masalah hidup dan tekanan daripada rakan-rakan. Kebanyakan remaja tidak tahu mengendalikan emosi marah, bahagia, derita atau cinta yang melingkari kehidupan seharian mereka. Jika mereka berhadapan dengan tekanan dan pujukan rakan-rakan yang mengajak melakukan jenayah atau kehidupan sosial negatif yang lain seperti minum arak, dadah, seks bebas dan sebagainya, mereka tidak mampu menepis dan menolak pujukan tersebut kerana tidak mempunyai jati diri yang kukuh.
2. Keluarga
Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah banyak punah dek kerana ibu bapa sibuk bekerja mencari rezeki dan tidak menumpukan perhatian terhadap kualiti kehidupan berkeluarga dan anak-anak. Walaupun usaha murni ibu bapa adalah untuk memberi kesenangan kepada anak-anak dan keluarga, namun pembentukan sahsiah diri anak-anak perlu diberi perhatian. Jika ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak yang ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan tidak bimbang untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak sihat di rumah sendiri atau di kawasan persekitaran rumah seperti menagih dadah, menonton video lucah dan mencuri sebagainya.
Masalah yang berlaku dalam rumah juga memberi kesan kepada jiwa anak-anak seperti ibu bapa yang bercakaran di hadapan mereka. Anak-anak akan merasakan diri kurang kasih sayang dan pembesaran yang tidak sihat itu akan membentuk kerapuhan diri dan jiwa anak-anak akan mudah terdedah dengan tarikan sosial negatif di luar.
3. Kewangan
Banyak jenayah dan masalah sosial yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh soal kewangan kerana keinginan anak-anak muda hari ini semakin meningkat untuk menggunakan barangan mewah bagi menunjukkan status diri mereka di kalangan rakan-rakan sebaya. Tidak semua anak-anak remaja ini lahir dari keluarga berada dan mampu menikmati kemewahan hidup. Bagi remaja dari keluarga susah, mereka mudah terikut-ikut rakan-rakan yang mewah tetapi soalnya bagaimana mereka mendapatkan sumber kewangan tersebut. Sudah tentu dengan melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang mewah.
4. Kemasyarakatan
Masyarakat hari ini sudah kurang peka dan banyak buat 'pekak' terhadap nilai hidup kejiranan dan bermasyarakat. Struktur pembinaan perumahan hari ini juga banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat yang negatif. Kondominium dan pangsapuri mewah mementingkan gaya hidup individualistik. Rumah-rumah banglo pula diiklankan dengan gaya hidup berfokuskan keselamatan yang berlebihan seperti guarded and gated agar tidak diganggu penjenayah. Sedar atau tidak, masyarakat kita telah membina jurang hidup secara manual dengan jiran dan masyarakat setempat.
5. Rakan-rakan
Faktor ini telah diketahui ramai sebagai punca utama remaja hari ini terjebak dalam masalah sosial yang negatif. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup mereka. Jika rakan-rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial, maka mereka akan mengikutnya kerana remaja hari ini lemah jati diri dan tiada tujuan hidup.
6. Keagamaan
Iman dan amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir mengenai perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini berterusan.
Dengan itu, ibu bapa, ahli masyarakat, guru dan pemimpin perlu berusaha membantu anak-anak remaja hari ini daripada terus menerus melakukan kegiatan yang tidak bermoral.
Penulis ialah pensyarah di Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Tenaga Nasional.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
saya bersetuju dengan pandangan yang telah diutarakan diatas.saya sendiri seorang remaja yang pastinya mengiakan cabaran yang terpaksa kami lalui pada zaman sekarang.apa yang ingin saya fokuskan disini ialah,ada beberapa faktor luaran yang sebenarnya juga menjadi punca besar golongan kami mudah rebah pada jalan yang slah.maksud saya disini ialah hiburan.cuba kita lihat apa yang ditayangkan dalam kaca television sekarang.banyak hiburan yang tidak ada sebarang faedahnya.mungkin ada yang mengatakan pandangan saya ini sempit,tetapi,saya sebagai seorang remaja sebenarnya merasakan perkara inilah yang menghasut,melemahkan dan mempengaruhi golongan kami secara halus.sebagai contoh,seperti konsert2 yang telah diadakan,lihatlah remaja begitu muidah mengeluarkan suara mereka menjerit yang entah untuk apa tujuannya.tanpa segan pilu,hilang rasa sopan,pergaulan bebas sebagai perkara biasa.
BalasPadamHiburan pada asalnya satu perkara yang diharuskan dalam agama, namun hiburan yang keterlaluan yang tidak memelihara batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, mengalunkan lagu-lagu tanpa mesej, menggunakan alat muzik bertali yang membingitkan,melanggar waktu solat dan sebagainya adalah dilarang dalam agama. Budaya berhibur sememangnya sebahagian daripada Protokol Yahudi, yang bertujuan melalaikan serta menjauh umat Islam daripada agama. Justeru, sewajarnya pihak berkuasa menetapkan garis panduan yang jelas bagaimana persembahan hiburan seharusnya dipersembahkan. Dalam hal ini ketetapan agama seharusnya menjadi rujukan. Selain itu, konsert-konsert hiburan serta rancangan hiburan realiti juga perlu dihadkan memandangkan kesan negatif daripadanya lebih terserlah berbanding kesan positif yang ada.
BalasPadam