Sabtu, 6 November 2010

Bahasa Melayu dan sekolah vernakular

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

DESAKAN Ahli Parlimen Bukit Mertajam, mahukan guru Melayu yang mengajar bahasa Melayu di Sekolah Cina (SJKC) mesti menguasai bahasa Cina bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran jelas menunjukkan siapa mereka sebenarnya. Lebih ekstrem lagi, beliau mengambil contoh bagaimana sukarnya guru bahasa Cina mengajar Mandarin di sekolah kebangsaan jika tidak memahami bahasa Melayu. Dua isu yang jauh berbeza.

Pertanyaan saya, di manakah negara kita berada sebenarnya? Anak-anak bukan Melayu sepatutnya sejak kecil sudah menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Kenapa perlu perkenalkan guru bahasa Melayu sedemikian rupa di sekolah vernakular? Bahasa Melayu di peringkat sekolah adalah untuk tujuan pemantapan, bukannya untuk belajar mengeja dan belajar bertutur. Tidakkah kita sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nombor satu negara yang mesti dikuasai dan dituturkan sejak anak-anak ini masih rebung?

Selaku Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, sepatutnya beliau memberikan input untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, bukan sekolah perkauman. Pemantapan masa depan amat penting untuk generasi akan datang. Sekolah perkauman tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan yang sedia ada, jika tidak diperbaiki dan diatasi kelemahan yang sedia ada. Saya teramat sedih melihat kerajaan masih lagi berpolitik dalam isu ini.

Apa yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memperkasakan anak bangsa dan rakyat negara ini semuanya ditentang. Semuanya tidak betul. Bayangkan jika mereka memerintah, sudah tentu guru-guru bahasa Melayu, yang kebanyakannya guru Melayu, akan dipaksa untuk memperkasakan sekolah vernakular. Maklum sahajalah guru bukan Melayu tidak mahu mengambil opsyen bahasa Melayu sebab tidak ada nilai komersial. Apakah mungkin sekolah kebangsaan juga akan ‘divernakularkan’?

Persoalannya, susah sangatkah belajar bahasa Melayu? Cuba kita buat perbandingan bagaimana mereka yang datang ke negara kita untuk mencari rezeki seperti pekerja Bangladesh, India dan sebagainya, bagaimanakah mereka dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa begitu cepat tidak sampai setahun. Hari ini kita bukan bercakap jangka masa setahun, tetapi sudah lebih 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu? Kalau ada yang boleh, cara percakapannya amat meloyakan.

Begitu juga jika kita pergi belajar di negara seperti Jerman, Perancis, Rusia dan negara luar yang lain, kenapa dalam masa setahun kita dapat menguasai bahasa tersebut tanpa pun bahasa tersebut diterjemahkan dalam bahasa lain untuk difahami mereka yang datang? Logiknya amat mudah, tidak perlu dibahaskan di Parlimen kenapa kita ada kepentingan. Kita paksakan diri untuk belajar. Berbeza dengan di sini, kita tidak ada kepentingan, bahasa tidak ada nilai komersial, boleh berbahasa Melayu atau tidak, tidak meninggalkan sebarang kesan atau menjamin apa-apa. Jadi kita mengambil jalan mudah, tidak perlu belajar. Bahasa Melayu tidak ada kaitan dengan semangat patriotisme, apatah lagi untuk dikomersialkan.

Penguasaan

Mungkin cadangan saya ini nampak ultra kiasu, satu istilah yang saya tidak mahu lagi gunakan untuk golongan ini, tetapi sudah sampai masanya penguasaan bahasa kebangsaan dikuatkuasakan melalui undang-undang secara paksaan, seperti mana di negara-negara jiran kita amalkan. Jika telah diberi peluang, tidak ada perubahan juga, faham-faham sahajalah apa yang perlu dilakukan.

Parti ini selalu mencanangkan bahawa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, begitu juga dengan keahliannya. Sebenarnya parti ini terlalu rasis. Semangat patriotisme kita berada pada tahap yang begitu rendah. Saya fikir parti ini tidak sepatutnya wujud di bumi bertuah ini. Malang sekali ada juga orang Melayu yang menyertai parti ini. Lebih malang, mereka langsung tidak bersuara, apabila jati dirinya dirobek-robek. Di manakah maruah kita sebenarnya? Saya menyeru kepada orang Melayu keluarlah daripada parti rasis ini. Ia tidak mendatangkan kebaikan untuk masa depan, apatah untuk Islam dan bahasa kebangsaan.

Bayangkan apabila mereka memerintah nanti, apa akan terjadi kepada guru-guru bahasa Melayu yang akan dipaksa untuk mempelajari bahasa yang bukan opsyennya. Saya tidak nafikan menguasai bahasa asing adalah satu kredit, tetapi janganlah terlampau ekstrem, sehingga bahasa negara diketepikan. Orang Melayu yang tidak sedar diri tidak juga kurang bilangannya.

Parti ini terlalu marah kepada mereka yang berkata I am Malay first, sebab pada mereka, sepatutnya I am Malaysian first. Malangnya, tindak tanduk mereka langsung tidak mencerminkan I am Malaysian first. Kita seolah-olah menjunjung langit lain. Jika kita benar-benar Malaysian, mari kita bersama-sama memperkasakan masa depan negara ini, terutama dalam isu bahasa, dan sejarah sistem pendidikan kebangsaan. Kepentingan negara mesti diutamakan, apatah lagi ia yang telah menyinari Perlembagaan.

Kenapa kita tidak mahu mengakui kelemahan sekolah vernakular dan sistem yang sedia ada. Kita tidak serius dan langsung tidak mahu bertolak ansur. Sebarang idea kerajaan untuk campur tangan dan memartabatkan bahasa Melayu di sekolah vernakular dianggap sebagai menggugat bahasa ibunda. Misalnya, isu tambahan masa bahasa Melayu, penyeragaman silibus bahasa Melayu dan sebagainya. Saya yakin suara ini bukan suara satu parti ini sahaja. Inilah politik senyap atau bersatu dalam senyap yang tidak ada dalam parti politik orang Melayu yang mendakwa mereka semuanya memperjuangkan Islam.

Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di bumi sendiri adalah teramat pahit. Apatah lagi sejarah bumi bertuah ini tidak difahami dan mahu diputarbelitkan. Langkah kerajaan untuk memperkasakan dan mewajibkan mata pelajaran sejarah adalah amat tepat dan perlu disegerakan tanpa bertangguh lagi. Apatah lagi melayan kerenah-kerenah golongan yang tidak sedar diuntung ini. Mereka tidak mahu sejarah negara ini diceritakan dalam konteks sebenarnya. Pada mereka, sejarah harus menekankan kerjasama dan sumbangan semua, terutama sumbangan ekonomi.

Terpisah

Umum mengetahui bahawa kerjasama erat antara kaum hanya dapat dijalin ketika menjelang kemerdekaan negara. Sebelum itu, kehidupan kita terpisah berasaskan bangsa, daerah dan kegiatan ekonomi masing-masing. Kesannya masih dirasai hingga ke hari ini. Nama-nama seperti Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin dan Sambanthan, hanya kedengaran dan popular ketika tahun-tahun 1950-an. Bermakna, sejarah sumbangan kaum ini adalah sebahagian kecil daripada sejarah Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, dalam sejarah yang begitu panjang.

Memang tidak dapat dinafikan sumbangan bukan Melayu kepada perkembangan ekonomi negara sebelum merdeka. Tanpa mereka, bandar-bandar utama negara kita hari ini mungkin masih belum membangun sepenuhnya.

Tetapi kita perlu sedar juga, mereka turut mengaut keuntungan dan dapat mengubah diri di bumi bertuah ini. Ada timbal baliknya. Bayangkan jika tidak berlaku penghijrahan, apakah nasib mereka sama seperti apa yang mereka rasai hari ini? Bacalah sejarah faktor-faktor penghijrahan dan keadaan yang berlaku di negara-negara asal-usul mereka ketika itu.

Apa yang berlaku ke atas mereka juga berlaku ke atas keluarga nenek moyang saya. Mereka turut berhijrah bersama, disebabkan tekanan dan kemelaratan yang berlaku. Saya amat bertuah dengan penghijrahan tersebut. Tanpa penghijrahan tersebut, apakah saya masih ada peluang untuk menghirup udara di bumi bertuah ini.

Apa yang saya rasai hari ini adalah disebabkan oleh ruang dan peluang serta toleransi peribumi yang menerima kami dan seterusnya membenarkan kami menjadi kaya tanpa ada rasa cemburu. Ini yang menjadikan saya semakin bersyukur, bukannya kufur nikmat.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan