bhnews@bharian.com
Pendekatan lebih menyeluruh perlu bagi ubah sikap pemandu
HARI ini, mungkin sudah ramai mula balik kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Kebanyakan sekolah pun cuti seminggu mulai Isnin ini. Bila cuti panjang, tentunya isu keselamatan di jalan raya mendapat perhatian banyak pihak. Apa lagi pada tahun lalu, 6,872 kematian membabitkan 6,260 kemalangan maut dicatatkan dan mengikut laporan akhbar, Khamis lalu, rekod itu adalah yang tertinggi dalam sejarah nahas jalan raya di negara ini.
Perangkaan ini sewajarnya membimbangkan kita dan menimbulkan banyak persoalan. Apakah pelbagai kempen yang dilaksanakan selama ini tidak berkesan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai? Sejauh mana pula Ops Sikap yang sudah 23 kali diadakan, dapat mengubah sikap orang ramai? Mungkinkah juga rangkaian lebuh raya dan jalan raya di negara ini tidak selamat? Apakah sistem dan peraturan yang diperkenalkan masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kemalangan?
Meningkatkan operasi penguatkuasaan dan mengenakan saman maksimum juga tidak mungkin dapat mengubah sikap orang ramai kerana banyak juga pemandu yang tidak serik sekalipun disaman berpuluh kali. Lebuh raya dan jalan raya kita pula boleh dianggap antara yang terbaik di rantau ini, tetapi kes kemalangan masih tinggi kerana pemandu tidak menggunakannya secara berhemah. Banyak juga peraturan dan sistem sudah diperkenalkan kerajaan, seperti Kejara, tetapi sikap pemandu masih tidak banyak berubah.
Baru-baru ini pun kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP) sebagai penanda aras standard dan kualiti keselamatan kereta keluaran tempatan. Menerusi sistem itu yang dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), semua kenderaan baru akan diberi penarafan satu hingga lima bintang berdasarkan spesifikasi keselamatannya termasuk dilengkapi beg udara atau sistem brek ABS bagi membolehkan orang ramai menilai ciri-ciri keselamatan model kenderaan yang dipasarkan.
Langkah itu memang baik, tetapi sama ada ia dapat mengurangkan kemalangan masih juga bergantung kepada sikap pemandu. Sekarang ini pun ramai pemandu suka mengubah suai kenderaan dengan memasang pelbagai aksesori - ekzos besar hingga bunyi macam guruh, but dipasang ‘spoiler’ sesetengahnya sampai menghalang pemandangan dan ‘skirting’ pula hingga hampir mencecah jalan.
Pengubahsuaian kenderaan secara keterlaluan tentunya membahayakan apa lagi kalau aksesori itu tidak menepati piawaian dan spesifikasi keselamatan serta dilakukan di bengkel yang tidak mempunyai kepakaran memasangnya. Bila sudah ubah suai kenderaan, pemandunya juga pasti teruja untuk memandu laju. Takkanlah hendak memandu perlahan, nanti apa orang kata, gaya aje lebih tapi kereta tak selaju manapun.
Itu ragam pemandu yang suka ubah suai kenderaan. Pemandu yang tidak ambil berat soal penjagaan dan keselamatan kenderaan pun ramai. Tayar sudah ‘botak’ pun tidak diganti, manakala kenderaan jarang dihantar untuk servis. Sekarang ini pula sudah ada minyak pelincir sintetik yang boleh bertahan sehingga lebih 10,000 kilometer atau enam bulan, berbanding minyak pelincir biasa yang perlu ditukar setiap 5,000 kilometer atau tiga bulan.
Jadi bila gunakan minyak pelincir sintetik, maka makin jarang lagilah kenderaan dihantar untuk servis. Servis ini bukan saja hendak ganti minyak hitam atau pelincir, tetapi macam-macam diperiksa termasuklah sistem brek, angin tayar serta skru atau nat yang mungkin longgar dan perlu diperketatkan. Sebab itu penting kenderaan dihantar untuk servis sekerap mungkin yang boleh bagi mengelak sebarang risiko ketika memandu.
Apatah lagi bilangan kenderaan sekarang ini pula semakin banyak dan ini meningkatkan lagi risiko kemalangan. Sehingga Ogos tahun lalu, bilangan kenderaan di negara ini dikatakan berjumlah 19,820,442 dan yang berusia lebih sepuluh tahun pula berjumlah 5,110,326 atau 25.78 peratus. Tahun lalu juga, 496,000 rakyat mendapat lesen memandu sekali gus menambahkan lagi bilangan kenderaan di jalan raya.
Angka ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sekarang ini bukan susah hendak membeli kereta. Banyak institusi kewangan menyediakan pinjaman pada kadar faedah yang rendah. Malah, ramai juga ibu bapa kini mampu membelikan kereta untuk anak-anak yang masih belajar sehinggakan di sesebuah rumah itu ada lebih dua tiga kenderaan.
Dengan semakin ramai orang kini mampu memiliki kenderaan, maka pihak berkaitan mungkin perlulah juga mengkaji semula dan memikirkan pendekatan yang lebih menyeluruh termasuk memberi penekanan terhadap soal penjagaan dan keselamatan kenderaan untuk memupuk budaya pemanduan berhemah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan