Rabu, 17 November 2010

ISU ALAM SEKITAR : Tapak pelupusan sampah perangkap maut

Oleh Syed Azwan Syed Ali

Pengurusan tidak menepati piawaian ancam nyawa penduduk sekitar, alam semulajadi


KETIKA ini lebih 90 peratus daripada 176 tapak pelupusan sampah yang beroperasi secara pembuangan terbuka di negara ini dalam kedudukan kritikal, dengan kebanyakannya mempunyai jangka hayat tidak melebihi lima tahun, sebelum terpaksa ditutup.

Tapak pelupusan sampah, yang memerlukan kos pemulihan tinggi mencecah berbilion ringgit, juga membahayakan nyawa ribuan penduduk sekitarnya, selain membawa kesan negatif kepada alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Tapak pelupusan sampah terbuka menjejaskan kehidupan manusia melalui risiko penyakit bawaan haiwan seperti tikus, selain penyakit lebih serius jika terdedah secara terus kepada bahan toksik di tapak pelupusan.

Kajian Eurohazcon pada Ogos 1998 di 21 tapak pelupusan berisiko tinggi di lima negara termasuk di United Kingdom, mendapati berlaku kesan sampingan kepada kandungan ibu mengandung yang tinggal dalam jarak tujuh kilometer dari kawasan tapak pelupusan itu.

Tapak pelupusan sisa terbuka juga menyebabkan pencemaran alam sekitar menerusi peresapan air larut resapan (leachate) ke sumber air bawah tanah dan pembebasan gas metana (CH4) yang menyebabkan pemanasan global, selain menurunkan nilai hartanah di sekitarnya.

Tidak kurang juga mendatangkan risiko. Insiden terkini ialah runtuhan benteng tapak pelupusan sampah Sungai Kembong, September lalu, yang nyaris menjejaskan bekalan air bersih kepada 1.2 juta penduduk di sekitarnya berikutan sisa buangan mencemarkan Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih.

Keadaan diburukkan apabila daripada 176 tapak pelupusan aktif itu, hanya 16 tapak pelupusan atau kurang 10 peratus tapak pelupusan sanitari mesra alam yang selamat. Itupun dengan mengambil kira sembilan tapak pelupusan sanitari baru yang akan dibina dan dijangka beroperasi pada 2012.

Pakar pengurusan sisa pepejal tempatan merumuskan pengurusan tapak pelupusan sampah negara adalah kritikal untuk jangka panjang jika kerajaan gagal mengambil tindakan segera, termasuk menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Akta itu, jika dikuatkuasakan, akan membolehkan pengurusan sisa pepejal yang kini kurang berkesan di bawah selenggaraan pihak berkuasa tempatan (PBT) diambil alih kerajaan Persekutuan menerusi jabatan dan perbadanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Malaya, Prof Dr P Agumuthu, berkata tahap pengurusan sisa di negara ini ‘amat membimbangkan’ kerana negara mempunyai lebih 100 tapak pelupusan terbuka aktif, tidak termasuk 114 tapak pelupusan ditutup.

“Keadaan ini sebenarnya serius. Ini kerana lebih 200 tapak pelupusan sampah terbuka (aktif dan ditutup) membebaskan gas metana secara pasif melalui proses pereputan sampah di tapak pelupusan dalam tempoh tertentu.

“Gas metana menyebabkan 25 kali risiko pemanasan global berbanding karbon dioksida (CO2),” katanya.

Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) menunjukkan 114 tapak pelupusan diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 62 tapak pelupusan sampah diuruskan syarikat konsesi dilantik PBT antaranya, Alam Flora dan South Waste Management Sdn Bhd.

Walaupun sebilangan tapak pelupusan itu ditingkatkan tahapnya secara berperingkat, majoriti daripadanya masih beroperasi secara pembuangan terbuka dan menunggu masa untuk ditutup sekali gus menimbulkan konflik mencari lokasi tapak pelupusan baru.

Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Hassan Basri, berkata pengurusan tapak pelupusan sampah di negara ini kritikal untuk jangka panjang tetapi ramai tidak menyedari mengenainya.

“Impak negatif yang dibawa adalah dalam jangka panjang. Misalnya pencemaran sumber air oleh leachate hanya akan dirasai penduduk sekitar untuk tempoh berpuluh-puluh tahun selepas itu. Begitu juga risiko penyakit dan bau,” katanya.

Tinjauan penulis ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar sebelum ini mendapati tapak pelupusan itu, antara lain, mempunyai tapak lapisan dasar daripada plastik berkualiti tinggi yang menghalang leachate daripada meresap ke sumber air bawah tanah.

Tapak pelupusan membabitkan kos pembinaan RM120 juta dengan kapasiti melupuskan 3,500 tan sampah sehari itu juga mempunyai sistem pengumpulan dan peredaran leachate, kolam rawatan cecair bertoksik itu selain mempunyai sistem paip menyedut gas metana dihasilkan untuk dijana sebagai sumber tenaga elektrik.

Sistem paip gas itu bagi mengelakkan berlaku kebakaran seperti insiden kebakaran sampah setinggi 300 kaki di tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Kertas, Gombak, September tahun lalu dipercayai berkaitan dengan pembebasan pasif metana.

Tapak pelupusan sanitari kurang berbau kerana mempunyai penutup harian daripada tanah liat atau plastik yang digunakan menutup sampah dilupuskan untuk mengelakkan risiko bau dan haiwan seperti lalat, tikus dan gagak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan