Selasa, 26 Oktober 2010

HORMATI HAK BAHASA MELAYU

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Sikap masyarakat, sesetengah pemimpin sebabkan pelaburan berjuta ringgit tersasar

SEMUA pemimpin dan dan ahli politik negara ini diperingatkan agar mengangkat bahasa Melayu pada tahap tertinggi dengan mengadakan usaha jitu agar tidak diibaratkan seperti menyangkul air sungai.

Perkara terbabit disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada majlis Bicara Bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kucar-kacir terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan berpunca daripada sikap masyarakat yang memandang ringan, manakala sesetengah pemimpin Melayu pula, sudah tidak lagi berfikir dalam bahasa Melayu.

“Mereka seperti tidak memahami perkara asas ini kerana terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris sehingga tidak hairanlah usaha mengangkat bahasa Melayu masih tidak berhasil, meskipun jutaan ringgit sudah dilaburkan.

“Mereka sepatutnya tahu bahawa bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan pemilik bahasanya kerana ia simbol kepada perpaduan bangsa. Kedudukan bahasa Melayu sudah diambil alih bahasa Inggeris seperti dapat dilihat dalam iklan dan nama jalan sehingga kita seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka,” katanya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dr Hassan turut mengingatkan dasar bahasa tidak boleh dipisahkan daripada proses pembinaan negara kerana negara yang memiliki pelbagai bangsa dan bahasa perlu menjadikannya sebagai agenda penting sosiopolitik dan sosiobudaya.

“Dasar bahasa boleh digunakan sebagai alat penting dalam pembentukan integrasi politik dan tamadun tinggi, tetapi mungkin menjadi punca krisis politik dan budaya yang boleh mengancam kemajuan bangsa apalagi bahasa sekiranya tidak diuruskan dengan bijak,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat untuk memahami konsep 1Malaysia dengan pemahaman yang benar iaitu keseimbangan, keadilan dan kesaksamaan berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira kaum, sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai teras utama dalam pembangunan negara.

Pandangan Dr Hassan turut diperakukan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman yang menegaskan pemimpin atasan perlu memainkan peranan penting dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan ialah perancangan strategik bagi penyelesaian masalah untuk pembangunan, pengembangan dan kemajuan bahasa Melayu menuju 2020.

“Justeru, usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu menjurus kepada penyelesaian masalah dalam menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat, selain melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan penggunaan bahasa kebangsaan secara bersepadu,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi yang unggul kerana dihambat sikap serta tabiat bangsa Melayu yang kurang yakin kemampuan bahasanya, manakala rakyat bukan Melayu tidak melihatnya sebagai milik bersama.

“Situasi negara ini berbeza dengan Indonesia apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa nasional yang menjurus kepada penggunaan dan pemakaian secara meluas dalam kehidupan serta sistem pendidikan, seolah-olah sedar kepentingannya sebagai wahana pemersatu bangsa berdaulat lagi merdeka.

“Ini berbeza dengan negara kita, ditambah adanya pemimpin dan majikan yang mengutamakan bahasa Inggeris sehingga pengaruhnya menjalar ke kampung. Ibu generasi muda gemar mendendangkan anak dengan Twinkle Twinkle Little Star dan Ba Ba Black Sheep.

“Sikap yang sedemikian mengikis kedudukan bahasa Melayu menurutnya haknya seperti diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus kita kehilangan Tepuk Amai Amai, Chan Malichan dan Anak Rusa Nani sedangkan ia pantun kanak-kanak yang indah,” ujarnya.

A Aziz turut mengingatkan kemasukan program berorientasikan bahasa Inggeris melalui media elektronik secara meluas boleh meranapkan persepsi masyarakat terhadap bahasa dan budaya kerana kebanyakan daripadanya mendorong nilai budaya negatif.

“Bagi mengatasi permasalahan ini, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menuntut kemuafakatan, kesepakatan dan gerakan kerjasama yang bersepadu semua pihak serta didukung keazaman politik yang sebenar.

“Dengan cara ini tidak syak lagi bahasa Melayu akan menjadi asas pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia serta menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa selewat-lewatnya pertengahan abad ke-21 ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan