Kempen percutian domestik besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik manfaatkan negara
AKTIVITI pelancongan secara amnya dapat membuka minda dan menambah pengalaman serta dapat mempertingkatkan keinsanan seseorang individu berkenaan
Pelancongan serantau oleh rakyat Malaysia semakin popular pada masa kini dan dijangka akan lebih pesat pada masa depan. Banyak destinasi sudah pun menjadi kegemaran pelancong Malaysia seperti Hanoi dan Ho Chi Minh di Vietnam, Bandung dan Bali di Indonesia serta Bangkok dan Phuket di Thailand.
Destinasi berkenaan amat popular dengan aktiviti membeli-belah kerana ia menawarkan produk unik, murah dan berkualiti serta destinasi berkenaan juga mempunyai mata wang yang rendah berbanding ringgit, sekali gus memberi kelebihan kepada pelancong Malaysia.
Namun, apabila pelancong Malaysia membeli-belah di luar negara, ini akan menyebabkan pengaliran wang keluar ke negara asing dan boleh menyebabkan keseimbangan ekonomi menuju ke arah negatif.
Malaysia sudah pun berkembang dengan pesat dari segi sosioekonominya dan ramai rakyatnya mempunyai kehidupan selesa dan mengalami peningkatan dalam pendapatan boleh guna atau ‘disposable income.’ Ia satu daripada faktor penting dalam membuat keputusan untuk membeli produk pelancongan.
Pada masa sama, setiap hari, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai iklan yang menjual tiket kapal terbang dan pakej pelancongan ke luar negara dengan harga rendah dan menarik. Harga itu mungkin serendah atau lebih tinggi berbanding harga tiket dan pakej untuk pelancongan dalam negara.
Fenomena ini dapat dilihat dengan pembabitan syarikat penerbangan bajet di Malaysia pada 2001. Kejayaan yang dikecapi syarikat penerbangan itu sudah pun menjadi inspirasi beberapa negara jiran di rantau ini untuk menubuhkan syarikat penerbangan bajet mereka sendiri dan ini menggalakkan persaingan dan sekali gus menurunkan harga servis yang ditawarkan.
Persaingan ini juga membabitkan syarikat penerbangan konvensional yang ingin mencapai kepada pasaran pelancongan bajet. Persaingan itu sudah membentuk pasaran yang cenderung kepada manfaat pengguna.
Jika dilihat kepada barang yang dibeli pelancong Malaysia, ada di antaranya yang dapat dibeli di Malaysia sendiri, tetapi pada harga lebih tinggi. Oleh itu, bukan saja rakyat Malaysia, malah pelancong secara umum lebih suka membeli barang atau produk di negara asal, yang mana harga adalah lebih jauh murah dan memberi kesenangan kepada minda pelancong itu dalam isu keaslian produk serta kualitinya.
Ia juga memberi kepuasan dalam minda pelancong yang berpendapat bahawa mereka sudah berbelanja atau membeli-belah secara bijak. Oleh kerana konsep pelancongan adalah berdasarkan kepuasan pengalaman, oleh itu, membeli-belah di luar negara adalah satu pengalaman membolehkan pelancong mendapat kepuasan yang boleh dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai.
Selain itu, sesetengah barang adalah cenderamata yang unik untuk destinasi itu seperti barangan laker (lacquer ware) serta batu permata dan manikam di Vietnam, kraf tangan halus dan hasil seni dari Indonesia dan juga sutera serta barangan perak dari Thailand.
Setiap destinasi pelancongan mempunyai pengkhususan dalam pembuatan dan pengeluaran barang tertentu dan ini turut menjadi satu daripada tarikan bagi pelancong Malaysia ke destinasi itu.
Semestinya, juga rakyat Malaysia memang berminat membeli-belah dengan kuantiti yang banyak kerana mereka selalunya tidak lupa membeli cenderahati untuk keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja.
Perlu diingat, industri pelancongan beroperasi di atas konsep penawaran dan permintaan. Sehubungan itu, tindakan mewujudkan halangan atau sekatan aliran pelancong, adalah tidak praktikal walaupun ia bermaksud wang mengalir keluar daripada lingkungan ekonomi negara.
Ada beberapa strategi yang boleh kerajaan laksanakan bagi ‘menyekat’ pelancong domestik ke luar negara. Justeru, usaha kerajaan menarik pelancong ke Malaysia dari negara lain melalui beberapa kempen termasuk kempen ‘Malaysia Truly Asia’ yang sangat terkenal di luar negara, dapat mengimbangi semula aliran wang keluar dengan aliran wang masuk ke Malaysia.
Kempen percutian domestik secara besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik juga dapat meningkatkan rakyat Malaysia untuk memilih destinasi dalam negara dan berbelanja di destinasi itu. Malaysia sendiri mempunyai aset pelancongan bertaraf antarabangsa dan serupa dengan aset pelancongan di rantau ini dengan kos berpatutan.
Antara destinasi terkenal seperti Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Sipadan misalnya, sudah dapat menandingi destinasi di rantau ini yang turut dikunjungi pelancong antarabangsa seperti Pulau Phuket dan Bali.
Begitu juga Kuala Lumpur, sebuah kota yang menawarkan aktiviti pelancongan termasuk membeli-belah setanding dengan Jakarta dan Bangkok. Destinasi seperti Kota Kinabalu dan Kuching juga terkenal dengan kraf tangan dan cenderahati yang unik dengan harga berpatutan.
Kementerian Pelancongan sudah pun membina imej pelancongan domestik yang kukuh dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia dan sudah diberi sentuhan penjenamaan semula dengan Zoom Malaysia. Malah, Malaysia kini menjadi saingan kepada destinasi serantau untuk rakyatnya sendiri.
Pada masa akan datang, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju dengan taraf kehidupan penduduknya akan lebih meningkat. Rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan boleh guna atau belanja lebih tinggi dan ini akan memberikan lebih peluang dan opsyen untuk pergi melancong ke luar negara.
Syarikat penerbangan bajet dan konvensional akan terus berkembang dan akan menambah destinasi baru sepanjang masa dan persaingan akan merendahkan harga untuk tiket penerbangan dan pakej pelancongan.
Ini menjadikan industri pelancongan pada masa depan sebagai industri tanpa sempadan. Justeru, pembentukan strategi berterusan adalah penting untuk memastikan industri ini sentiasa memberi manfaat kepada negara Malaysia.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah dan Perunding Utama, Tinjauan Pasaran Domestik, Lembaga Pelancongan Sabah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan